Wednesday, November 19, 2008

Bukan sekadar coklat


Siti Badariah Osman memperkenalkan produk coklat Hattee keluaran Dezzariz Sdn. Bhd. di Nilai, Negeri Sembilan, semalam.


SEREMBAN 19 Nov. - Apabila bercerita mengenai coklat sudah tentu peminatnya dapat membayangkan kelazatannya serta aroma yang cukup menyelerakan dengan kepingan bersalut keemasan.


Lebih teruja apabila coklat menjadi hidangan pembuka majlis serta ada yang menjadikan ia sebagai 'buah tangan' serta cenderahati dalam majlis keraian, termasuk acara makan malam meraikan pasangan pengantin.


Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu bahawa coklat sebenarnya berhubung kait dengan kehidupan seharian manusia kerana ia boleh menceriakan seseorang, malah mampu membuat seseorang berasa tenang dan gembira.


Paling tidak pun, ia cukup untuk membuatkan pasangan kekasih dan pengantin itu berasa diri disayangi.


Ironinya, khasiat coklat bukanlah satu perkara yang dangkal untuk diceritakan, malah kajian saintifik mengenai coklat telah terbukti terutamanya dalam bidang perubatan seperti membantu melancarkan peredaran darah dan kestabilan kepada ibu mengandung.


Menurut Pegawai Pemasaran Dezzariz Sdn. Bhd., Siti Badariah Osman yang memiliki kilang di Nilai 5, coklat bukanlah satu bahan makanan yang dianggap elegan tetapi ia merupakan makanan yang cukup digemari segenap lapisan masyarakat tanpa mengenal usia mahupun bangsa.


"Seperti yang kita ketahui, dahulu ramai orang menganggap coklat sebagai makanan yang mahal dan hanya dihidangkan pada majlis tertentu selain memerlukan perbelanjaan yang besar. Namun pada masa ini, coklat boleh didapati di mana-mana dan ia mampu dinikmati oleh sesiapa sahaja.


''Apa yang kita sedang usahakan sekarang ialah mengurangkan kos untuk menjadikan coklat sebagai salah satu makanan yang mampu dinikmati oleh semua lapisan," katanya ketika kepada Utusan Malaysia ditemui di sini hari ini.


Siti Badariah berkata, selain menghasilkan produk coklat, syarikatnya juga menerima tempahan daripada orang ramai termasuk syarikat-syarikat korporat bagi tujuan cenderahati kepada orang ramai yang menghadiri majlis-majlis keraian dan sebagainya.


Menurutnya, syarikat berkenaan juga menerima maklum balas yang cukup baik di kalangan pelanggan dan juga orang ramai kerana rasa coklatnya setanding dengan rasa coklat lain yang berada dalam pasaran.


''Kita mengutamakan kualiti penghasilannya yang mana setiap produk yang kita keluarkan menggunakan koko yang terpilih bagi penghasilan coklat bermutu tinggi selain dapat memberikan kepuasan optimum kepada pelanggan.


''Bagi menghasilkan coklat yang terbaik, hanya bahan-bahan serta koko terpilih sahaja yang digunakan bagi memastikan keenakan coklat itu benar-benar dapat menepati cita rasa serta selera para pelanggan," ujarnya.


Sehubungan itu, Badariah berkata, walaupun kos bagi menghasilkan coklat terbaik agak tinggi, pihaknya masih berusaha untuk memastikan produknya dapat dinikmati oleh pelanggan.

No comments: