Thursday, November 5, 2009

ws_01.1
Ab. Rahman Saleh (kanan) bersama pekerja membungkus kuih inang-inang keluaran syarikatnya untuk dipasarkan sekitar Melaka.


JASIN 14 Mei – Bermula dengan sekadar menolong ibunya membuat sejenis kuih tradisional berasaskan pulut sejak berusia 12 tahun, Ab. Rahman Saleh, 51, tidak menyangka, kini kuih inang-inang buatannya itu berjaya dikomersialkan.


Beliau yang berasal dari Kampung Bukit Tembakau di sini berkata, dia tidak menyangka, perniagaan yang dimulakan arwah ibunya, Halimah Salleh secara kecil-kecilan suatu ketika dahulu berjaya diwarisinya sehingga kini.


Menurut Ab. Rahman, selepas 10 tahun menjalankan perniagaan kuih inang-inang, beliau kini boleh berbangga kerana kuih tradisional itu mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran tempatan.


Selain Melaka, kuih inang-inang buatannya yang dinamakan Inang-inang Bukit Tembakau turut dipasarkan di beberapa negeri lain seperti Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.


Selain itu, ia turut dipasarkan di beberapa pasar raya besar seperti Tesco dan Jaya Jusco.


Menceritakan detik bagaimana beliau mula-mula menceburkan diri dalam bidang itu, pesara kerajaan ini berkata, semuanya kerana ingin memastikan kuih tradisional itu terus dinikmati dan diwarisi generasi masa depan.


”Sejak membantu arwah emak lagi, saya mula berfikir cara bagaimana untuk melebarkan lagi perniagaan kuih ini supaya ia terus dikenali dan digemari.


”Apatah lagi Melaka sebagai negeri pelancongan, tentu sekali akan memudahkan lagi usaha mempromosikan kuih inang-inang ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.


Tambahnya, beliau bersyukur apabila usahanya itu membuahkan kejayaan setelah 10 tahun menceburi bidang perusahaan makanan tradisional itu.


”Saya beryukur apabila kini mampu menghasilkan sebanyak 150 bungkus inang-inang sehari berbanding dahulu sebanyak 30 bungkus sahaja.


”Dalam sebulan, iaitu selama 20 hari bekerja, saya mampu menghasilkan 3,000 bungkus inang-inang dan jumlah ini akan bertambah berdasarkan permintaan,” katanya.


Menurut Ab. Rahman, inang-inang buatannya itu dihasilkan dalam lima perasa berlainan iaitu perasa asli, udang, pulut hitam, bawang putih dan sagu.


”Setiap bungkus inang-inang pula dijual pada harga RM1.50 kepada pemborong yang kemudian menjual pada harga RM2.50 di pasaran,” katanya.


Tambah Ab. Rahman, selain memberi pendapatan, perniagaannya itu juga secara tidak langsung telah berjaya mewujudkan peluang pekerjaan di kalangan penduduk sekitar.


”Alhamdulillah, semakin hari, bilangan pekerja saya semakin bertambah,” katanya sambil menambah menggunakan khidmat sebanyak 10 orang pekerja ketika ini.


Bagaimanapun, katanya, bilangan pekerja yang lebih ramai diperlukan apabila mendapat permintaan tinggi seperti menjelang Hari Raya Aidilfitri, musim kenduri kahwin ataupun majlis-majlis keraian yang lain.


Bapa kepada 13 orang anak ini menambah, perusahaannya itu juga semakin berkembang apabila mendapat suntikan semangat dan modal daripada Jabatan Pertanian negeri.


”Empat tahun setelah memulakan perusahaan ini, pihak Jabatan Pertanian telah memberi peruntukan bernilai RM30,000 dengan membina sebuah tempat memproses bersebelahan rumah saya.


”Selain itu, mereka juga memantau perkembangan perniagaan saya termasuk memberikan bimbingan dan tunjuk ajar,” katanya.


Mengenai proses membuat inang-inang, Ab. Rahman berkata, pulut akan di basuh terlebih dahulu dan kemudian direndam semalaman.


”Pulut berkenaan kemudiannya dikukus dan kemudian diperap dengan bekas khas seterusnya dijemur selama seharian,” jelas beliau.


Untuk maklumat lanjut, mereka yang ingin membuat tempahan kuih Inang-inang Bukit Tembakau untuk sebarang majlis boleh menghubungi Ab. Rahman di talian 06-2618810.

No comments: