Thursday, November 5, 2009

wu_0113
MOHD. Mokhtar Ismail (dua kanan) bersama pegawainya melawat ladang di Taman Kekal Pengeluaran Pertanian Makanan (TKPM) Ara Kuda, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, baru-baru ini.


TASEK GELUGOR 21 April – Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda, di sini muncul sebagai perintis program ladang kontrak yang bakal menyaksikan kapasiti pengeluaran hasil taninya mencecah 18,000 tan sebulan.


Program hasil kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu bakal melonjakkan potensi taman itu sebagai antara penyumbang hasil tani terutamanya di utara Semenanjung.


Perkembangan itu dilihat sebagai pencetus revolusi baru dalam sektor pertanian di Pulau Pinang walaupun Pulau Mutiara dikenali antara negeri yang mempunyai keluasan tanah pertanian yang cukup terhad.


Ia adalah sejajar dengan tumpuan kerajaan kepada aktiviti-aktiviti yang boleh membantu menjadikan sektor pertanian sebagai antara pemacu utama pembangunan ekonomi negara.


Malah, sejak mula beroperasi pada tahun 2006, TKPM Ara Kuda berjaya menyediakan asas kukuh dalam melahirkan generasi petani muda yang mempunyai kesungguhan tinggi dengan menjadikan pertanian sebagai pekerjaan.


Justeru, program ladang kontrak yang bakal dilaksanakan di taman itu menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan pendapatan petani melalui pengeluaran hasil tani secara berkala dan bersistematik.


Pengarah Pertanian negeri, Abdul Nasir Hassan berkata, melalui program itu, sembilan peserta TKPM Ara Kuda akan mengeluarkan sekurang-kurangnya 600 kilogram hasil tani sayur-sayuran setiap hari.


”Ini adalah sebahagian daripada strategi FAMA untuk melebarkan peluang pasaran petani bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi di seluruh negara.


“Dengan cara ini, peserta bukan sahaja mendapat jaminan pasaran tetapi pada masa sama mengukuhkan hubungan dengan entiti pasaran mereka,” katanya pada majlis lawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Mokhtar Ismail ke TKPM Ara Kuda baru-baru ini.


Turut sama dalam lawatan itu, Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Roseley Khalid.


Abdul Nasir berkata, buat permulaan, hanya sembilan peserta dipilih untuk menyertai program tersebut dan jumlah itu akan ditambah jika permintaan pasaran meningkat pada masa depan.


Program ladang kontrak itu menumpukan kepada tiga tanaman iaitu kangkung, sawi serta bayam dan para peserta bertanggungjawab untuk menghasilkan jumlah hasil tani yang dipersetujui dalam perjanjian itu.


”Dengan kapasiti (pengeluaran) yang tinggi ini, keluasan tanah di TKPM akan dimanfaatkan sepenuhnya dan kita harap variasi tanaman dapat ditingkatkan pada masa depan,” jelasnya.


Sementara itu, Pengurus TKPM Ara Kuda, Zamri Ahmad berkata, para peserta yang menyertai program itu memikul tanggungjawab besar bagi memastikan mereka mematuhi peraturan kontrak.


”Jadi, mereka perlu sentiasa bekerja keras bukan sahaja untuk pastikan mereka berjaya menghasilkan kuantiti yang ditetapkan, tetapi hasilnya juga mesti berkualiti,” katanya.

No comments: