Thursday, December 11, 2008

Pelan ternak kambing Malaysia-Australia Barat

PERTH 2 Dis. - Malaysia dan Australia Barat hari ini mencapai persetujuan untuk memulakan pelaksanaan Pelan Pembangunan Industri Kambing Malaysia (PPIKM) bagi meningkatkan bilangan ternakan itu selari dengan keperluan negara.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr. Abd Aziz Jamaluddin berkata, di bawah pelan itu kerajaan Australia Barat melalui Jabatan Pertanian dan Makanannya (DAFWA), akan menyediakan khidmat rundingan menyeluruh bermula dari peringkat bekalan baka kambing bermutu sehingga kepada pemprosesan untuk dipasarkan.

Katanya, kaedah itu bukan sahaja mampu menjimatkan kos tetapi menjamin kualiti baka kambing serta bekalan yang mencukupi.

''Dahulu menerusi kaedah tradisional, kita berhadapan pelbagai masalah termasuk kambing mati ketika penghantaran tetapi dengan kerjasama ini masalah itu boleh dielakkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian pelaksanaan PPIKM bersama kerajaan Australia Barat yang diwakili oleh Ketua Pengarah DAFWA, Ian Longson.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Dr. Baharom Jani; Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian (MARDI), Datuk Dr. Abdul Shukor Abd. Rahman dan Konsul Jeneral Malaysia Australia Barat, Hamidah Ashari.

Pada majlis itu, JPV turut menyerahkan surat hasrat melantik DAFWA membantu membangunkan Pelan Pembangunan Industri Lembu Malaysia.

Abd. Aziz berkata, Australia Barat dipilih kerana negeri terbesar di Australia itu telah membuktikan keupayaan membangunkan industri penternakan berskala besar menggunakan teknologi penternakan terkini.

Pada masa ini Australia Barat menghasilkan kira-kira 20 juta biri-biri, lembu (dua juta), kambing (satu juta) dan unta antara 400 hingga 500 ekor setahun.

Beliau menambah, apa yang penting pelaksanaan pelan itu mampu membantu hasrat kerajaan mencapai kadar yang mencukupi untuk memenuhi keperluan makanan negara.

Sebagai permulaan, katanya, kerajaan akan membawa masuk kira-kira 10,000 baka kambing ferel dari Australia Barat.

''Negara memerlukan sejuta kambing untuk mencapai sasaran 35 peratus daripada keperluan negara menjelang 2015. Hari ini kita hanya mampu menternak 400,000 kambing," katanya.

Mengenai Pelan Pembangunan Industri Lembu Malaysia, Abd. Azizi berkata, ia akan menggunakan kaedah yang sama seperti industri kambing.

Beliau menjangkakan kedua-dua pihak mampu memuktamadkan pelan itu bagi membolehkan pelaksanaan dimulakan pada pertemuan susulan yang dijangka diadakan Julai tahun depan.
- Utusan

No comments: