Monday, November 24, 2008

Kilang cacing beri pendapatan lumayan

JOHOR BAHRU 20 Nov. - Pengurus Syarikat Balqis Agrotech Ent., Md. Anuar Yahya yang melawat tempat ternakan cacing yang diusahakan oleh empat sahabat itu berkata, beliau berasa bangga dengan perkembangan menggalakkan yang ditunjukkan oleh penternak haiwan tersebut.


Jelasnya, penternak haiwan tersebut tidak lagi perlu bekerja kuat untuk mendapatkan hasil sebaliknya cacing itu sendiri yang akan bekerja bagi memperoleh pulangan lumayan untuk mereka.


"Mereka hanya perlu memastikan makanan dan suhu tempat membiak cacing adalah sesuai.


"Selebihnya, cacing itu sendiri yang akan membuat kerja iaitu membiak, malah apabila menghasilkan tahi, ia boleh dibuat baja yang boleh dijual," katanya ketika melawat kawasan perusahaan cacing yang diusahakan empat sahabat itu di Kangkar Tebrau di sini baru-baru ini.


Lawatan itu dibuat bagi melihat dan memantau perkembangan peserta kursus yang dipilih mengikat kontrak membekalkan cacing kepada Balqis Agrotech setelah menjalani seminar yang diadakan oleh syarikat itu.


Sementara itu, Md. Anuar berkata, pihaknya akan mengadakan Seminar Ternakan Cacing Kompos pada 14 Disember ini di Hotel Good Hope, Skudai di sini.


Katanya, peserta yang berhasrat untuk menceburi bidang ternakan cacing akan diberi tunjuk ajar oleh pihaknya dan sehingga kini kira-kira 70 peserta telah mengikuti kursus itu di negeri ini.


Tambahnya, bantuan pinjaman kewangan daripada Agro Bank, proses pemantauan serta ditawarkan kontrak untuk membekalkan cacing dan baja kepada syarikatnya turut disediakan.


Mereka yang berminat untuk menyertai seminar itu boleh menghubungi beliau di talian 012-7205031 atau melayari laman web www.balqisagrotech.com.


Katanya, mungkin ramai yang masih ragu-ragu tentang pulangan lumayan hasil menjual cacing kerana mereka sebenarnya tidak mengetahui kepelbagaian kegunaan cacing.


"Ramai yang menganggap cacing hanya digunakan untuk umpan memancing. Sebenarnya ia juga boleh digunakan untuk dijadikan bahan kosmetik dan ubat malah najisnya boleh dibuat baja kompos.


"Ia boleh dipasarkan dalam negara dan juga untuk pasaran luar negara," katanya.


Md. Anuar berkata, di negara ini pun, kegunaan cacing sudah diketahui sejak zaman dahulu apabila ia digunakan sebagai penawar untuk menyembuhkan pelbagai penyakit.


Ditanya mengenai cabaran yang perlu dihadapi untuk menjadi penternak cacing, beliau berkata, seseorang itu mesti mempunyai minat yang mendalam dan rajin mempelajari ilmu terutama berkaitan teknologi terbaru ternakan cacing.


"Tak kurang pentingnya, seseorang itu harus menghilangkan perasaan geli terhadap cacing," katanya.

No comments: