Monday, November 24, 2008

Pengorbanan membuahkan hasil

KUALA LUMPUR 9 Nov. – Pengorbanan berjauhan dengan isteri serta keluarga tidak sedikitpun melunturkan semangat Abdul Munir Pangat, 52, untuk terus menimba ilmu dan seterusnya membuahkan kejayaan yang tidak pernah disangkakan.


Abdul Munir bukan sahaja berjaya memperoleh Diploma Eksekutif Pengurusan Ladang dan Agro Bisnes, malah menjadi pelajar terbaik keseluruhan Program Diploma Eksekutif Universiti Terbuka Malaysia (OUM).


Beliau yang ditemui selepas majlis penyampaian Diploma Eksekutif dan Sijil Institut Pembangunan Profesional (IPD)- OUM 2008 di sini hari ini berkata, kejayaan itu tidak pernah diimpikan oleh dirinya kerana beliau lebih mengharapkan kecemerlangan anak-anaknya.


‘‘Saya bersyukur kerana masa dan tenaga saya selama ini tidak sia-sia terutama apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga tersayang semata-mata untuk menamatkan pembelajaran saya ini.


Semangat

“Sebelum ini, saya sentiasa memberi semangat kepada anak-anak dalam pembelajaran mereka, dan kini saya menggunakan semangat yang ada pada mereka untuk mencapai kejayaan ini,’’ kata Pengurus Ladang Risda yang bertugas di Slim River, Perak ini.


Beliau merupakan antara 843 pelajar yang menerima anugerah Diploma Eksekutif daripada Pro Canselor OUM, Tan Sri Azman Hashim pada majlis penyampaian sijil tersebut.


Menceritakan pengalaman sebagai pelajar, Abdul Munir berkata, beliau terpaksa berkorban masa dan tenaga selama dua tahun apabila jarang pulang ke rumah untuk bersama keluarga pada hujung minggu ekoran tanggungjawab sebagai pelajar dan perlu menghadiri kuliah di Teluk Intan pada setiap Sabtu dan Ahad.


Seramai 843 pelajar yang menamatkan pembelajaran hari ini merupakan pekerja daripada kira-kira enam syarikat sektor awam dan swasta yang ditanggung sepenuhnya oleh syarikat masing-masing bagi menyambung pembelajaran.


Anugerah-anugerah yang diterima oleh Abdul Munir adalah pelajar paling cemerlang, menyediakan kertas projek terbaik, anugerah presiden kerana mempunyai pencapaian cemerlang secara keseluruhan dan rekod kehadiran yang paling baik.


Beliau yang merupakan datuk kepada seorang cucu berkata, kejayaannya pada hari ini adalah berkat doa dan sokongan moral yang diberikan oleh isteri dan keluarganya.


‘‘Saya berterima kasih kepada keluarga kerana tidak pernah merungut tanpa kehadiran saya di sisi mereka walaupun saya tahu mereka amat memerlukan saya,’’ ujarnya.

No comments: