Monday, November 24, 2008

Mara Sedia RM90 Juta Lahir Usahawan Ternak Ikan Teknologi Tinggi

LUMUT, 11 Nov (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyediakan peruntukan RM60 juta bagi melahirkan 200 usahawan penternak ikan laut di kolam dengan menggunakan kaedah bioteknologi.



Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Usahawan Mara, Mohamad Samion berkata program itu akan dilaksanakan secara mentor-mentee bersama dengan syarikat perintis projek ternakan berteknologi tinggi, Global Hi-Q Biotech (M) Sdn Bhd (Global Hi-Q).



Global Hi-Q menjalankan penternakan ikan laut di Pulau Pangkor dekat sini sejak dua tahun lepas dengan pelaburan kira-kira RM20 juta.



Mohamad berkata Global Hi-Q akan berperanan sebagai mentor dalam program berkenaan bagi memberi bimbingan dan khidmat nasihat kepada para usahawan yang terpilih.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Projek Mentor-Mentee Ternakan Ikan Bioteknologi Global Hi-Q kepada 15 usahawan perintis program berkenaan di sini hari ini.



"Seramai 200 usahawan yang bakal dipilih itu akan menjadi mentee kepada Global Hi-Q dan setiap daripada mereka akan diberi pinjaman Mara RM300,000," katanya.


Menurutnya para peserta akan dibekalkan dengan 10 hingga 20 buah kolam dan Global Hi-Q akan bertindak bukan sahaja sebagai penasihat teknikal tetapi turut membantu dalam memasarkan ikan ke China, Jepun dan Taiwan.



Mohamad berkata pihak Mara akan membuat pemilihan peserta projek secara berperingkat bagi memastikan mereka yang terpilih mempunyai minat dan komitmen untuk muncul sebagai usahawan bidang berkenaan.



Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Global Hi-Q, Mohd Nasir Mohd Rashid berkata pihaknya yakin program itu mampu memberi hasil yang lumayan kepada para peserta kerana permintaan tinggi terhadap ikan laut.



"Kami percaya para peserta mampu menjelaskan pinjaman Mara dalam tempoh empat tahun kerana hasil boleh dituai dalam tempoh enam bulan selepas anak-anak ikan diternak," katanya.



Beliau berkata hasil ternakan ikan bioteknologi adalah terjamin dari segi pemasarannya kerana Global Hi-Q sudah mendapat tempahan tetap daripada pengusaha makanan dan restoran dari Taiwan, Jepun, China dan Hong Kong.



Projek ternakan ikan kerapu Global Hi-Q di Pulau Pangkor kini menghasilkan kira-kira 6 juta anak ikan setahun.

-- BERNAMA


No comments: