Sunday, October 26, 2008

Jabatan pertanian saran tanam buah pala

PULAU PINANG 27 Jun - Jabatan Pertanian Negeri telah memperkenalkan Skim Galakan Buahbuahan (SGB) dalam usaha menggalakkan petani kecil di negeri ini mengusahakan tanaman buah pala.

Pengarah Pertanian Negeri, Abdul Nasir Hassan (gambar) berkata, melalui SGB, golongan petani boleh mengusahakan tanaman itu dengan bantuan pengurusan dan teknik-teknik penanaman yang betul agar buah yang dihasilkan mampu bersaing di pasaran global.

”Melalui skim ini juga, petani yang mempunyai tanah terbiar boleh mengambil peluang untuk mengusahakan tanaman buah pala,” katanya selepas menghadiri Program Kawalan Penyakit dan Perosak Tanaman Durian di sini semalam.

Menurutnya, memandangkan permintaan terhadap buah pala semakin meningkat, maka bagi memenuhi permintaan yang tinggi terhadap buah berkenaan, Jabatan Pertanian mengusahakan tanaman buah pala di semua tanah kerajaan yang tidak dibangunkan.

Selain itu, katanya tanah-tanah yang digunakan untuk aktiviti haram sebelum ini juga telah diambil oleh jabatan berkenaan bagi tujuan penanaman buah tersebut.

Usaha penanaman buah pala itu, kata beliau telah dimulakan oleh jabatan tersebut sejak awal tahun lagi melibatkan penanaman sebanyak 4,000 pokok di Daerah Barat Daya di negeri ini.
”Kalau kita lihat sekarang, hanya terdapat kira-kira 50 hektar kawasan tanaman buah pala di negeri ini sedangkan permintaannya amat tinggi.

”Di negeri ini juga terdapat beberapa buah kilang yang menggunakan buah pala untuk menghasilkan produk lain seperti jus, jeruk dan ubat, namun sumber buah pala dari dalam negeri sangat terhad,” katanya.

Berikutan itu, jelasnya, kilang-kilang yang mengusahakan produk daripada buah pala itu terpaksa mengimport buah tersebut dari luar negara terutama Indonesia kerana hasil tempatan tidak mencukupi.

”Justeru saya lihat ini sebagai satu peluang untuk kita meningkatkan industri buah pala di negeri ini bagi menampung permintaan kilang-kilang yang ada di sekitar Pulau Pinang,” katanya.

No comments: