Wednesday, November 19, 2008

1,000 usahawan wanita disasar setiap tahun

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyasarkan matlamat untuk melahirkan seramai 1,000 usahawan wanita setiap tahun melalui beberapa program yang dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita.


Ketua Pengarah jabatan itu, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur berkata, sasaran itu bagi memberi peluang terutama kepada golongan ibu tunggal terlibat secara aktif dalam mempertingkatkan pembangunan ekonomi negara.


''Walaupun projek yang kita anjurkan berskala kecil, kita mempunyai strategi bagi membantu usahawan wanita terlibat berkembang maju sehingga mampu membawa perusahaan mereka menembusi pasaran luar negara,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Noorul Ainur berkata, antara program yang sedang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) ialah Program Usahawan Tani Wanita yang memberi peluang wanita menyertai bidang pertanian.


Katanya, projek perintis program tersebut telah dimulakan di Negeri Pahang bulan lalu yang disertai sekumpulan wanita yang diberi bimbingan dalam penanaman bunga melor untuk industri teh herba.


''Kita akan terus dengan penanaman tumbuhan seperti serai, kunyit dan lain-lain pula selepas ini dan hasilnya akan dipasarkan secara komersial,'' katanya.


Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-KIT) pula katanya, menggunakan pendekatan latih-bimbing terhadap ibu tunggal di setiap negeri untuk menghasilkan produk perusahaan dalam bidang jahitan, kecantikan, kraftangan, asuhan kanak-kanak, pelancongan dan pemprosesan makanan.


''Strategi yang kita aturkan pula adalah menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta seperti rangkaian pasar raya besar di negara ini bagi menyediakan ruang untuk memasarkan produk keluaran usahawan tersebut,'' katanya.


Tambahnya, melalui program yang dianjurkan, para peserta turut didedahkan dengan kemahiran soft skill seperti kemahiran bahasa, keterampilan dan asas keusahawanan sebagai persediaan menceburi bidang pekerjaan atau memulakan perniagaan.


Dalam pada itu, Noorul Ainur menggesa pihak swasta mengambil peluang untuk membantu wanita yang terlibat dalam program-program tersebut dengan menyediakan peluang bagi memasarkan produk keluaran perusahaan mereka.


''Kerjasama bijak ini akan membantu melahirkan usahawan wanita yang berpotensi bersaing secara kompetitif sekali gus membangunkan produk dan jenama mereka ke tahap lebih baik.


''Selain itu, syarikat swasta seperti rangkaian pasar raya besar mendapat faedah kerana ia boleh menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka,'' katanya.

No comments: