Thursday, November 5, 2009

wu_011
MUSTAPA (kanan) melihat proses memindah benih ikan menggunakan mesin khas milik Syarikat Trapia di Tasik Temengor, Gerik, Perak baru-baru ini. – UTUSAN/NORSHARUDDIN SAPIAN


GERIK 18 Mac – Syarikat GenoMar melalui anak syarikatnya, Trapia Malaysia Sdn. Bhd. (TMSB) melabur sebanyak RM8 juta bagi menjalankan projek ternakan ikan air tawar dalam sangkar terbesar di Malaysia, di perairan Tasik Temengor, Gerik, Perak.


Presiden TMSB, Morten Hoyum berkata, projek itu ialah menternak ikan tilapia spesies GenoMar Supreme (GST) yang diperkenalkan oleh syarikat induk, GenoMar AS (GenoMar) dari Norway.


Menurutnya, syarikat berkenaan sebelum ini telah menjalankan penyelidikan dan percubaan untuk menternak anak ikan tilapia GST di beberapa lokasi termasuk di Thailand, Kedah, Johor, Pahang, Terengganu dan Perak.


“Hasil penyelidikan dan percubaan yang dijalankan itu mendapati perairan Tasik Temengor sesuai untuk dijadikan tapak ternakan tilapia GST.


“Sehubungan itu, pada 14 Januari 2008 lalu, kita telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Jabatan Perikanan untuk menggunakan sebahagian Pusat Perikanan Darat Banding sebagai pusat pembenihan sementara.


“Satu lagi MoU ialah dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak untuk menjalankan projek akuakultur dan pemprosesan ikan tilapia yang turut ditandatangani pada 15 Februari 2008,” katanya.


Menurutnya, syarikat itu telah memulakan projek ternakan percubaan pada November 2007 di dalam 10 unit sangkar bersaiz 6 meter dan enam unit sangkar bersaiz 4 meter.


Katanya lagi, sehingga Disember 2008 lalu, projek percubaan itu telah menghasilkan sebanyak 66 metrik tan ikan tilapia yang dipasarkan ke sebuah pasar raya ternama dengan menggunakan jenama ‘Royal Tilapia‘.


Morten berkata, pihak syarikat juga sedang berunding dengan dua lagi pasar raya besar lain untuk meluaskan lagi pasaran produk berkenaan selepas modul pertama terdiri daripada 20 unit sangkar bulat dijangka siap pada bulan Jun atau Julai depan.


Katanya, buat masa ini, syarikat telah mendapat pengiktirafan daripada pasar raya ternama itu dan menjadi pembekal dengan kapasiti pengeluaran hingga 1.5 tan metrik seminggu.


“Pelaburan syarikat kami juga akan mewujudkan hampir 2,000 peluang pekerjaan dan perniagaan dalam kalangan penduduk setempat.


“Sebanyak 50 peratus pengeluaran ikan tilapia akan dijalankan secara ‘ternakan kontrak’ sekali gus membuka peluang kepada usahawan tempatan,” katanya.


Menurutnya, menerusi konsep ‘ternakan kontrak’ itu, pihak syarikat akan melantik penternak secara kontrak untuk menternak ikan tilapia mengikut kaedah ternakan yang ditetapkan syarikat.


Jelas beliau, sebelum itu, penternak akan diberi latihan dan pengetahuan dari aspek ternakan dan membeli semula semua hasil pada harga yang sesuai untuk tempoh yang dijanjikan.

No comments: