Wednesday, November 19, 2008

RM2j bantu 302 usahawan tani

JOHOR BAHRU 9 Nov. - Jabatan Pertanian Johor menyalurkan peruntukan RM2 juta bagi Program Galakan Usahawan Negeri Johor 2008 untuk membantu 302 individu bergiat dalam industri asas tani.


Program yang tertumpu kepada masyarakat tani di kawasan luar bandar itu akan merangkumi latihan keusahawanan di samping geran bantuan kewangan.


Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ab. Aziz Kaprawi, program berkenaan bertujuan membantu golongan peladang meningkatkan pendapatan dan produktiviti kualiti menerusi penglibatan dalam industri kecil dan sederhana (IKS).


"Selain daripada aktiviti pengeluaran di peringkat ladang, kerajaan juga menggalakkan supaya aktiviti industri hiliran dapat dimajukan kerana ia akan dapat memberi nilai tambah kepada hasil-hasil pengeluaran ladang.


"Dengan ada industri pemerosesan bersaiz kecil dan sederhana, akan dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan serta menjana beberapa aktiviti lain yang berkaitan," katanya.


Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil Program Galakan Usahawan negeri Johor 2008 di Persada Johor di sini baru-baru ini.


Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang dan Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Johor, Johari Jemain.


Seramai 302 individu menerima sijil bantuan berkenaan yang turu merangkumi golongan petani, peladang, penternak dan nelayan.


Aziz berkata, masyarakat tani perlu mengambil kesempatan daripada kepesatan pembangunan sektor pertanian kerana ia menjadi penyumbang ketiga terbesar ekonomi negara.


"Sehingga kini, 18 pengusaha bumiputera di negeri Johor telah mencapai nilai pengeluaran melebihi RM1 juta, manakala 25 pengusaha lagi mempunyai nilai pengeluaran RM500,000 setahun," katanya.


Sementara itu, menurut Maulizan, pihaknya juga akan memberi sokongan kepada golongan petani untuk terlibat dengan lebih aktif dalam kegiatan keusahawanan.


Katanya, bantuan yang ditawarkan ini diharap dapat membantu golongan usahawan tani meningkatkan lagi tahap kualiti produk, pembungkusan, penjenamaan dan pemasaran.

No comments: