Thursday, November 27, 2008

9 hari menoreh dapat RM3,900


Seorang penoreh menyapu cecair Mortex pada torehan pokok getah

IPOH 25 Nov. - Mungkin anda tidak percaya seorang penoreh getah boleh memperoleh pendapatan sebanyak RM3,934 dengan hanya sembilan hari menoreh getah.


Bagi Mior Razali Mior Hassan, 40, beliau dapat memperoleh pendapatan tersebut pada September lalu, iaitu dengan menoreh hanya sembilan hari beliau memperoleh lebih 516 kilogram (kg) berat kering getah melalui teknologi Mortex.


Katanya, beliau menggunakan teknologi sapuan Mortex sebulan sekali sejak Jun tahun lalu hingga Januari tahun ini seperti yang disyorkan
oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) kepada pekebun kecil.


Di samping Mior Razali, terdapat lapan peserta lain telah mencapai produktiviti kebun melebihi 1,500 kilogram sehektar setahun.


Ekoran itu, mereka menerima Anugerah Produktiviti Kebun Terbaik untuk peserta Rancangan Belia Khas (RBK) Ayer Panas, Gerik.


Antara peserta RBK Gerik yang menerima anugerah produktiviti
tersebut ialah Abdullah Mat Saman, Abdullah Zainal Abidin, Adenan
Saidi, Mohamad Senik, Mohd. Taib Abdul Ghani, Saaidan Yusof dan Yaakob
Wan Mat setelah produktiviti mereka mencatat lebihi 1,500kg sehektar
setahun.


Projek RBK Ayer Panas, Gerik ini menjadi sumber inspirasi kepada pekebun-pekebun kecil getah di seluruh Perak.


Peningkatan hasil tersebut turut diakui Pengarah LGM Wilayah Utara, Shamsudin Atan.


Mior Razali berkata, melalui teknologi ini ia meningkatkan pengeluaran getah dan pendapatan mereka melalui penggunaan teknologi-teknologi pengeluaran hasil torehan dan konsep Lits yang diluluskan oleh LGM.


”Kami menggunakan teknologi Mortex ini sejak Jun 2007 dan kami dapati hasilnya begitu memuaskan,” katanya.


Sebanyak 52 peserta telah menyertai projek penggunaan Mortex ini melibatkan 102,482 hektar atau berjumlah 40,749 pokok getah.


Dalam tempoh kajian itu, keluasan paling kecil ialah 0.694 hektar (400 pokok) dan keluasan paling besar adalah 2,436 hektar (800 pokok).

No comments: