Saturday, January 30, 2010

Taman teknologi kambing RM10j dibina

KUALA TERENGGANU: Sebuah pusat teknologi dan penyelidikan kambing dikenali Taman Teknologi Kaprima Bestari bernilai RM10 juta akan dibina di Serating, Marang di bawah inisiatif penternakan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).


Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan Terengganu (JPHT), Dr Azizol Mohd Sharun, berkata taman seluas 10 hektar di Taman Pengeluaran Makanan Kekal bakal dilengkapi dengan rumah ladang, pusat penyembelihan, kilang memproses baja, restoran, dewan pameran produk, dan asrama untuk kakitangan.


Katanya, taman teknologi itu akan beroperasi sebagai pusat pengumpulan data serta penyelidikan pembiakan kambing kebangsaan dan negara Asia yang ingin mendapatkan maklumat ternakan berkenaan.


“Kita akan membawa teknologi dan teknik pembiakan terbaru dari luar negara yang dapat membantu penternak mengurangkan kos pengeluaran sekali gus memberi pulangan lumayan.


“Malah, kami menjangkakan pembangunan taman ini akan memberikan prospek ekonomi lebih cerah kepada usahawan tempatan dan peluang pekerjaan kepada graduan dalam bidang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat ACER, di sini, semalam.


Azizol berkata, selain aktiviti penternakan dan penyelidikan, taman itu menawarkan tarikan pelancongan menarik dan mesra kanak-kanak di mana mereka berpeluang merasai sendiri pengalaman memberi makan dan membelai ternakan.


“Terengganu mensasarkan seramai 3.5 juta pelancong setahun dan sebahagian besar tarikan itu tertumpu pada alam semula jadi dan warisan.


“Justeru, kami meramalkan taman ternakan ini juga bakal menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara,” katanya.


Azizon berkata, negara memerlukan bekalan 10 juta kambing setahun bagi menampung permintaan dengan kadar pengambilan daging kambing perkapita negara meningkat dari 0.67 kilogram (kg) pada 2006 kepada 0.74 kg tahun lalu.


Katanya, bagi memenuhi keperluan itu, Malaysia terpaksa mengimport kira-kira 15,000 tan daging kambing dan 50,000 kambing hidup setahun.


“Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), ECER dijangka meningkatkan aktiviti pembiakan sebanyak tujuh peratus bagi memenuhi permintaan tempatan dan global yang semakin meningkat.


“Justeru, bagi mencapai matlamat itu, kita akan menumpu kepada usaha menternak kambing pedaging lebih besar menggantikan kambing tempatan yang lebih kecil,” katanya.


Beliau berkata, menjelang 2020, ECER mensasarkan untuk mengeluarkan 2,020 tan daging kambing dan jumlah itu dilihat mampu mencapai sasaran tahap sara diri sebanyak 35 peratus.

No comments: