Friday, October 17, 2008

Ternak Lintah Menguntungkan

SEBELUM ini, lintah sering diberi pandangan negatif ekoran tabiatnya yang menghisap darah sehingga wujud peribahasa ‘lintah darat’ bagi menggambarkan orang yang tidak berhati perut dan sering menindas orang lain.

Kini, persepsi terhadap lintah semakin berubah yang mana haiwan itu tidak lagi `digeruni’ malah dicari di merata tempat dan diternak kerana mampu memberikan pulangan lumayan kepada pengusahanya.

Ia berikutan kajian menunjukkan haiwan itu boleh menjadi komponen penting dalam menghasilkan produk kecantikan, penjagaan kesihatan dan perubatan sekali gus memastikan lintah mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Menyedari faktor itu, Roziana Abu Hassan, 34, bersama suami, Mohd Jantan Abu Hassan, 36, dan ibunya, Rahidah Wahid, 50, sanggup mengeluarkan modal permulaan sebanyak RM30,000 untuk mengusahakan ternakan lintah.

Mereka memulakan usaha itu kira-kira lima bulan lalu dengan membina enam kolam dengan setiap satunya berukuran 18 meter x 6 meter di Kampung Telok Mas, Selama, Perak.

Roziana berkata, beliau mengetahui mengenai potensi lintah untuk menjana pendapatan selepas terbaca di dalam akhbar mengenai kursus ternakan haiwan itu yang dianjurkan Art Soulist Sdn Bhd iaitu syarikat pengeluar dan pengedar produk berasaskan kecantikan dan kesihatan.

“Ketika mengikuti kursus itu, saya diberitahu bahawa setiap satu kolam yang boleh menghasilkan kira-kira 100 kilogram lintah, mampu memberi pulangan sekurang-kurangnya RM6,000 bagi setiap tempoh pusingan pembiakannya selama empat bulan.

“Ia berdasarkan harga pembelian RM60 sekilogram yang ditawarkan syarikat berkenaan. Bagaimanapun, baru-baru ini ada pembeli dari Singapura yang berminat untuk membeli pada harga RM150 sekilogram sekali gus menunjukkan permintaannya yang tinggi di pasaran sekarang,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, lintah yang diternaknya itu dijangka sudah boleh dijual mulai bulan depan iaitu selepas enam bulan ia dibiakkan dalam enam kolamnya itu. Katanya, walaupun lintah sudah boleh dijual selepas empat bulan ia diternak, untuk peringkat permulaan ia memerlukan tempoh lebih panjang bagi membolehkan ‘induk’ atau ‘ibu’ lintah membiakkan lebih banyak benihnya untuk memastikan kitaran hidup haiwan itu dalam sesuatu kolam berterusan.

Beliau berkata, haiwan itu perlu dijual segera apabila sudah dewasa kerana jangka hayatnya adalah pendek iaitu antara tujuh hingga lapan bulan saja sebelum dia mati.

“Bagi memastikan penyelenggaraan yang baik dan kos operasi kolam berkenaan, saya juga membuat pinjaman bank sebanyak RM10,000,” katanya yang turut memiliki perniagaan pembungkusan sarung tangan menerusi syarikat miliknya bersama suami, Terap Jaya Enterprise.

Mereka yang berminat mendalami bidang penternakan lintah boleh menghubungi Roziana di talian 05-8394157

No comments: