Wednesday, November 19, 2008

NS mampu jadi hub hasil tani

SEREMBAN 19 Nov. - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mahu melihat Negeri Sembilan menjadi hub penting pengeluaran hasil tani selaras dengan tebaran kawasan yang melata disediakan kerajaan negeri.


Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed berkata, dengan kedudukan strategik serta keluasan kawasan yang digunakan untuk pertanian, negeri itu mampu melebar luaskan usaha menyemarakkan pertanian sebagai satu cabang ekonomi kepada penduduknya.

''Saya telah melawat Pusat Feedlot Negara di Gemas, kawasan ternakan kambing Boden, pusat penyembelihan, beberapa kawasan pertanian dan penternakan lembu. "Saya yakin negeri ini berpotensi untuk membangun sebagai pengeluar hasil tani," katanya ketika berucap pada majlis penutup NS Agro-Biotek 2008 di tapak lama Kem Paroi di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat.

Pada masa yang sama, Mustapa memberitahu kerajaan juga telah menyediakan pelbagai peruntukan yang besar untuk memperkasakan pertanian.

Justeru sudah tiba masanya peladang, penternak dan nelayan menyahut cabaran untuk menghasilkan produk masing-masing ke tahap yang tinggi, bukan sahaja memenuhi permintaan domestik tetapi juga untuk tujuan eksport.


Mengenai kekurangan kakitangan dan pegawai dalam agensi di bawah kementerian itu, Mustapa berkata, ia sedang diisi selepas mendapat kelulusan pemberian jawatan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).


Beliau juga berharap, golongan petani, penternak dan nelayan berupaya menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam memasarkan hasil tani masing-masing kerana ia semakin berkesan bagi memperluaskan jualan serta tempahan.


''Ketika ini kira-kira 40,000 orang telah menggunakan kaedah ICT dan ia ternyata membawa pulangan yang lebih baik dalam memasarkan produk hasil tani masing-masing," katanya.


No comments: