Wednesday, November 19, 2008

Telur penyu makin mahal


Telur penyu boleh dimakan begitu saja.


KUALA TERENGGANU 19 Nov. - Walaupun kerajaan Terengganu telah mengawal pengurusan telur penyu termasuk dari segi kutipan dan penjualan bagi memulihara spesies terancam itu, namun aktiviti penjualan telur reptilia itu masih giat dilakukan terutama di Pasar Besar Kedai Payang.


Ini kerana telur berkenaan masih mendapat sambutan daripada pembeli, sekali gus membuktikan kesedaran orang ramai terhadap usaha memulihara reptilia yang wujud sejak zaman prasejarah itu masih rendah.


Tinjauan Utusan Malaysia di pasar berkenaan mendapati orang ramai masih membeli telur penyu walaupun harganya mencecah RM4.50 sebiji.


Seorang penjual yang hanya mahu dikenali sebagai Man memberitahu, permintaan telur penyu meningkat pada masa kini walaupun jualan semakin terhad.


''Buat masa ini, permintaan terhadap telur penyu semakin banyak walaupun harga semakin mahal dan susah diperoleh," katanya ketika ditemui di gerainya baru-baru ini.


Malah dia mengakui, ada juga pembeli yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk mendapatkan telur penyu.


''Ada pembeli sanggup datang dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor semata- mata untuk mendapatkan telur penyu yang segar di sini," katanya yang telah menjual telur penyu selama lebih sepuluh tahun.


Jelasnya, penjualan telur penyu biasanya banyak pada Jun, Julai dan Ogos kerana ketika itu adalah musim penyu naik ke darat untuk bertelur.


''Tetapi pada musim tengkujuh, telur penyu biasanya sukar diperolehi malah jika ada pun harganya mahal," jelasnya.


Menurutnya, walaupun harga telur penyu semakin meningkat namun ia tidak menghalang penggemar telur untuk membeli telur penyu tersebut.


''Harga telur penyu pernah mencecah sehingga RM5 sebiji tetapi mereka tetap membelinya," katanya.


Menurutnya, telur penyu yang mempunyai isi yang cair berwarna putih kekuningan itu biasanya dimakan secara mentah ataupun direbus terlebih dahulu.


Sementara itu, seorang lagi penjual telur penyu, Bedah Hitam, 60, pula memberitahu, telur penyu yang dijual di pasar itu datang dari dua tempat iaitu Terengganu dan Sabah.


''Telur penyu Sabah harganya lebih murah malah rasanya kurang enak berbanding dari Terengganu," ujarnya.


Menurutnya, telur tersebut dapat bertahan selama sebulan dalam keadaan suhu biasa.

No comments: