Wednesday, November 19, 2008

Potensi pertanian


Mohamad Hasan melihat teknik bio-booster menanam cendawan di Seremban, kelmarin.
- Gambar MD. SHAHJEHAN MAAMIN.


SEREMBAN 14 Nov. - Dewasa ini bidang pertanian dilihat sebagai satu cabang kegiatan ekonomi yang penting serta berupaya menjana pendapatan lumayan kepada pengusahanya.


Melihat potensi besar dalam bidang tersebut, semakin ramai usahawan tani di negeri ini tampil menyahut seruan kerajaan dalam merealisasi moto 'Pertanian Adalah Perniagaan'.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata, usahawan tani kini perlu memperluas minda dengan tidak membataskan aktiviti kepada kegiatan pengeluaran sahaja.


Sebaliknya, menurut beliau, bidang pertanian perlu dilihat sebagai satu industri berskala besar dengan pulangan serta keuntungan yang tinggi.


''Peladang, penternak dan nelayan tidak seharusnya kekal sebagai pengeluar sahaja dan membiarkan aktiviti nilai tambah produk pertanian dikuasai oleh pihak lain," ujar beliau.


Mohamad berkata demikian ketika berucap merasmikan Ekspo Agro-Biotek 2008 sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri di Paroi dekat sini semalam.


Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Yunus Rahmat; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Norzam Mohd. Nor dan Pengerusi Pertubuhan Peladang negeri, Datuk Ibrahim Jahaya.


Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan Anugerah Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri kepada 14 kategori pemenang.


Ekspo berkenaan bermula semalam hingga 18 November ini dengan melibatkan 170 usahawan tani serta agensi kerajaan dan syarikat swasta yang bergiat dalam sektor perladangan, penternakan dan perikanan di seluruh negara.


Di samping itu, jelas Mohamad, kesemua usahawan tani di negeri ini diminta melakukan perubahan minda bagi membolehkan mereka bertindak balas dengan segera dan tepat terhadap setiap perubahan dalam iklim pasaran.


''Usahawan tani perlu berjiwa besar dengan melihat pertanian sebagai satu industri gergasi yang mampu bersaing di pasaran global.


''Mereka juga seharusnya membuka minda kepada aspek penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), penerokaan pasaran serta proses globalisasi," kata beliau.


Ujarnya lagi, usahawan tani perlu memperluas pengetahuan dalam bidang pemasaran serta mempunyai jati diri, daya tahan dan semangat juang yang tinggi.


Sementara itu, dalam buku cendera mata ekspo berkenaan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed, berkata, pendekatan yang dinamik lagi progresif diperlukan bagi mencapai matlamat Pertanian Baru seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.


Jelas beliau, kerajaan berhasrat untuk menjadikan bidang pertanian sebagai satu perniagaan yang mempunyai nilai tambah, menggunakan teknologi tinggi termasuk bioteknologi dan ICT serta mewujudkan usahawan tani yang berkemahiran tinggi dan berpengetahuan.


''Setiap petani, penternak dan nelayan serta individu lain yang ingin menceburkan diri dalam bidang ini perlu berfikiran terbuka di samping bekerja dengan lebih kuat lagi," ujarnya.


Dalam pada itu, Yunus memberitahu, pembabitan golongan muda dalam bidang pertanian sememangnya amat digalakkan.


Beliau berkata, kehadiran generasi muda akan merangsang sektor pertanian ke arah yang lebih moden, positif dan dinamik.


''Justeru, diharap lebih ramai lagi golongan muda yang menceburi bidang ini dengan menjadikannya sebagai satu kerjaya," ujarnya ketika berucap pada majlis yang sama.


Selain itu, kata Yunus, usahawan tani turut disaran supaya menyediakan infrastruktur perdagangan berasaskan internet bagi memasarkan produk secara meluas.

No comments: