Monday, November 24, 2008

Ibarat syurga buah-buahan


Shamsul Azreen Ghazali tersenyum puas menunjukkan hasil dusunnya.


SEPERTI kebanyakan dusun, yang kebanyakannya terletak tepi jalan, anda sesekali tertarik dengan pokok buah-buahan apabila melalui jalan menuju Kenering Gerik dekat Kampung Charuk Api-Api, Pengkalan Hulu, Baling, Kedah.


Tarikan dusun yang penuh dengan tanaman bermusim sepanjang jalan nyata menggamit anda untuk singgah kerana memilik kelainan tersendiri.


Kunjungan anda ke daerah Pengkalan Hulu jika dilakukan pada musim buah-buahan, pastinya akan memberikan keseronokan sebaik terpandang pokok yang ‘meriah’ dengan buah-buahan.


Ini semua menguatkan hajat anda untuk singgah kerana mahu merasai sendiri pengalaman memetik, memungut, dan makan sepuas-puasnya.


Apatah lagi musim cuti sekolah ketika ini, rombongan balik kampung mungkin lebih bersemangat jika diberitahu musim buah-buahan sedang menjengah, menanti kehadiran sanak- saudara dan keluarga.


Hakikatnya hasrat itu boleh dinikmati di Dusun Keluarga Bahagia.


Dusun milik Shamsul Azreen Ghazali, 30, itu agak unik kerana ia turut menyediakan kemudahan bilik penginapan bagi membolehkan anda menanti sendiri buah jatuh seperti buah durian di malam hari .


Selain Shamsul Azreen dan ibunya, Che Puteh Md. Rejab, 53, cetusan idea adik-beradik dari keluarga ini, Shaifol Amreey,25, dan An‘Nisa, 22, kawasan seluas hampir dua hektar ini mempunyai tarikan tersendiri kepada pencinta buah-buahan tempatan untuk menikmatinya di sini.


Sebut sahaja buah-buahan bermusim yang anda minati pastinya cita rasa anda akan tertunai di dusun ini.


Raja buah dari klon 101, D24, D15 sehinggalah ke klon tangkai panjang pastinya sudah cukup memuaskan hati penggemar durian yang mahukan isi kuning, tebal, lemak dan manis.


Deretan pohon durian yang ditanam pemiliknya sejak tahun 1985 itu berbuah lebat sehingga memukau mata kerana klon yang ditanam itu sudah matang menunggu peminatnya.


Malah tidak salah untuk penggemar durian yang tidak sabar untuk makan boleh menunaikan hajat sekalipun di bawah pokoknya.


Raja buah ini sama ada yang besar atau kecil semuanya mempunyai rasa berbeza kerana itu menjadi hasrat tuan punya dusun ini dalam menyediakan pakej kepada pengunjung.


Bagi yang tidak gemar makan durian, boleh memilih beberapa lagi buah-buahan lain seperti rambutan, manggis dan dokong di dusun ini.


Di dusun keluarga ini terdapat antara 50 hingga 80 pokok rambutan yang apabila tiba musimnya antara bulan Julai hingga September tentunya masa untuk memetik buah.


Sementara pohon manggis yang ditanam di celah pokok-pokok utama turut berbuah lebat menguja peminatnya sendiri untuk terus memetik si hitam manis ini.


Dari kejauhan antara kemerah-merahan rambutan jenis deli, gading, anak sekolah dan isi nyior, deretan pokok dokong yang hampir 300 pokok berjuntaian sehingga ke pangkal pokok.


Menurut Shamsul Azreen, setiap kali musim, dokong mengeluarkan buah antara satu hingga tiga tan metrik buah dokong dapat dijual.


Menariknya, buah spesies langsat ini bukan sahaja ditanam untuk dimakan oleh keluarga ini malah mampu dikomersialkan.


Tambah Shamsul Azreen, setiap tahun dokong dari kebunnya mendapat tempahan daripada pemborong sama ada di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor Baharu.


Penggemar buah yang berkunjung ke dusun ini tidak perlu bersusah payah untuk memetiknya kerana buahnya lebat sampai ke pangkal pokok.

Bukan itu sahaja, penggemar buah cempedak juga boleh menikmatinya kerana cempedak yang ditanam pemilik ini juga menghasilkan buah yang banyak.


Bentuk geografi kawasan dusun ini mungkin meletihkan pengunjung untuk berjalan kaki pemiliknya menyediakan kenderaan pacuan empat roda bagi menyusuri dusun ini.


‘‘Naiklah kenderaan pacuan empat roda yang kami sediakan dan nikmatilah pengalaman di dusun ini,” jelas Shamsul Azreen yang mahu mempopularkan dusunnya kepada pengunjung termasuk pelancong dalam dan luar negeri.


Di hujung dusun terdapat sebuah kolam yang kini dimanfaatkan untuk ternakan ikan air tawar bagi melengkapkan dusun ini dengan ciri-ciri pelancongan tani.


Dengan tidak mahu menoleh ke belakang Shamsul Azreen bersedia untuk menerima kunjungan tetamunya menikmati suasana dusun yang lengkap ini.


Bagi ibu Shamsul Azreen, Che Puteh tidak menyangka pada mulanya usaha mereka anak beranak hanyalah suka-suka dan memenuhi masa lapang dan berbakti pada tanah.


Namun semuanya, berubah apabila dusun milik mereka mampu mengeluarkan hasil yang melimpah.


Bagi memudahkan pengunjung keluarga ini turut menyediakan sebuah rumah yang dilengkapi ruang masak, bilik tidur, ruang rehat dan bilik air.


“Jika pengunjung mahu memasak, kami juga sediakan kemudahan itu,” kata Che Puteh yang banyak menyerahkan kepada anaknya untuk menguruskan dusun itu.


Shamsul Azreen menganggap kelebihan dusun milik keluarganya sebagai satu cara mempromosikan pelancongan di kawasan itu.


Pun begitu, saban tahun ada sahaja individu atau kumpulan menjadikan dusun ini sebagai tempat belajar dan mendalami kaedah penanaman buah-buahan tempatan.


Impian keluarga ini ialah menjadikan dusun ini sebagai kawasan pelancongan dengan tarikan khusus buat penggemar buah-buahan tempatan yang mahu merasai kesegaran dan mutu secara terus dari dusun.


Berkunjung ke dusun ini pastinya melengkapkan kunjungan kerana semuanya ada di sini.


Makanlah sepuas-puasnya kerana dusun milik keluarga ini ada segala-galanya menjadikan Raja Dusun ini perlu dikunjungi.

Wednesday, November 19, 2008

3 insentif maju sektor ternakan

LUMUT 26 Okt. – Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan terus memperhebatkan pelbagai program di seluruh negara bagi mempertingkatkan produk hasil ternakan serta memenuhi permintaan bahan makanan yang semakin meningkat.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, bagi memastikan kejayaan rancangan berkenaan, kerajaan turut menyediakan beberapa insentif.

Katanya, tiga jenis insentif akan diberikan untuk sub sektor ternakan iaitu pengagihan lembu dan kambing, insentif kewangan kepada penternak dan program bumi hijau.

‘‘Tiga insentif itu bertujuan menampung pertambahan kos pengeluaran komoditi ternakan dan mempergiatkan lagi aktiviti dalam sektor pertanian.

‘‘Kerajaan perlu menyuntik peruntukan tambahan bagi menampung peningkat harga bahan makanan dan ubat- ubatan ternakan.

‘‘Keadaan itu sekiranya tidak dibantu, penternak bakal berhadapan dengan pelbagai masalah dan risiko kerugian,” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian Sijil Peserta Bimbingan Rakyat, Perjanjian Skim Pinjaman Ternakan Tanpa Faedah (PINTAF) di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan negeri, Jamaluddin Mohd. Radzi.

Seramai 15 orang penternak menerima perjanjian PINTAF bagi ternakan lembu, ternakan kambing (15), Projek Bumi Hijau (149) dan Program Bantuan Bimbingan Rakyat (12).

Dr. Quaza Nizamuddin berkata, PINTAF adalah satu program di bawah Jabatan Perkhidmatan Vaterinar yang dahulunya dikenali dengan nama Rancangan Pawah Ternakan.

Menurutnya, sebanyak RM3.618 juta telah disalurkan kepada negeri ini bagi membekalkan sebanyak 700 ekor lembu dan 900 ekor kambing kepada 71 peserta.

‘‘Setiap peserta akan menerima sebanyak 20 ekor lembu dan 25 ekor kambing.

‘‘Negeri ini juga dijangka akan menerima peruntukan tambahan sebanyak 1,000 ekor lembu dan 1,750 ekor kambing lagi untuk diagihkan kepada peserta,” katanya.

Menurutnya, pihak jabatan juga turut menjalankan Program Bumi Hijau menerusi peruntukan sebanyak RM160,000 yang disediakan.

1,000 usahawan wanita disasar setiap tahun

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyasarkan matlamat untuk melahirkan seramai 1,000 usahawan wanita setiap tahun melalui beberapa program yang dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita.


Ketua Pengarah jabatan itu, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur berkata, sasaran itu bagi memberi peluang terutama kepada golongan ibu tunggal terlibat secara aktif dalam mempertingkatkan pembangunan ekonomi negara.


''Walaupun projek yang kita anjurkan berskala kecil, kita mempunyai strategi bagi membantu usahawan wanita terlibat berkembang maju sehingga mampu membawa perusahaan mereka menembusi pasaran luar negara,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Noorul Ainur berkata, antara program yang sedang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) ialah Program Usahawan Tani Wanita yang memberi peluang wanita menyertai bidang pertanian.


Katanya, projek perintis program tersebut telah dimulakan di Negeri Pahang bulan lalu yang disertai sekumpulan wanita yang diberi bimbingan dalam penanaman bunga melor untuk industri teh herba.


''Kita akan terus dengan penanaman tumbuhan seperti serai, kunyit dan lain-lain pula selepas ini dan hasilnya akan dipasarkan secara komersial,'' katanya.


Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-KIT) pula katanya, menggunakan pendekatan latih-bimbing terhadap ibu tunggal di setiap negeri untuk menghasilkan produk perusahaan dalam bidang jahitan, kecantikan, kraftangan, asuhan kanak-kanak, pelancongan dan pemprosesan makanan.


''Strategi yang kita aturkan pula adalah menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta seperti rangkaian pasar raya besar di negara ini bagi menyediakan ruang untuk memasarkan produk keluaran usahawan tersebut,'' katanya.


Tambahnya, melalui program yang dianjurkan, para peserta turut didedahkan dengan kemahiran soft skill seperti kemahiran bahasa, keterampilan dan asas keusahawanan sebagai persediaan menceburi bidang pekerjaan atau memulakan perniagaan.


Dalam pada itu, Noorul Ainur menggesa pihak swasta mengambil peluang untuk membantu wanita yang terlibat dalam program-program tersebut dengan menyediakan peluang bagi memasarkan produk keluaran perusahaan mereka.


''Kerjasama bijak ini akan membantu melahirkan usahawan wanita yang berpotensi bersaing secara kompetitif sekali gus membangunkan produk dan jenama mereka ke tahap lebih baik.


''Selain itu, syarikat swasta seperti rangkaian pasar raya besar mendapat faedah kerana ia boleh menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka,'' katanya.

ICT, biotek dalam pertanian

SERDANG 28 Okt. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta bioteknologi diaplikasikan secara meluas dalam bidang pertanian bagi melonjakkan kemajuan sektor tersebut.


Perdana Menteri berkata, langkah menggabungkan dua elemen itu amat mustahak kerana pertanian dikenal pasti sebagai salah satu cabang ekonomi yang dapat membantu kerajaan menangani impak krisis kewangan global kepada negara.


"Saya amat yakin dengan masa depan bidang pertanian sekiranya elemen ICT dan bioteknologi dapat digabungkan kerana Malaysia boleh meraih manfaat yang sangat besar berikutan kelebihan yang telah ada pada kita dalam bidang tersebut.


"Malah dunia menyifatkan Malaysia sebagai berada di landasan yang tepat untuk memajukan bidang pertanian kerana kelebihan-kelebihan yang kita miliki ini," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Warga Tani Bersama Perdana Menteri di sini hari ini.


Majlis yang dihadiri kira-kira 4,000 warga tani seluruh negara itu diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang.


Hadir sama ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui.


Abdullah kemudian melancarkan varieti baru cili padi yang dikenali sebagai 'Semerah'. Antara kelebihan varieti yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu adalah sifatnya yang cepat matang dan berhasil tinggi.


Sementara itu, Abdullah berkata, keyakinan kerajaan terhadap sektor pertanian bukanlah hanya impian kosong atau angan-angan Mat Jenin, sebaliknya ia berlandaskan usaha dan strategi bagi memajukan sektor itu.


Kata beliau, Bank Negara sendiri turut mengakui kemampuan sektor pertanian untuk muncul sebagai sektor ketiga terpenting dalam menyumbang kepada ekonomi negara.


Sehubungan itu, tambahnya, tanggapan sektor pertanian sebagai sektor lapuk dan tidak perlu dimajukan adalah satu kesilapan kerana ia mampu menjana pendapatan lumayan kepada mereka yang terlibat.


"Jangan anggap leceh, karut dan mimpi untuk menjayakan sektor pertanian. Pertanian bukanlah perkara baru, Kementerian Pertanian dan MAHA (Ekspo Pertanian dan Hortikultur Malaysia) sudah lama wujud. Kita cuma memberi tambah nilai pada perkara-perkara itu.


"Dengan usaha yang bersungguh-sungguh, saya memang yakin pertanian dan industri asas tani punya masa depan yang cerah


"Macam MAHA yang lalu, ada usahawan asas tani kita seperti pengusaha kuah rojak beritahu dia mampu raih RM3 juta setahun, pengusaha makanan beku RM15 juta," ujarnya.


Abdullah berkata, atas sebab itu mereka yang terlibat dalam bidang pertanian harus mempunyai kualiti modal insan kerana dengan ilmu yang terkini barulah hasil pertanian mampu ditingkatkan.


Katanya, memandangkan industri pertanian sentiasa berkembang, ia menuntut mereka yang terlibat dengannya sentiasa menambah pengetahuan terhadap kaedah dan teknologi baru.


"Untuk menambah nilai kerja kita supaya memperoleh hasil yang lebih dan berkualiti, maka tidak ada jalan lain kecuali mendalami ilmu pertanian.


"Sebab itu saya minta warga tani kita supaya jangan anggap masa untuk belajar telah berlalu. Sebaliknya pelajaran adalah untuk sepanjang hayat," jelasnya.

Teknologi berkaitan industri cili


Teknik mengesan tahap kepedasan cili menggunakan ChilliSense.


Perisytiharan cili varieti baru yang disempurnakan oleh Perdana Menteri , Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini menandakan bidang pertanian khususnya penyelidikan pembiakbakaan melangkah setapak lagi dengan pengenalan Semerah yang mempunyai ciri-ciri lebih baik.


Pertanian kini dilihat sebagai bidang wajar dimartabatkan, apatah lagi dengan krisis makanan yang melanda membawa kepada inisiatif kepada penghasilan baka lebih baik.


Menurut Jabatan Pertanian, dengan kawasan penanaman cili setakat kini melebihi 3,000 hektar dan pengeluaran lebih 37,000 tan metrik, tanaman cili wajar dikembangkan dengan penggunaan teknologi, sama seperti tanaman pertanian lain.


Tanaman cili antara yang menerima suntikan baru dengan pengenalan varieti baru itu meskipun ia bukan yang pertama diperkenalkan.


Pada 1995, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), memperkenalkan varieti Cilibangi-1 dan Cilibangi- 2 yang ketika iu dapat memberi penyelesaian kepada penanam cili tempatan supaya tidak perlu bimbang dengan masalah baka.


Cilibangi-1 dan Cilibangi-2 yang dihasilkan selepas penyelidikan 15 tahun oleh dua profesor UKM, Bangi, ketika itu iaitu Prof. Madya Dr. Ahmed Mahir dan Prof Dr. Ismail Ahmad dari Fakulti Sains Hayat dikatakan mampu memberi jawapan kepada masalah penyakit yang menyerang tanaman tersebut.


Cilibangi-1 dan 2 mempunyai ciri-ciri seperti struktur pokok yang seimbang dan boleh menampung buah yang lebat.


Ciri-ciri ini mengurangkan risiko pokok tumbang semasa ditanam dan berbuah.


Menurut UKM, Cilibangi-1 sesuai untuk dipasarkan segar, manakala Cilibangi-2 untuk dikeringkan dengan pokoknya kelihatan lebih segar dan menarik berbanding cili biasa.


Penghasilan baka cili tersebut dihasilkan menerusi penyelidikan pembiakbakaan secara konvensional dan bioteknologi di bawah Program Tumpuan Penyelidikan Dalam Bidang Keutamaan (IRPA) serta kajian lanjutan yang diketuai Prof. Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid.


Justeru selain Cilibangi dan Semerah yang menunjukkan kejayaan program pembiakbakaan, industri cili juga menerima suntikan menerusi penyelidikan mengesan tahap kepedasan yang dijalankan oleh penyelidik UKM.


Berdasarkan penyelidikan tersebut, tahap kepedasan cili sebenarnya boleh diuji tanpa menggunakan lidah.


Alat khas yang dinamakan ChiliSense iaitu kit optik dihasilkan bersama oleh Ketua Penyelidik, Prof. Madya Dr. Musa Ahmad bersama Mohamad Nasir Mat Arip, Lee Yook Heng, Ahmad Mahir Moktar dan Dr. Mohd. Nasir Taib.


Ciri penting kit itu ialah mengesan tahap kandungan kapsaisin dalam cili.


Alat tersebut juga boleh membantu meningkatkan industri makanan memandangkan kekerapan penggunaan kapsaisin sebagai perisa makanan dan ia perlu dihadkan.


Alat pengesan itu menggunakan reagen (bahan kimia) yang berubah warna mengikut tahap kepedasan cili dan warna tersebut akan dipadankan julat kepekatan kapsaisin antara 12 dan 20 miligram pel liter (mg/L).


Sampel cili yang hendak diuji perlu dilarutkan dalam reagen tersebut dan perubahan warna dikenal pasti untuk dipadankan dengan kod warna piawai bagi mengukur tahap kepedasan dan keputusan boleh diperoleh dalam masa singkat.

Insentif RM24j petani padi bukit di Sabah, Sarawak

KUCHING 1 Nov. - Kerajaan meluluskan insentif berjumlah RM24.4 juta bagi membantu petani padi bukit di Sabah dan Sarawak.


Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, insentif itu akan diberikan kepada 37,000 petani di kedua-dua negeri itu yang telah berdaftar dengan Jabatan Pertanian.


Katanya, ini kerana petani padi bukit di Sabah dan Sarawak telah mula menanam padi mereka.


''Sebagai permulaan, insentif tersebut akan diberikan dalam bentuk baja.


''Bagi Sarawak, sebanyak RM14.6 juta telah diluluskan bagi kegunaan kira-kira 30,000 petani padi bukit manakala RM9.8 juta bagi 7,000 petani di Sabah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Beliau ditemui selepas melawat gerai bersempena sambutan perayaan hari peladang, penternak dan nelayan peringkat negeri Sarawak di sini.


Rohani berkata, peruntukan tersebut merupakan permintaan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dan kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menentukan bentuk insentif yang akan diberi.


Ujar beliau, ini merupakan pertama kali kerajaan memberikan insentif kepada petani padi bukit terutamanya di Sabah dan Sarawak.


''Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk menambah jumlah dan bentuk insentif yang akan diberikan kepada petani tahun hadapan," jelas beliau.

Program satu daerah satu industri lahir 195 usahawan

KUALA TERENGGANU 1 Nov. - Sebanyak 195 usahawan berjaya dilahirkan di Hulu Terengganu hasil program satu daerah satu industri yang dilancarkan untuk membantu masyarakat luar bandar mencari pendapatan tambahan.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat berkata, usahawan-usahawan yang tinggal di lapan kampung di Hulu Terengganu itu terlibat dalam lima industri termasuk tanaman jagung dan desa inap (homestay).


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong memberitahu, seramai 40 usahawan kraf tangan daun getah berjaya diwujudkan di Kampung Sekayu dan Ajil di sini.


''Sebanyak 33 usahawan tanaman jagung pula dilahirkan di Kampung Besul manakala usahawan desa inap yang seramai 27 orang diwujudkan di Kampung Buloh," ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.


Beliau menambah, sebanyak 83 penduduk di Kampung Dura dan Kampung Jenagor pula terlibat dalam perusahaan ternakan ikan kelah.


''Sebanyak 12 penduduk Kampung Kuala Pueh dan Kampung Telemong pula mengusahakan perusahaan ikan salai," ujarnya.


Beliau berkata, dalam usaha melahirkan usahawan berkenaan, kerajaan negeri mendapat kerjasama beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Pertanian, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Pejabat Daerah dan Felda.


Menurutnya, tujuan memperkenalkan konsep satu daerah satu industri adalah untuk membangunkan industri sesebuah kampung yang diusahakan sendiri oleh penduduknya.


''Ia dilaksanakan supaya dapat membantu mewujudkan kegiatan ekonomi industri desa serta meningkatkan pendapatan penduduk kampung," ujarnya.