Wednesday, November 19, 2008

Aktiviti hujung minggu MOA setiap Sabtu

KUALA LUMPUR Dalam usaha mengajak orang ramai menyemarakkan lagi industri pertanian negara, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) telah melancarkan Program Aktiviti Hujung Minggu MOA baru-baru ini.


Ia diadakan pada setiap hari Sabtu bermula 1 November lalu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).


Ketua Pegawai Eksekutif MAEPS, Datuk Mohd. Arif Othman berkata, selain pameran, pelbagai aktiviti menarik menanti para pengunjung termasuklah jualan daging segar oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Laman Ternakan.


Selain itu, katanya, pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai pokok hiasan dan buku pertanian yang diterbitkan oleh Jabatan Pertanian di Laman Florikultur serta jualan beras dan produk berasaskan beras oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Laman Padi.


Katanya, Lembaga Perindustrian Malaysia pula bertanggungjawab untuk menguruskan Laman Nanas serta program-program di situ manakala MARDI mengadakan jualan pokok sayuran, cili dan biji benih di Laman Sayur.


"Jabatan Perikanan Malaysia pula akan mengadakan jualan ikan hiasan serta makanan ikan di Laman Perikanan," katanya dalam satu kenyataan di sini.


Beliau berkata, selain aktiviti yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah MOA, MAEPS turut menganjurkan MAEPS Bazaar yang menjual pelbagai produk pertanian serta produk industri kecil dan sederhana selain daripada makanan dan minuman di sekitar rumah-rumah negeri.


Katanya, aktiviti hujung minggu itu juga memberi peluang kepada para pengunjung untuk menonton aktiviti sukan luar yang menarik seperti kapal terbang kawalan jauh, luncur udara serta berkayak.


Mohd. Arif berkata, bagi menggalakkan kunjungan orang ramai dan sebagai promosi terhadap aktiviti hujung minggu itu, kemudahan letak kereta, masuk dan menaiki tram ke laman-laman adalah percuma sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

No comments: