Tuesday, January 20, 2009

Barracafe tawar menu berasaskan ikan


Barracafe yang terletak di Jalan Pandan Pria, Dataran Pandan Prima 2, Kuala Lumpur ini menjadi antara produk terbaru Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam usahanya memajukan industri produk berasaskan ikan.


Sesuai dengan namanya, ia beroperasi sebagai sebuah restoran yang menyediakan menu berasaskan ikan dan nama Barra dipilih berasaskan nama ikan Barramundi atau dikenali sebagai siakap.


Dengan kos pembangunan keseluruhan mencecah RM450,000, kafeteria tersebut menyediakan pelbagai jenis makanan dan menampilkan hiasan dalaman yang menarik dan mampu menarik pengunjung pada masa akan datang.


Meskipun baru dibuka pada Ogos tahun lepas tetapi ia mampu menarik pengunjung terutama penggemar makanan ala Barat dan juga Timur.


Ia dimajukan bagi merealisasikan hasrat LKIM, untuk mempelbagaikan perniagaannya terutama yang menyokong sektor perikanan.


Ini kerana LKIM turut memiliki anak syarikat iaitu Majuikan Sdn. Bhd. (MSB) sebagai cabang perniagaannya selain produk dan teknologi lain khususnya Fish Protech.


Fish Protech merupakan satu teknologi akuakultur yang terbaik untuk industri menternak ikan yang diperkenalkan oleh LKIM dengan kerjasama syarikat dari luar menerusi MSB di Bagan Lalang sejak beberapa tahun lepas dengan menternak ikan barramundi.


Justeru, ada keperluan untuk mewujudkan perniagaan makanan berasaskan ikan berkenaan sebagai sebahagian strategi pemasaran.


Menurut Ketua Pengarah LKIM, Datuk Mustafa Ahmad, usaha pihaknya memajukan perniagaan kafeteria seumpama itu menjadi bukti kesungguhan agensi terbabit memajukan industri perikanan termasuk akuakultur yang membolehkan masyarakat menikmati produk segar.


Usaha tersebut katanya, sebagai permulaan bagi MSB untuk mengembangkan teras perniagaannnya berasaskan teknologi Fish Protech.


Selain itu, jika pendekatan tersebut mendapat sambutan, MSB akan membuka peluang perniagaan kepada mereka yang berminat menerusi konsep francais.


''Kita juga mahu mempromosi konsep usaha dari ladang ke meja makan yang mana projek ternakan kita akhirnya dapat dimanfaatkan sehingga ke hidangan,'' ujarnya.


Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada majlis mesra media bersama Pengerusi LKIM, Datuk Abdul Rahim Ismail di restoran tersebut baru-baru ini.


Turut hadir ialah Pengurus Besar (Operasi), MSB, Wan Mohd. Adnan Wan Ibrahim.


Katanya, sebanyak empat lagi pusat Fish Protech akan diwujudkan pada masa akan datang iaitu di Naka, (Kedah), Tok Bali (Kelantan), Pekan (Pahang) dan Pagoh di Johor dengan kos RM10 juta setiap satu.


Justeru pembangunan teknologi akuakultur Fish Protech itu diharap dapat memberi perangsang kepada masyarakat yang berminat menceburi akuakultur moden bagi meningkatkan sumber perikanan negara.


MSB katanya, telah lama terlibat dengan industri makanan laut dengan pengeluaran pelbagai jenis makanan termasuk bebola ikan, bebola sotong, keropok lekor dan sosej dengan jenama Sajimas dan Majuikan.


Produk tersebut kata beliau juga akan dipromosi menerusi Barracafe sebagai sebahagian menu yang disediakan kepada pengunjung.


Menu lain termasuk kari kepala ikan, masakan ikan tiga rasa dan serta makanan Itali.


Barracafe dibuka pukul 11 pagi hingga 12 tengah malam.

No comments: