Tuesday, October 28, 2008

Nelayan perlu bilik beku simpan stok

ROSAK: Sebahagian daripada stok ikan yang rosak dan sukar untuk dipasarkan kerana masalah ketiadaan sistem penyimpanan bilik penyejuk beku yang sempurna di Jeti LKIM Kuala Perlis.


Kemudahan perlu disediakan LKIM bagi elak hasil tangkapan busuk atau dijual di negara jiran


KANGAR: Jumaat lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Utara menahan tujuh nelayan termasuk dua warga Thai bersama sebuah bot nelayan pukat hanyut sarat dengan muatan lebih 2,000 kilogram ikan pelbagai jenis di perairan Kuala Perlis.


Ketika kejadian, bot dengan tujuh awak-awak berusia antara 21 hingga 42 tahun itu dilihat sedang memecut laju di perairan terbabit menghala sempadan Malaysia-Thailand di sini, kira-kira jam 5.30 pagi.


Hasil pemeriksaan, mereka dikesan cuba menyeludup 2,225 kilogram ikan bernilai hampir RM5,000 ke negara jiran melalui perairan Kuala Perlis. Semua mereka kemudian ditahan, manakala bot serta ikan pula dirampas untuk tindakan lanjut.


Bagi sesetengah pihak, tindakan tujuh awak-awak terbabit terutama lima nelayan tempatan yang ditahan dilihat seolah-olah perbuatan pengkhianat yang cuba mengaut keuntungan cepat hasil daripada kegiatan jenayah penyeludupan.


Selain itu, tidak kurang pula yang menganggap kumpulan nelayan ini seperti penyangak yang cuba mencuri hasil laut negara demi kepentingan sendiri, tanpa mengambil kira sama ada tindakan diambil menyalahi undang-undang.


Namun, di sebalik senario itu, tidak ramai yang tahu golongan nelayan terutama di sekitar Kuala Perlis berdepan seribu satu masalah termasuk yang sudah bertahun lamanya dihadapi.


Malah, Berita Harian ketika menyusuri kehidupan kumpulan nelayan di sekitar Kuala Perlis, baru-baru ini, turut terkejut apabila ada antara mereka mengaku tidak pilihan kecuali membawa hasil ikan yang diperoleh ke negara jiran, bagi mengelak daripada rugi teruk.


Paling membimbangkan, ada kalangan mereka terpaksa berbuat demikian semata-mata untuk mengelak daripada kehilangan mata pencarian dan tindakan membawa keluar ikan terbabit diambil bukan bertujuan mengaut keuntungan cepat, tetapi lebih kepada menyelamatkan periuk nasi masing-masing, terutama untuk mengisi perut anak mereka yang kelaparan.


Difahamkan, kumpulan nelayan di sekitar Kuala Perlis menghadapi masalah penyimpanan stok sejak sekian lama sehingga menyebabkan hasil yang dibawa pulang cepat rosak.


Ini kerana, pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) gagal menyediakan tempat penyimpanan stok yang sempurna di jeti pendaratan ikan, menyebabkan banyak ikan yang dibawa pulang cepat rosak kerana tidak dapat disimpan dalam keadaan baik.


Malah, pemborong juga enggan mengambil stok ikan yang sudah rosak, kecuali dengan harga yang rendah sehingga 40 sen atau 50 sen sekilogram dan nelayan tidak dapat berbuat apa-apa kecuali menerima tawaran itu, bagi mengelak kerugian.


Seorang nelayan, Isnan Zubir, 21, berkata isu ketiadaan bilik penyejuk beku di LKIM sebenarnya bukan perkara baru, malah sudah lama dialami nelayan Kuala Perlis sejak 10 hingga 20 tahun lalu.


Katanya, ketiadaan bilik penyejuk beku menyebabkan ikan sukar dipasarkan dan atas sebab itu juga LKIM enggan menerima ikan dalam jumlah banyak, sedangkan stok berkenaan sudah mulai rosak sehingga sukar untuk dipasarkan.


Apabila ini berlaku, nelayan terpaksa mencari pemborong yang sanggup membeli ikan dalam kuantiti kecil iaitu antara 100 hingga 200 kilogram dan bayangkan berapa banyak pemborong yang perlu dicari bagi menghabiskan sejumlah lebih 2,000 kilogram ikan.


“Sudahlah kita berdepan masalah penyimpanan, kini terpaksa pula mencari pemborong sendiri untuk memasarkan stok sedangkan ikan semakin lama semakin reput. Justeru, ramai di kalangan nelayan memilih untuk membawa stok ikan ke negara jiran,” katanya.


Rakannya, Mohd Yazid Razi, 29, berkata ada di kalangan nelayan yang terpaksa menghantar stok ikan mereka ke negara jiran bagi mengelak daripada mengalami kerugian.


Katanya, ketiadaan sistem penyejuk beku yang sempurna menyebabkan nelayan berperang dengan masa apatah lagi semakin lama ikan di luar tanpa penyimpanan sempurna, semakin cepat ia rosak.


“Kita terpaksa membawa ikan ke negara jiran secara haram kerana tidak dapat menunggu waktu pejabat untuk mendapatkan kelulusan pihak berkuasa.


“Bayangkan nelayan pulang ke jeti jam 4 atau 5 pagi dengan stok ikan yang banyak. Tanpa sistem penyimpanan sejuk beku yang baik, ikan akan busuk jika tidak dijual segera,” katanya yang sudah beberapa kali menanggung nasib sama.


Difahamkan, nelayan pukat hanyut di Kuala Perlis memerlukan modal antara RM400 hingga RM500 untuk setiap kali ke laut. Jika ikan yang dibawa pulang tidak dapat dipasarkan, maka modal mereka akan hilang dan kerja mereka seharian menjadi tidak berbaloi.


Justeru, nelayan di sini, meminta LKIM mencari jalan penyelesaian terutama menyediakan sebuah bilik penyimpanan sejuk beku yang sempurna, selain memikirkan alternatif pemasaran, bagi mengelak mereka menyeludup ikan ke negara jiran.


Ini kerana, mereka yang dikesan menyeludup ikan ke negara jiran boleh didakwa mengikut Peraturan 4A(3) Peraturan-peraturan Pemasaran Ikan 1973 (Pindaan 1988) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 17(1) Akta Lembaga Kemajuan Ikan. Selain itu, mereka juga boleh didakwa mengikut Akta Kastam 1967 kerana membawa barangan tanpa kelulusan Kastam Diraja Malaysia.

No comments: