Wednesday, November 19, 2008

Agro Bank luluskan pinjaman RM2.8 bilion

JELI 9 Nov. - Agro Bank telah meluluskan pinjaman kepada 117,000 pengusaha sektor pertanian dan industri asas tani dengan jumlah pinjaman sebanyak RM2.8 bilion sejak Januari sehingga September lalu.


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, ia merupakan komitmen institusi kewangan itu untuk membantu meningkat sektor pertanian di negara ini.


Beliau berkata, dalam masa yang sama pihaknya akan meningkatkan perkhidmatan Agro Bank di seluruh negara bagi memberikan kemudahan kepada para pelanggan terutama golongan petani.


"Untuk negeri ini sahaja, kita telah meluluskan pinjaman sebanyak RM123 juta untuk sektor pertanian dan industri asas tani di negeri ini sahaja.


"Ini menunjukkan komitmen kita untuk memberikan perkhidmatan terbaik terutama kepada petani," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke Agro Bank cawangan Jeli di sini hari ini.


Turut hadir, Naib Presiden Agro Bank, Ab. Malik Ahamad.


Pada majlis itu beliau turut menyampaikan anugerah simpanan Patriot dan pampasan perlindungan simpanan pelanggan.


Dalam pada itu Mustapa berkata, pihaknya juga akan menaik taraf beberapa buah cawangan bank tersebut di negeri ini untuk memberikan keselesaan kepada pelanggan.


"Sebagai contoh, di Jeli ini terdapat sebanyak 30,000 akaun dengan jumlah deposit sebanyak RM24 juta.


"Dengan jumlah pelanggan yang semakin meningkat terdapat keperluan kita untuk menaik taraf sebahagian daripada lapan cawangan Agro Bank di negeri ini," katanya.


Tambahnya, sumbangan bank tersebut amat penting bagi menjayakan pelan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

No comments: