Thursday, November 5, 2009

dn_011
JEANNE Abdullah melihat plak selepas menandatanganinya sambil diperhatikan Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Tun Razak serta Rosmah Mansur (kanan) pada majlis pelancaran Kebun Ramuan Sri Perdana di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 21 Mac – Penanaman herba secara meluas di negara ini perlu dijadikan amalan kerana tumbuhan itu memberi manfaat besar terhadap kehidupan seharian.


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, herba dan sayuran tempatan perlu dilihat sebagai anugerah Tuhan kerana manfaatnya tidak ternilai kepada manusia.


Beliau menyeru rakyat mencontohi usaha isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah yang mengambil inisiatif mewujudkan Kebun Ramuan yang menempatkan pelbagai spesies sayur-sayuran dan herba.


“Kebun ini telah menjadi kebun farmasi yang membekalkan makanan yang mempunyai zat tambahan serta berperanan sebagai ubat dalam kehidupan harian,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kebun Ramuan di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di sini hari ini.


Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaacob dan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng merupakan tetamu kehormat pada majlis itu.


Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Kebun Ramuan yang terletak di kawasan seluas 0.5 hektar dan memiliki 130 jenis tanaman diwujudkan hasil kerjasama Jabatan Perdana Menteri, Perbadanan Putrajaya, Jabatan Kerja Raya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Jabatan Landskap Negara.


Perdana Menteri berkata, rakyat perlu bersyukur atas segala khazanah alam yang dianugerahkan Tuhan kepada manusia.


“Semua yang dicipta mempunyai kebaikannya, cuma manusia kadang-kala tidak mengetahui kebaikan itu dan membazirkan sumber yang ada.


“Keadaan ini menyebabkan kita tidak dapat menerima manfaat daripada hasil ciptaan Tuhan,” katanya.


Dalam pada itu, Jeanne berkata, pakar masakan tempatan perlu menggunakan sayur-sayuran dan herba dalam menu makanan mereka.


“Anda harus merasai herba dan sayur yang ada di negara ini, ia mudah ditanam dan mampu memberi kelainan kepada makanan yang dimasak dengannya.


“Saya sudi berkongsi resipi memasak herba dan sayur tempatan dengan semua orang yang berminat,” katanya.


Jeanne berkata, untuk menambahkan jenis tanaman di Kebun Ramuan, beliau telah menjelajah ke kawasan kampung dan bertanya kepada orang tua di situ.


“Saya memulakan kebun ini selepas menyedari terdapat banyak jenis tanaman yang boleh dimakan serta mempunyai nilai perubatan.


“Jika kita tidak melakukan sesuatu, generasi masa depan mungkin akan lupa tentang tanaman herba ini,” katanya.

No comments: