Wednesday, November 19, 2008

FAMA galak petani tingkat pengeluaran pisang

LANGKAWI 9 Nov. - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), menggalakkan petani seluruh negara meningkatkan pengeluaran pisang berikutan permintaannya yang semakin meningkat.


Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Nordin Ahmat berkata, pengeluaran pisang perlu berterusan dan stabil bagi memastikan bekalannya sentiasa mencukupi.


"Projek tanaman pisang secara ladang kontrak amat digalakkan bagi menjamin bekalan sentiasa berterusan dari petani," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis menandatangani perjanjian ladang kontrak pisang berangan antara FAMA dengan peserta koperasi peneroka rancangan Felcra Langkawi Berhad, di pusat pengumpulan hasil Teluk Yu di sini hari ini.


Katanya, ladang kontrak merupakan program yang diperkenalkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk membantu pengusaha pertanian berskala kecil dan sederhana serta meningkatkan pendapatan golongan sasar kepada RM2,000 sebulan menjelang tahun 2010.


"Permintaan pisang agak tinggi untuk pasaran tempatan seperti di Pulau Pinang, Perak, Kelantan serta Lembah Klang dan ada juga permintaan daripada Singapura dan Hong Kong.


"Di Kedah, kita ada 1,777 hektar ladang kontrak membabitkan 1,277 peserta," katanya.


Nordin berkata, setakat ini pelaksanaan program itu melibatkan peningkatan keluasan kawasan ladang kontrak daripada 1,963 hektar kepada hampir 36,000 hektar membabitkan lebih 22,000 peserta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

No comments: