Wednesday, November 19, 2008

Insentif wang galak pengeluaran akuakultur

SETIU 16 Nov. - Sebanyak 300 penternak ikan dan udang di kawasan Setiu bakal menerima Insentif Galakan Pengeluaran Akuakultur daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, hasil penyertaan mereka dalam projek berkenaan.


Insentif berkenaan adalah bagi meringankan bebanan kenaikan kos pengeluaran akuakultur akibat kenaikan harga input.


Ketua Perikanan Daerah Setiu, Syed Aziz Syed Akhir berkata, bantuan itu berupaya mendorong para penternak termasuk di Setiu meningkatkan hasil pengeluaran ternakan mereka.


Menurutnya, projek yang layak menerima insentif itu ialah ternakan ikan air tawar, ikan laut, udang air tawar, udang laut dan kerang.


''Insentif ini merupakan bayaran wang tunai kepada penternak mengikut hasil ternakan yang telah dijual kepada pembeli atau pemborong," ujarnya di sini baru-baru ini.


Katanya, kadar insentif berkenaan diagih mengikut tiga kategori iaitu penternak kecil, separa komersial dan komersial.


Syed Aziz memberitahu, bagi kategori ikan air tawar, insentif yang diberikan adalah RM570 untuk satu tan metrik kepada penternak kecil, RM285 bagi satu tan metrik (separa komersial) dan RM190 satu tan metrik (penternak komersial).


Menurutnya, insentif itu bukan sahaja menggalakkan peningkatan pengeluaran makanan di negara ini tetapi juga menggalakkan budaya menyimpan rekod ternakan di kalangan pengusaha akuakultur.


''Dengan adanya insentif ini, penternak terbabit akan menyimpan rekod projek mereka secara lebih tersusun yang memudahkan kerajaan memantau perusahaan mereka," ujarnya.


Jelasnya, penternak kecil adalah mereka yang mengusahakan kolam ikan atau udang di kawasan yang luasnya tidak melebihi dua hektar atau mempunyai kurang 30 sangkar.


Menurutnya, pengusaha separa komersial pula adalah yang mengusahakan ternakan di kawasan antara dua hingga 10 hektar manakala penternak komersial melibatkan kawasan seluas 10 hektar ke atas atau memiliki lebih 200 sangkar ikan.


Beliau berkata, kerajaan juga menetapkan syarat bagi mendapat insentif yang dibayar menerusi akaun simpanan Bank Agro Malaysia.


''Syarat itu adalah penternak mempunyai tapak sendiri atau perairan projek yang sah, berdaftar dengan Jabatan Perikanan dan memiliki rekod ternakan yang diseliakan oleh Jabatan Perikanan," ujarnya.

No comments: