Sunday, November 8, 2009

Petani Kampung Slow Teliar tanam tembikai susu, labu madu


PASIR MAS: Sawah terbiar sejak tujuh tahun lalu di Kampung Slow Teliar, dekat sini, kini menjadi punca rezeki lumayan kepada 19 penduduk yang mengusahakan tanaman tembikai susu dan labu madu di kawasan seluas 12 hektar sejak dua tahun lalu.


Projek hasil inisiatif penduduk kampung berkenaan kini menunjukkan kejayaan apabila labu madu yang diusahakan sudah mengeluarkan hasil melebihi 70 tan yang dipasarkan ke seluruh negara melalui Lembaga Pemasaran Pertanian dan Persekutuan (Fama).


Selain itu, tanaman tembikai susu yang diusahakan secara berselang dengan labu madu pula mengeluarkan hasil sehingga 200 tan.


Ketua Kelompok Projek berkenaan, Abdullah Yaacob, berkata sejak diusahakan dua tahun lalu, setiap penduduk mampu memperoleh sehingga tujuh tan hasil tembikai susu dari setiap 0.4 hektar kawasan dengan pendapatan sekitar RM6,000 semusim penanaman.


Berikutan itu, mereka kini semakin serius mengusahakan dua tanaman terbabit menerusi penanaman berskala besar membabitkan kawasan seluas 26 hektar di tanah sawah terbiar bagi memenuhi permintaan pasaran yang meningkat.


“Kami semakin serius mengusahakan tanaman ini selepas hasil yang diraih begitu menggalakkan.


“Ketika mula mengusahakan tanaman labu madu di kawasan bendang terbiar ini, penduduk memperoleh hasil di luar jangkaan sehingga memberi semangat kepada kami untuk mengusahakannya secara serius dan pada skala lebih besar.


“Berikutan itu, kami sepakat mengusahakan penanaman tembikai susu dan labu madu di kawasan lebih luas kerana mendapat permintaan tinggi selain mampu dijual dengan harga yang tinggi ekoran kurangnya bekalan dari negeri lain,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Ladang Kontrak Kelantan 2009 di sini. Hadir sama, Pengarah Fama Wilayah Timur, Mohd Zaimi Abdul Razak dan Pengarah Fama Kelantan, Mamat Yunos.


Abdullah berkata, penduduk kini tidak lagi berdepan kesukaran memajukan kawasan berkenaan sebagai pusat pengeluaran tembikai susu dan labu madu kerana mempunyai kemudahan saliran air yang disediakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).


“Selain itu, penduduk juga tidak berdepan masalah pemasaran kerana Fama tampil membantu memasarkannya ke seluruh negara termasuk Johor, Pulau Pinang, Melaka dan Selangor,” katanya.


Beliau berkata, bagi memastikan hasil tanaman berkualiti dan mampu dijual oleh Fama, mereka sentiasa memastikan penggunaan baja mencukupi serta racun yang baik supaya bebas daripada sebarang penyakit berjangkit.


Rakannya, Zahari Yaacob, 30, yang mengusahakan tanaman labu madu dan tembikai susu di kawasan seluas dua hektar, pula yakin mampu mencapai sasaran pengeluaran sebanyak 10 tan bagi setiap hektar.


“Sepanjang mengusahakan tanaman ini, saya tidak berdepan masalah besar kerana sentiasa mengamalkan amalan pertanian baik dan membuat pemantauan secara kerap bermula dari proses menanam anak benih,” katanya.


Beliau turut melahirkan rasa gembira kerana harga yang ditetapkan Fama bagi sekilogram tembikai susu adalah RM1.10 iaitu paling tinggi sejak dua tahun lalu.


“Kami berharap kerjasama dengan Fama akan berterusan kerana ia memudahkan kami tanpa perlu bersusah-payah mencari pembeli selain dapat mengelak berlakunya lambakan hasil,” katanya.


Pengarah Fama Wilayah Timur, Mohd Zaimi, berkata pihaknya mula menjalinkan kerjasama dengan penduduk Kampung Slow Teliar sejak dua tahun lalu selepas mendapat permintaan bagi memasarkan hasil tanaman mereka.


“Pada musim ini saja, pengeluaran tembikai susu di Kampung Slow Teliar saja mencecah 200 tan dan kami gembira melihat kerjasama petani yang berusaha meningkatkan hasil pertanian,” katanya.

Mengenai majlis menandatangani perjanjian jual beli berkenaan, beliau berkata, ia adalah langkah yang baik bagi kedua-dua pihak dalam usaha memastikan hasil tanaman sentiasa ada untuk dipasarkan ke seluruh negara.

No comments: