Tuesday, October 28, 2008

Nelayan buka industri keropok

TEKUN: Antara pekerja Roslan melakukan kerja harian menyiang ikan di Kampung Nenasi Pantai di Pekan, Pahang.


Perniagaan diusaha Roslan di Kampung Nenasi Pantai beri pendapatan lumayan, bantu jiran dapat pekerjaan sampingan


Keperitan hidup sebagai keluarga nelayan yang bergantung sepenuhnya terhadap hasil tangkapan harian untuk perbelanjaan keluarga menyebabkan seorang anak nelayan di Kampung Nenasi Pantai dekat sini, terbabit dalam industri pembuatan keropok ikan tamban.


Perniagaan dilakukan Roslan Awang, 44, dengan bantuan isterinya, Noreda Mustafa, 38, itu walaupun masih berkaitan kehidupan nelayan, memberi pendapatan lumayan kepada keluarga berkenaan dengan pendapatan kasar berjumlah kira-kira RM11,000 sebulan.


Pendapatan itu nyata bukan saja mampu mengubah hidup Roslan sekeluarga malah turut membantu keluarga nelayan lain di sekitar kampungnya meningkatkan ekonomi keluarga mereka.


Roslan berkata, industri kecil-kecilan yang dilakukannya sejak 14 tahun lalu itu memberi pekerjaan kepada 12 penduduk kampung, khasnya isteri dan anak nelayan.


Beliau berkata, dia membeli ikan tamban segar seberat satu tan berharga RM2,000 setiap dua atau tiga hari sekali, bagi menghasilkan kira-kira 5,000 batang keropok lekor, selain 20 kilogram keropok kering sehari.


Katanya, produk makanan menggunakan jenama `Keropok Nenasi’ itu dihantar ke seluruh negara, termasuk Perlis, Johor dan Singapura.


“Saya tidak mahu mewarisi kerjaya keluarga menjadi nelayan, sebaliknya berusaha terbabit dalam perniagaan untuk mengubah ekonomi keluarga tetapi bidang diceburi ini masih berkait rapat dengan kehidupan nelayan.


“Saya bangga kerana perniagaan membuat Keropok Nenasi ini turut memberi peluang isteri dan anak nelayan di sekitar kampung ini menambah pendapatan dengan bekerja secara sambilan dengan saya.


“Mereka bekerja pada waktu petang untuk membersihkan ikan tamban dan bayaran diberi mengikut jumlah ikan dibersihkan iaitu 40 sen bagi setiap sekilogram. Secara purata, mereka mampu memperolehiRM15 sehari dalam tempoh kira-kira empat jam bekerja,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.


Proses pembuatan keropok ikan tamban bermula dengan menyiang dan membersihkan ikan sebelum isi ikan disimpan dalam peti sejuk.


Selepas disimpan selama 12 jam, isi ikan akan dimesin hancur dan digaul dengan tepung untuk dijadikan keropok lekor dan keropok kering.


Roslan yang mendapat sokongan Mardi, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam memajukan industri itu, berkata permintaan terhadap produk keluarannya sangat membanggakan, malah adakalanya dia gagal memenuhi permintaan berikutan kekurangan bahan mentah.


“Bagaimanapun, saya terkilan kerana terpaksa menghasilkan keropok ini di bangsal milik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang disewa RM400 setahun sejak 14 tahun lalu.


“Saya sudah memohon mendapatkan tempat lebih selesa untuk memperluaskan lagi perniagaan ini tetapi belum mendapat maklum balas sehingga sekarang.

“Sebenarnya, saya bercadang menghasilkan keropok beku untuk dipasarkan di seluruh negara tetapi terpaksa menyimpan hasrat itu kerana tiada tempat operasi yang luas,” katanya yang masih mengikuti kursus kemahiran dua kali sebulan.


Bagi Semek Muda, 44, dia mampu memperoleh pendapatan hampir RM500 sebulan sejak bekerja di situ, tujuh tahun lalu.


“Pendapatan ini boleh membantu keluarga kerana pendapatan suami sebagai nelayan tidak menentu.


“Pada waktu petang, saya menyiang dan membersihkan ikan dan pagi esoknya pula, akan membantu memesin ikan untuk dijadikan keropok,” katanya.


Rakannya, Habsah Muda, 54, berkata kerja sambilan membersihkan ikan tamban yang dilakukannya empat kali sebulan sejak dua tahun lalu, membolehkan dia memperoleh pendapatan tambahan bulanan kira-kira RM200.


“Saya tidak bekerja dan peluang membantu Roslan mengusahakan perniagaan keropok ikan tamban ini, sekurang-kurangnya dapat mengisi masa lapang dan menambah pendapatan keluarga.


“Biasanya, kami bekerja bermula jam 2 petang dan saya hanya bekerja empat kali sebulan,” katanya yang memiliki enam anak.


Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nenasi, Kamaruzaman Nordin, berkata dia mula mengambil upah menyiang dan membersihkan ikan tamban di situ sejak tiga tahun lalu.


Katanya, dia bekerja sambilan selepas tamat waktu persekolahan iaitu bermula jam 3.30 petang hingga 6 petang dan setiap jam 8 pagi hingga 6 petang pada Sabtu serta Ahad.


“Saya tidak rasa jijik bergelumang dengan ikan setiap hari dan membuat kerja yang biasanya dilakukan wanita ini kerana saya anak nelayan.


“Lebih baik saya melakukan kerja berfaedah seperti ini daripada membuang masa, malah wang yang diperoleh di sini, digunakan untuk membeli buku dan disimpan untuk membiayai kursus `catering’ yang akan saya ikuti kelak,” katanya yang juga anak kelima daripada lapan beradik.


FAKTA: Keropok Lekor Nenasi


# Keropok lekor (basah) yang dikeluarkan Roslan dijual kepada peniaga dan kantin sekolah di sekitar Rompin dan Pekan setiap hari.


# Sering menerima jemputan mengadakan pameran produk berasaskan ikan daripada Jabatan Perikanan di seluruh Pahang.


# Dalam tempoh sehari, 20 kilogram keropok kering dihasilkan selain 5,000 batang keropok lekor.


# RM2,000 dibelanjakan untuk membeli satu tan ikan tamban segar untuk bahan asas Keropok Nenasi setiap dua atau tiga hari.

No comments: