Wednesday, November 19, 2008

RM33.4 juta disasar dari ternakan lembu

MELAKA 6 Nov. - Melaka menyasarkan untuk meraih RM33.4 juta dari nilai pengeluaran ternakan lembu di seluruh negeri ini pada tahun 2010.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri, Datuk Mohammad Hidhir Abu Hasan berkata, sasaran itu adalah lebih besar berbanding nilai pengeluaran ternakan itu yang diperolehi pada tahun 2005 lalu.


Pada masa ini ujarnya, terdapat kira-kira 732 penternak yang mengusahakan ternakan lembu jenis tenusu, daging dan kandang yang jumlah keseluruhannya sebanyak 24,639 ekor di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.


''Daerah Alor Gajah mencatatkan bilangan penternak terbanyak iaitu seramai 340 orang menternak lembu daging dengan jumlah ternakan sebanyak 11,123 ekor," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.


Selain itu, katanya, kerajaan negeri turut mensasarkan nilai pengeluaran untuk ternakan kambing dan biri-biri sebanyak RM8.47 juta dalam tempoh yang sama berbanding RM2.67 juta pada tahun 2005.


Ketika ini, katanya, seramai 419 penternak kambing terdapat di seluruh negeri dengan bilangan ternakan adalah sebanyak 28,912 ekor sementara penternak biri-biri ialah seramai 84 orang dengan jumlah ternakan 6,394 ekor.


Pada masa yang sama, ujarnya, kerajaan negeri sentiasa menggalakkan penduduk terutama mereka yang tinggal di luar bandar untuk terlibat secara aktif bagi menjayakan hasrat meningkatkan nilai pengeluaran ternakan pada masa depan.


Kata Mohammad Hidhir, mereka yang berminat mengusahakan bidang itu perlu berkemampuan daripada segi modal dan memastikan jarak kawasan ternakan adalah satu kilometer dari kawasan penempatan penduduk bagi mengelak masalah pencemaran bau dan alam sekitar.


Menjawab soalan tambahan Chua Kheng Hwa (BN-Bemban), beliau berkata, pada masa ini, kerajaan negeri tidak bercadang untuk melakukan usaha menghasilkan bahan makanan ternakan bagi diedarkan kepada penternak dalam usaha membantu mengurangkan kos kenaikan bahan tersebut.


Setakat ini, katanya, kerajaan negeri belum mempunyai hasrat untuk menghasilkan makanan ternakan sendiri tetapi lebih menggalakkan penternak untuk mencari alternatif sendiri termasuk mengambil bahan semula jadi bagi tujuan tersebut.


Misalnya, ujar beliau, menggunakan daun kelapa sawit bagi kegunaan bahan makanan ternakan kerana penggunaanya terbukti menambah protein dan pada masa, penternak juga boleh mendapatkan nasihat kepakaran dari Jabatan Veterinar negeri bagi tujuan tersebut.

No comments: