Monday, November 24, 2008

RM112 juta masih belum digunakan bantu penternak

PEKAN 23 Okt. - Sebanyak RM112 juta peruntukan untuk membantu meringankan beban penternak akuakultur masih 'terperap' kerana hampir tiada permohonan dibuat oleh golongan itu.


Pengarah Bahagian Pembangunan Akuakultur Jabatan Perikanan, Ismail Abu Hassan berkata, keadaan berlaku dipercayai ekoran sikap penternak yang enggan atau sukar untuk mengisi borang permohonan.


''Daripada RM113 juta yang diperuntukkan, hanya RM1 juta digunakan selepas menerima permohonan daripada penternak sejak diluluskan kerajaan Julai lalu.


''Ini amat menyedihkan kerana kerajaan membuat peruntukan yang amat besar demi membantu golongan terbabit mengatasi masalah kenaikan harga barangan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis dialog dan ramah mesra bersama penternak Projek Khas Sangkar Air Payau Taman Kekal Pengeluaran Makanan - Zon Industri Akuakultur Cherok Paloh dan Tanjung Agas di sini hari ini.


Ismail berkata, bagi mendapatkan peruntukan tersebut, penternak akuakultur perlu mengisi lima borang pada awal permohonan dan beberapa borang lain untuk permohonan selanjutnya.


Katanya, penternak juga perlu mengemukakan resit belian benih, makanan dan jualan sebagai bukti mereka pengusaha.


''Mungkin para penternak merasakan perkara sedemikian menimbulkan beban bagi mereka," katanya.


Sehubungan itu, katanya, bagi mengatasi masalah tersebut, pihaknya akan mengadakan taklimat mengenai kaedah mengisi borang kepada penternak akuakultur selain meminta kerjasama daripada Agro Bank untuk melicinkan operasi.


''Peruntukan sebanyak RM113 juta untuk membantu penternak akuakultur adalah salah satu program yang terkandung dalam Dasar Jaminan Makanan Nasional (DJMN)," jelasnya.

2 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum..
saya ada 3 soalan.

1.peruntukan RM112juta ni berbentuk pinjaman atau subsidi?

2.saya salah seorang penternak ikan air payau dalam sangkar di kg kuala setiu, setiu, terengganu dan telah mendapat pinjaman dana khas dari agro bank sebanyak RM50000.
adakah saya masih layak untuk menerima peruntukan tersebut?

3.seandainya layak,siapa yang perlu saya jumpa dan apa yang perlu saya buat untuk memeohon peruntukan tersebut?

sekian, terima kasih.
wan masri

Aku Zen Aznee said...

Salam , Masih adakah lagi peluang ini bagi tahun 2013