Sunday, November 8, 2009

KUALA LUMPUR 17 Mei – Seminar Usahawan Fertigasi anjuran sisipan Mega Utusan Malaysia dengan kerjasama Agro Bank dan Malayan Agro Consult Sdn. Bhd. (Mayconsult) menerima sambutan menggalakkan apabila 300 individu dari seluruh negara menyertainya.


Seminar tersebut yang diisi dengan beberapa sesi ceramah dan pameran pertanian fertigasi berlangsung di Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dekat sini hari ini.


Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mahamud Shahid berkata, pertanian fertigasi merujuk kepada kaedah penanaman tanpa tanah.


“Tujuan asal kaedah ini untuk mengelakkan tanaman daripada dijangkiti penyakit bawaan tanah. Maka tiada tanah digunakan dan ia menggabungkan pengairan dan baja dalam satu sistem,” katanya.


Menurutnya, sehingga kini, tidak ramai usahawan yang mengetahui kekuatan dan kelemahan fertigasi sehingga menyebabkan mereka gagal mendapat hasil maksimum daripada kaedah itu.


“Ada juga usahawan yang ditipu oleh individu atau syarikat tidak bertanggungjawab yang mendakwa mereka mampu memberi bimbingan dan menjadi konsultan dengan mengenakan harga mahal sedangkan mereka sendiri tidak mengamalkan kaedah tersebut.


“Justeru, seminar ini membuka peluang kepada individu berminat untuk mewujudkan hubungan dengan pakar bagi mengelakkan masalah itu,” katanya selepas menyampaikan ceramah bertajuk Teknologi dan Industri Fertigasi.


Seminar itu dirasmikan oleh Pengarah Pusat Pengembangan, Keusahawanan dan Pemajuan Profesional (APEEC) UPM, Prof. Dr. Azimi Hamzah dan turut dihadiri Pengarang Mega, Mohd. Redzuan Iman.

No comments: