Tuesday, January 20, 2009

Dua anak muda cekal hasilkan coklat tempatan



ASRI (kiri) dan Mohd Hasrizal sama-sama mengembangkan perniagaan coklat.

Produk Amani 100 peratus buatan Malaysia bercita rasa antarabangsa

COKLAT keluaran syarikat dua anak muda ini dijual di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kompleks beli-belah terkemuka di kawasan tumpuan pelancongan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.


Jika tidak melihat label bungkusan coklat, pasti ramai menyangka coklat berjenama ala Barat, Amani adalah keluaran Belgium atau Switzerland.


Rupa-rupanya, Amani dihasilkan di sebuah kilang kecil pinggir ibu negara, Desa Tun Razak. Lebih penting adalah produk ini adalah 100 peratus buatan Malaysia.


Pembuatan coklat kini menjadi industri yang menjanjikan pulangan lumayan berdasarkan sebahagian besar penduduk dunia, termasuk negara ini menggemari coklat.


Potensi besar dalam industri ini menyebabkan dua anak muda, Asri Abidin dan Mohd Hasrizal Mustaffa berkongsi cita-cita, kesungguhan dan tenaga, mengasaskan Rab Nine Food Industries Sdn Bhd, mengeluarkan coklat buatan tempatan, tetapi bercita rasa antarabangsa.


BLOK coklat yang digunakan sebagai bahan asas pembuatan coklat.

Masing-masing berumur 24 tahun dan berasal dari Perak, membuka kilang sejak 2007 dan bergerak secara agresif tahun lalu. Asri yang mempunyai latar belakang pengeluaran coklat menguruskan kilang, manakala Mohd Hasrizal, menumpukan kepada pentadbiran dan pemasaran.


Lulusan diploma dari Institut Makanan Malaysia (FIM) di Petaling Jaya, Asri bekerja di sebuah hotel selama enam bulan, tetapi minat terhadap coklat menyebabkannya bekerja dengan Lembaga Koko Malaysia.


Selama setahun bekerja sebagai pembantu penyelidik membuat coklat membolehkannya mempelajari rahsia membuat coklat dan keinginan untuk tidak hanya makan gaji menyebabkannya membuat keputusan berhenti kerja.


Asri dan Mohd Hasrizal bergabung tenaga dan bermula dari kosong membangunkan jenama Amani hingga kini semakin teguh berdiri.


SYARIKAT Amani mengutamakan kebersihan dalam pembuatan coklat.

“Perniagaan membuat coklat selama ini dimonopoli bukan Bumiputera sedangkan potensi pasaran amat besar kerana majoriti penduduk Malaysia menggemari coklat dan makanan berasaskan coklat,” kata Asri.


Walaupun memasuki industri yang selama ini dikuasai syarikat gergasi dan lambakan produk Eropah di pasaran, Mohd Hasrizal berkata, mereka tidak bimbang kerana produk syarikat kecil mempunyai kelebihan tersendiri.


Dari segi kualiti, coklat tempatan setanding coklat terkenal Belgium, manakala dari segi harga adalah lebih murah.


“Kami mampu menjual coklat 100 gram pada harga RM18. Jangan harap dapat harga ini jika beli coklat import,” katanya.


Berbanding coklat import, katanya coklat tempatan terutama yang dihasilkan usahawan Muslim tidak perlu diragukan dari segi halal haram kerana tidak menggunakan alkohol, suatu amalan biasa di kalangan pengeluar coklat luar negara.


Apakah yang membezakan sesuatu jenis coklat? Asri memberitahu perbezaan ini bergantung kepada kandungan koko. Coklat yang mempunyai lebih tinggi kandungan koko mempunyai rasa lebih pahit.


Katanya, coklat yang dikenali sebagai coklat gelap (dark chocolate) digemari orang Barat yang apabila membeli meneliti terlebih dulu kandungan koko dalam coklat. Orang Malaysia pula menggemari coklat susu.


“Coklat gelap pahit kerana mempunyai antara 40 hingga 50 peratus kandungan koko, manakala coklat susu kurang dari 40 peratus,” katanya.


Mengapa sesetengah jenis coklat, terutama yang murah tidak begitu enak? Asri berkata, ini bergantung kepada jenis lemak koko (cocoa butter) yang digunakan. Kebiasaan coklat berkualiti tinggi menggunakan lemak koko asli, manakala coklat berkualiti rendah menggunakan minyak sayur-sayuran.


Keunikan perniagaan coklat mereka ialah majoriti kira-kira 15 pekerja yang digaji diambil daripada kalangan rakan dan majoriti berumur 24 tahun ke bawah.


“Senang! Kami boleh bercakap terus-terang kerana semua satu kepala, tetapi bos tetap bos. Mereka tetap hormati kami,” kata Mohd Hasrizal.


Perniagaan coklat berdepan cabaran getir pada peringkat awal operasi. Pada bulan pertama, antara 30 hingga 40 kilogram coklat dibuang kerana tidak menepati standard ditetapkan. Coklat yang sepatut berwarna coklat ada tompok putih kerana pelbagai faktor seperti suhu tidak sesuai.


Asri berkata, lama-kelamaan, pekerja semakin mahir dan selepas setahun beroperasi, mampu menarik nafas lega kerana semakin diyakini pelanggan.


Selain pelanggan runcit, katanya mereka mempunyai pelanggan korporat yang mengadakan majlis tertentu, manakala permintaan meningkat ketika cuti persekolahan atau musim perkahwinan kerana perubahan cita rasa menyebabkan ada yang menggantikan bunga telur dengan coklat.


Malah, katanya coklat sesuai dijadikan hadiah untuk hari tertentu seperti hari kekasih dan hari jadi.


INFO

Coklat


  • Coklat boleh dikategorikan sebagai coklat tulen atau kompaun.
  • Coklat tulen mengandungi tidak kurang daripada lima peratus lemak sayuran.
  • Coklat yang digunakan sebagai salutan untuk membuat biskut, manisan atau produk coklat yang lain mengandungi tidak kurang daripada 12 peratus cecair koko.
  • Produk koko atau coklat yang tidak memenuhi kriteria di atas dikenali sebagai coklat kompaun.
  • Coklat yang mempunyai lebih tinggi kandungan koko mempunyai rasa lebih pahit.
  • Coklat yang dikenali sebagai coklat gelap (dark chocolate) digemari orang Barat yang apabila membeli meneliti terlebih dulu kandungan koko dalam coklat.
  • Orang Malaysia menggemari coklat susu.
  • Coklat sesuai dijadikan hadiah untuk hari tertentu seperti hari kekasih dan hari jadi.
  • No comments: