Thursday, November 5, 2009

MELUDAM (SARAWAK) 19 April – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedia untuk membuat kajian ke atas sperma ikan terubuk Sarawak ataupun nama saintifiknya, Tenualosa Toli yang kini dilaporkan semakin diancam kepupusan.


Timbalan Menterinya, Datuk Rohani Karim berkata, selepas kejayaan penyelidikan ke atas sperma ikan air tawar seperti kelah di Sungai Pahang dan temoleh di Sungai Perak, kini tumpuan akan diberikan kepada ikan terubuk di Batang Lupar, Sarawak.


”Pusat Penyelidikan Ikan Air Tawar di Negeri Sembilan baru-baru ini telah berjaya membuat satu penemuan baru dalam kajian mereka iaitu berjaya membekukan sperma ikan kelah dan temoleh yang mungkin mampu disimpan untuk tempoh beratus tahun,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Pesta Meludam 2009 di sini semalam.


Rohani berkata, ketika ini spesies ikan terubuk di negeri ini dikatakan semakin pupus akibat aktiviti penangkapan ikan terubuk yang tidak terkawal dan kaedah tradisional.


Katanya, harga ikan terubuk dan telurnya yang tinggi di pasaran telah menarik minat ramai nelayan untuk menangkap ikan tersebut walaupun ketika ia sedang bertelur.


Tambahnya, sebelum ini Jabatan Pertanian Sarawak telah mengambil beberapa inisiatif untuk memastikan ikan terubuk Sarawak tidak pupus, antaranya melarang nelayan menangkap ikan terubuk ketika musim ia bertelur.


”Ikan terubuk hanya mampu membiak dalam persekitaran liar dan bukannya dalam kolam,” katanya.


Ikan terubuk Sarawak terkenal bukan sahaja di kalangan penduduk negeri ini malah juga mendapat permintaan yang tinggi di Semenanjung dengan harga sekitar RM15 hingga RM30 sekilogram untuk yang masih mentah manakala terubuk masin pula dijual sekitar RM10 hingga RM20 seekor bergantung kepada saiz.


Sementara itu, Rohani yang baru dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, beliau akan memberi tumpuan terhadap pembangunan nelayan dengan Menterinya, Datuk Seri Mohd. Noh Omar menumpukan kepada pembangunan petani manakala pembangunan penternak dikendalikan seorang lagi timbalan menteri, Datuk Johari Baharom. – BERNAMA

No comments: