Tuesday, January 20, 2009

Faeszil ‘jatuh cinta’ pada keli

Hamid Yassin (kanan) melawat tapak ternakan ikan keli milik Nor Faeszil Yussof di Felda Pasir Raja, Kulaijaya, semalam.


Suatu ketika dahulu, tidak ramai anak muda sanggup mengharungi jerih perih mengusahakan aktiviti pertanian, terutamanya jika saban hari terpaksa bergelumang dengan kekotoran atau bau hanyir yang meloyakan.


Namun, kini situasi itu mulai berubah apabila semakin ramai generasi muda mula membabitkan diri dalam aktiviti pertanian dan penternakan.


Antara yang berani mencuba ialah seorang anak muda dari Felda Pasir Raja, Kulaijaya dekat sini, Nor Faeszil Yussof, 28, dengan mengusahakan penternakan ikan keli sejak kira-kira lima bulan lalu.


Berkat usaha gigihnya, penternakannya mula membuahkan hasil.


Anak sulung daripada empat beradik itu memberitahu, dia tidak pernah menyesal menceburi bidang berkenaan walaupun terpaksa bermandi peluh menjaga ‘anakanaknya’ itu setiap hari.


Menurutnya, pembabitan dalam projek penternakan ikan keli bermula apabila mengikuti kursus perikanan air tawar anjuran Jabatan Belia dan Sukan Mersing pada April tahun lalu.


“Kursus berkenaan memberi tumpuan kepada cara untuk memulakan perniagaan dan hasil perbincangan serta sedikit bantuan daripada keluarga, saya mengambil keputusan mengusahakan projek penternakan ikan keli di sini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.


Nor Faeszil berkata, bagi membuktikan komitmen tinggi terhadap perniagaan dan projek penternakan berkenaan, dia sanggup meninggalkan kerjayanya sebagai pemandu lori dengan pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan dan memulakan projek itu pada Ogos tahun lalu. Sejak itu masanya banyak diguna menguruskan ternakan serta membuat pemasaran sendiri.


Berbekalkan semangat dan dorongan serta bantuan keluarga, dia memulakan projek penternakan ikan keli dengan bermodalkan RM9,000 untuk membina lima buah kolam kanvas berukuran 2.13 x 4.88 meter (7 x 16 kaki) dengan 5,000 anak benih ikan keli setiap kolam.


Menurutnya, memelihara ikan keli memang mudah kerana setiap hari ia hanya perlu diberi makan dedak dua kali iaitu pada pagi dan petang.


Katanya, ikan berusia antara dua hingga tiga bulan atau mencapai berat 100 hingga 130 gram seekor akan ditangkap untuk dijual dengan harga berbeza mengikut gred.


“Baru-baru ini saya telah berjaya menjual hampir 12,000 ekor ikan iaitu kira-kira lebih dua tan dengan mendapat pulangan sebanyak RM6,200.


“Hasil jualan itu saya membesarkan lagi penternakan ini dengan menambah kolam kanvas dan anak benih ikan dan kini sudah ada 47 kolam kanvas,” katanya.


Sebelum ini, dia memasar ternakannya kepada para pemborong dan orang perseorangan. Bagaimanapun, kini Nor Faeszil telah mula mendapat tempahan daripada pengusaha hotel di Kuala Lumpur dan pengusaha ikan keli salai di Batu Pahat, Kempas dan Kuala Selangor.


Walaupun mengakui penternakan itu berisiko tinggi kerana tidak semua anak benih akan membesar, selain masalah penggunaan air yang banyak, namun bantuan dan khidmat nasihat yang diberikan Jabatan Perikanan banyak membantunya menguruskan projek berkenaan, katanya.


Nor Faeszil yang juga Penolong Setiausaha Majlis Belia Felda Malaysia Johor Bahru (MBFMJB) dan Exco Penaja Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) turut dibantu empat rakannya menguruskan ternakan ikan keli berkenaan.


”Sasaran kami selepas ini adalah untuk meningkatkan hasil selain untuk membiak anak benih keli,” kata Nor Faeszil yang menyifatkan dirinya bertuah kerana kesediaan Felda membenarkannya mengusahakan projek tersebut di kawasan tanah milik mereka iaitu di celah-celah deretan pokok kelapa sawit di belakang kuarters pegawai yang tidak digunakan.


Projek yang diusahakannya kini sering dijadikan model kejayaan serta tumpuan lawatan termasuk pegawai kerajaan dan yang terbaru oleh Pengarah Jabatan Perikanan Johor, Hamid Yassin dan Timbalannya, Azhari Othman; Timbalan Pengarah Belia Jabatan Belia dan Sukan Johor, Radin Ismail Radin Taib serta Pegawai Jabatan Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi, Mohd. Azli Abdullah.

No comments: