Thursday, November 6, 2008

Tebu beri pulangan lumayan

JERANTUT: Sembilan peserta Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di Bukit Rang, Pulau Tawar dekat sini menerima pendapatan lumayan sebanyak RM45,000 apabila ladang tebu seluas lapan hektar yang mereka usahakan mengeluarkan hasil sepanjang Ramadan tahun ini.


Pegawai Penyelaras Projek Kelompok Pertanian PPRT Bukit Rang, Pulau Tawar, Jamalukhair Mohd Rashid, berkata mereka menerima durian runtuh itu selepas hasil tebu mereka mendapat tempahan daripada peniaga di pasar Ramadan.


Katanya, berkat usaha gigih mereka sejak enam bulan lalu itu membuahkan hasil apabila projek tebu itu mendapat perhatian peraih tebu dari Jerantut, Jengka, Temerloh dan Kuantan yang berminat untuk memasarkannya khususnya pada bulan puasa.


Jamalukhair berkata, pada awal Ramadan lalu peraih datang melihat kawasan projek dan meletakkan pembiayaan awal sejumlah RM45,000, bagi mendapatkan bekalan untuk perniagaan sepanjang Ramadan.


“Tempahan dan pembayaran awal yang dilakukan membolehkan peraih mendapat bekalan tanpa putus untuk jangka masa yang diperlukan.


“Bermula awal Ramadan lalu, tebu dibeli secara borong di ladang dengan nilaian tebu dijual sehingga kini mencecah jumlah 60,000 batang,” katanya.


Beliau berkata, sebatang tebu panjangnya dua meter dan lebih dijual pada harga RM1.20, yang mana peserta PPRT ini akan menerima sebanyak RM27,000 lagi sebagai baki bayaran, daripada bayaran penuh RM72,000.


Katanya, usaha gigih di bidang pertanian, khususnya tanaman tebu yang dilakukan oleh sembilan peserta terbabit boleh mendatangkan pulangan lumayan kerana ia sentiasa mendapat pasaran yang tinggi.


Katanya, kelompok peserta PPRT lain boleh mencontohi usaha gigih mereka ini kerana ia dapat meningkatkan pendapatan keluarga melalui hasil pertanian.


Sementara itu, Ketua Projek Kelompok Pertanian PPRT, Noor Ahmad Kamal Mohamad, berkata tebu mempunyai pasaran yang luas, dan berbekalkan khidmat nasihat yang diberikan, ia membantu merubah nasib kelompok masyarakat miskin di sini.


Katanya, pertanian menjanjikan keuntungan yang sangat lumayan jika ia diuruskan dengan tekun dan bersungguh-sungguh sekali gus dapat merubah nasib peserta ke arah lebih baik dan meningkatkan ekonomi peserta.


Ternyata projek yang diusahakan dengan bantuan Jabatan Pertanian benar-benar membantu meningkatkan sosioekonomi peserta PPRT, yang rata-ratanya tergolong dalam kelompok Program Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS),” katanya.


Noor Ahmad berkata, projek yang diusahakan itu mendatangkan rezeki Ramadan dan Aidilfitri untuk peserta PPRT, turut membantu menjadikan Pulau Tawar sebagai lokasi pengeluar produk pertanian utama di daerah ini.


Katanya, tempahan tebu yang diterima sehingga kini datangnya daripada peraih sekitar Kuantan, Jerantut, Jengka dan Temerloh, dengan purata tuaian setiap hari sekitar 4,000 batang.

No comments: