Thursday, November 5, 2009

wj_0115
Osman Cheya Kutty, pembekal daging korban di Kampung Kangkar, Tebrau, Johor Bahru.


JOHOR BAHRU 16 Mac – Pertanian merupakan satu bidang yang cukup sinonim dengan Malaysia kerana ia merupakan antara penyumbang utama kepada perkembangan ekonomi negara.


Bidang penternakan khususnya mengalami fasa perubahan yang ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila kebanyakan usahawan di negara ini semakin rancak menjalankan kegiatan penternakan kambing kerana ia mendapat permintaan tinggi di pasaran.


Ladang Kambing Osman yang terletak di pinggir bandar raya Johor Bahru begitu komited terhadap pengeluaran hasil daging dan tenusu yang segar serta berkualiti tinggi.


Penubuhan ladang tersebut pada peringkat awalnya bertujuan menyahut seruan kerajaan bagi membangunkan sektor pertanian dan penternakan sebagai enjin kedua penggerak ekonomi Malaysia.


Pemiliknya, Osman Cheya Kutty, 40, berkata, bidang penternakan kambing semakin diminati dan sememangnya menjanjikan pulangan lumayan kerana permintaan terhadap daging kambing semakin meningkat.


Katanya, permintaan terhadap daging kambing di kalangan masyarakat semakin bertambah dan setiap bulan Ladang Kambing Osman mampu menjual kira-kira 200 ekor kambing untuk pelbagai tujuan.


‘‘Jika dahulu, orang hanya akan membeli kambing setiap kali menjelang Hari Raya Aidiladha tetapi kini hampir setiap hari ada sahaja yang datang untuk membeli kambing untuk dibuat aqiqah,’’ katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di ladangnya di Kampung Kangkar, Tebrau di sini baru-baru ini.


Osman berkata, pihaknya turut menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk para pelanggan yang ingin membeli kambing di ladangnya termasuk urusan penyembelihan, melapah daging serta menyediakan perkhidmatan memasak daging berkenaan.


‘‘Kami menyediakan kemudahan pusat sehenti kepada para pelanggan supaya mereka tidak perlu bersusah payah untuk ke tempat lain bagi menyembelih kambing yang dibeli.


‘‘Ladang ini turut menyediakan perkhidmatan penghantaran secara percuma kepada para pelanggan yang membeli kambing di sini,’’ jelasnya.


Osman memberitahu, pemilihan baka kambing yang baik untuk tujuan pembiakan adalah amat penting bagi memastikan pengeluaran optimum dapat dihasilkan.


‘‘Antara baka-baka pedaging yang sering mendapat permintaan penternak di Malaysia ialah Jamnapari, Ettawah dan Boer. Manakala untuk pengeluaran susu, jenis Anglo Nubien, Saneen dan British Alpine sentiasa mendapat permintaan tinggi.


‘‘Kami di sini bersedia membekal baka- baka daripada pelbagai jenis pada harga yang amat berpatutan,’’ katanya.


Beliau berkata, adalah amat penting untuk memilih kambing yang mempunyai sifat-sifat yang dikehendaki seperti baka dan keturunan, bentuk badan dan kualiti pengeluaran daging haiwan itu.


‘‘Kebiasaannya baka kambing untuk tujuan pengeluaran daging mempunyai struktur badan yang padat jika dibandingkan dengan baka untuk pengeluaran susu kerana fizikalnya lebih besar berbanding kambing daging,” katanya.


Selain itu, katanya, pemakanan yang berkualiti merupakan aspek penting bagi memastikan haiwan ternakan membesar dengan cepat dan berada dalam keadaan sihat.


Menurutnya, rumput dan kekacang adalah bahan makanan penting bagi kambing dan lain-lain ternakan ruminan.


‘‘Rumput dan kekacang pada umur yang sesuai, bukan sahaja mempunyai nilai pemakanan dan zat yang penting, tetapi juga mempunyai bahan penting bagi mengeluarkan susu yang berlemak.


‘‘Kuantiti yang banyak di samping adanya gentian kasar dapat merangsang perut besar supaya menjadi lebih cekap bagi memastikan sistem penghadaman haiwan ternakan berada dalam keadaan terbaik,’’ jelasnya.

wj_0114
SEBAHAGIAN bekas penagih dadah mempelajari teknik menanam cendawan di Pusat Ternakan Kambing Boer dan Cendawan Tiram, Kampung Tengah, Sungai Terap, Muar.

MUAR 17 Mac – Golongan penagih dadah sering dipinggirkan masyarakat walaupun mereka telah insaf selepas menjalani pemulihan di pusat serenti.


Bagi mendekatkan diri dan membuka mata bekas penagih, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menjalankan pelbagai program untuk membuktikan golongan berkenaan juga boleh berjaya jika berusaha bersungguh-sungguh dan diterima masyarakat.


Antara program atau kemahiran yang diberikan untuk memulakan kehidupan baru bagi golongan berkenaan adalah melibatkan diri dalam bidang pertanian dan penternakan.


Menyedari manfaat latihan dan pengetahuan mengenai perkara tersebut, AADK telah menghimpunkan 25 bekas penagih dari seluruh negeri mengikuti kursus penanaman cendawan di Pusat Ternakan Kambing Boer dan Cendawan Tiram di Kampung Tengah, Sungai Terap, di sini.


Ketua Pengarah AADK Johor, K. Sukumaran berkata, program keusahawanan merupakan satu langkah yang bijak dan tepat kerana ia memberi peluang dan ruang kepada bekas penagih untuk memperbaiki diri masing- masing.


“Program keusahawanan anjuran AADK seumpama ini bukan sahaja berkesan, malah ia dapat melatih bekas penagih dengan memberikan kemahiran serta cara untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.


“Selain itu, program ini juga memberi kemahiran kepada golongan berkenaan untuk menyelia projek pertanian,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan kursus tersebut di sini baru-baru ini.


Sukumaran memberitahu, program keusahawanan seumpama ini turut mewujudkan peluang pekerjaan kepada pelbagai pihak khususnya kepada bekas penagih.


“Program ini sekali gus menunjukkan kesungguhan AADK membantu bekas penagih supaya mereka pulang ke pangkal jalan dan mengusahakan projek pertanian yang mendatangkan hasil dan pendapatan pada masa depan,” ujarnya.


Dalam pada itu, Zainal berpendapat, usaha yang dilakukan AADK menunjukkan kerajaan begitu komited membanteras masalah penagihan najis dadah.


“Program dua hari ini bukan sahaja menekankan dari aspek pembelajaran semata-mata, sebaliknya dipraktikkan dengan memberi tunjuk ajar kepada para peserta bagaimana cendawan tiram ditanam,” katanya.


Sementara itu, Pengurus Wirajaya Marketing, Rashid Alias memberitahu, pihaknya berbesar hati menaja lokasi dan program seumpama itu.


Katanya, para peserta yang menyertai program keusahawanan itu bukan sahaja didedahkan dengan pengetahuan secara teori, malah turut diberi kemahiran praktikal dalam bidang pertanian.


“Pertanian berasaskan cendawan tiram semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat dan memberi keuntungan yang berlipat ganda,” katanya yang turut menyumbang 3,000 bongkah cendawan tiram kepada para pelatih AADK.


Justeru, Rashid mengalu-alukan orang ramai terutamanya bekas penagih supaya menceburkan diri dalam bidang tersebut.

ag_021
Produk baja daripada cacing keluaran Perintis.


PERINTIS Agrotech Centre (Perintis), sebuah pusat pembangunan industri pertanian dan asas tani, kini melangkah setapak lagi ke hadapan dengan menghasilkan produk-produk pertanian biotek berasaskan cacing.


Sehingga kini Perintis telah membuka dua kilang ternakan cacing yang menumpukan kepada pengeluaran baja vermikompos secara besar-besaran.


Di samping itu, sebuah lagi kilang yang terletak di Semenyih digunakan sepenuhnya untuk memproses produk-produk biotek yang berasaskan ekstrak dan baja cacing.


Di antara produk berasaskan cacing yang mendapat sambutan yang paling tinggi ialah Bio-Booster yang merupakan makanan utama yang digunakan dalam sistem ternakan keli ProAsli yang hanya memerlukan penjagaan seminggu sekali dan tanpa penggunaan pelet sehingga waktu tuaian.


Penyelidikan


Kini Perintis giat membangunkan penyelidikan untuk memberi tambah nilai kepada baja vermikompos tersebut.


Terdapat pelbagai lagi produk yang telah dihasilkan iaitu Bio-Vita, yang merupakan vitamin dan makanan tambahan untuk ternakan, Bio-Aqua yang digunakan untuk mengawal kualiti air dan mempercepatkan tumbesaran ternakan ikan dan pelbagai produk lain.


Bagi menampung pengeluaran produk-produk berasaskan cacing ini, seramai 200 pembekal baja vermikompos akan dilantik oleh Perintis.


Adalah dijangka lebih 30 tan baja akan dihasilkan dalam tempoh sebulan bulan.


Setakat ini hampir 15 tan per bulan baja telah digunakan bagi memproses produk-produk tersebut dan bermula bulan Jun ini , Perintis mensasarkan pengeluaran produk-produk tersebut sebanyak tiga kali ganda.


Bagi memastikan baja-baja yang dibekalkan kepada Perintis adalah dalam piawaian yang ditetapkan maka setiap pembekal akan dilatih oleh tenaga pakar dari Perintis sendiri.


Selain dari itu bagi memenuhi syarat sebagai pembekal, modal minimum dikenakan bagi memasuki kontrak jaminan belian balik vermikompos tersebut yang merangkumi modal untuk ternakan, makanan dan perubatan ternakan.


Menurut Pengurus Projek AgroHub, Norzana Rafie, Fasa I projek ternakan cacing telah berjaya dibentuk di sekitar Selangor dan kini projek ini telah memasuki fasa ke II untuk ke seluruh negara.


”Di bawah projek ternakan cacing ini, pembekal akan dilatih dan diberi tunjuk ajar secara percuma sebelum membuat ternakan sendiri,” katanya.


Satu kaedah penternakan cara mudah dan jimat akan diperkenalkan di samping teknik penjagaan terkini dengan bantuan produk bioteknologi iaitu Bio-Ternak.


Sebanyak 5 kilogram induk cacing beserta makanan akan diberikan kepada pembekal dilantik untuk diternak dengan menggunakan kaedah ternakan yang telah ditetapkan oleh Perintis sebelum menjual semula baja vermikompos yang dihasilkan kepada pihak syarikat.


Tambah beliau lagi, penggunaan Bio-Ternak bukan sahaja dapat membantu menguraikan sumber makanan cacing dengan lebih cepat malah dapat memberikan selera makan yang tinggi kepada cacing.


Bukan setakat itu sahaja, cacing yang diternak menggunakan Bio-Ternak juga lebih sihat, cepat membesar dan berkualiti tinggi.


Baja yang terhasil juga terbukti lebih bernutrisi tinggi berbanding baja cacing yang dihasilkan menggunakan teknik biasa”.


Keluaran


Mempelbagaikan penggunaan baja cacing untuk produk keluaran sendiri menjadi kunci utama kejayaan Perintis.


Dalam erti kata yang lain, Perintis tidak terlalu bergantung kepada pasaran terbuka sebaliknya lebih tertumpu kepada memasarkan produk-produk penggalak pertanian berasaskan cacing.


Kini satu rundingan telah pun dibuat dengan wakil-wakil dari Thailand dan Indonesia untuk memasarkan produk-produk tersebut ke negara-negara di rantau Asia.


Satu siri promosi telah dirangka dengan kerjasama jabatan perikanan dan jabatan pertanian bagi memperkenalkan produk-produk tersebut ke dunia luar.


Apa yang diharapkan adalah usaha sama yang terjalin di antara pihak Perintis ini dapat memberi menafaat kepada peserta-peserta yang baru menceburi industri ternakan cacing ini sekali gus menjadi jalan alternatif dalam menjana pendapatan sampingan sebelum menceburi industri ini secara komersial.


Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi 03-6187 3796 atau 019-6634527 atau layari www.agrohub.net atau di pejabat urusan di Bussiness Suite B-17-G, The Medan Selayang, Batu Caves, Selangor Darul Ehsan.

wu_011
MUSTAPA (kanan) melihat proses memindah benih ikan menggunakan mesin khas milik Syarikat Trapia di Tasik Temengor, Gerik, Perak baru-baru ini. – UTUSAN/NORSHARUDDIN SAPIAN


GERIK 18 Mac – Syarikat GenoMar melalui anak syarikatnya, Trapia Malaysia Sdn. Bhd. (TMSB) melabur sebanyak RM8 juta bagi menjalankan projek ternakan ikan air tawar dalam sangkar terbesar di Malaysia, di perairan Tasik Temengor, Gerik, Perak.


Presiden TMSB, Morten Hoyum berkata, projek itu ialah menternak ikan tilapia spesies GenoMar Supreme (GST) yang diperkenalkan oleh syarikat induk, GenoMar AS (GenoMar) dari Norway.


Menurutnya, syarikat berkenaan sebelum ini telah menjalankan penyelidikan dan percubaan untuk menternak anak ikan tilapia GST di beberapa lokasi termasuk di Thailand, Kedah, Johor, Pahang, Terengganu dan Perak.


“Hasil penyelidikan dan percubaan yang dijalankan itu mendapati perairan Tasik Temengor sesuai untuk dijadikan tapak ternakan tilapia GST.


“Sehubungan itu, pada 14 Januari 2008 lalu, kita telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Jabatan Perikanan untuk menggunakan sebahagian Pusat Perikanan Darat Banding sebagai pusat pembenihan sementara.


“Satu lagi MoU ialah dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak untuk menjalankan projek akuakultur dan pemprosesan ikan tilapia yang turut ditandatangani pada 15 Februari 2008,” katanya.


Menurutnya, syarikat itu telah memulakan projek ternakan percubaan pada November 2007 di dalam 10 unit sangkar bersaiz 6 meter dan enam unit sangkar bersaiz 4 meter.


Katanya lagi, sehingga Disember 2008 lalu, projek percubaan itu telah menghasilkan sebanyak 66 metrik tan ikan tilapia yang dipasarkan ke sebuah pasar raya ternama dengan menggunakan jenama ‘Royal Tilapia‘.


Morten berkata, pihak syarikat juga sedang berunding dengan dua lagi pasar raya besar lain untuk meluaskan lagi pasaran produk berkenaan selepas modul pertama terdiri daripada 20 unit sangkar bulat dijangka siap pada bulan Jun atau Julai depan.


Katanya, buat masa ini, syarikat telah mendapat pengiktirafan daripada pasar raya ternama itu dan menjadi pembekal dengan kapasiti pengeluaran hingga 1.5 tan metrik seminggu.


“Pelaburan syarikat kami juga akan mewujudkan hampir 2,000 peluang pekerjaan dan perniagaan dalam kalangan penduduk setempat.


“Sebanyak 50 peratus pengeluaran ikan tilapia akan dijalankan secara ‘ternakan kontrak’ sekali gus membuka peluang kepada usahawan tempatan,” katanya.


Menurutnya, menerusi konsep ‘ternakan kontrak’ itu, pihak syarikat akan melantik penternak secara kontrak untuk menternak ikan tilapia mengikut kaedah ternakan yang ditetapkan syarikat.


Jelas beliau, sebelum itu, penternak akan diberi latihan dan pengetahuan dari aspek ternakan dan membeli semula semua hasil pada harga yang sesuai untuk tempoh yang dijanjikan.

BANDAR JENGKA: Kegiatan penternakan burung puyuh di tanah rancangan Felda Jengka 15, di sini, semakin berkembang berikutan permintaan tinggi penggemar daging haiwan berkenaan serta pengusaha restoran di sekitarnya.


Seorang peneroka, Samad Puhalus, 56, yang sudah menternak burung puyuh sejak lebih lapan tahun lalu, mengakui kegiatan itu memberi pendapatan lumayan kepada keluarganya.


Katanya, sebelum ini kegiatan penternakan puyuh dijalankan secara sambilan sekadar memenuhi keperluan keluarga kerana bimbang sukar mendapatkan pasaran.


“Selepas lebih setahun mengusahakannya, permintaan penggemar semakin meningkat sehingga mendorong saya mengkomersialkan kegiatan penternakan itu untuk mendapatkan pendapatan tambahan.


“Setakat ini, pendapatan hasil jualan puyuh agak lumayan setanding dengan perniagaan ternakan lain. Tambahan pula, pihak pengurusan Felda memberikan dorongan supaya membesarkan kegiatan penternakan.


“Memandangkan permintaan yang semakin meningkat, jumlah ternakan puyuh ditambah sehingga 10,000 ekor bertujuan memenuhi permintaan pengguna.


“Saya juga menjual telur dan anak puyuh kepada penternak sebagai usaha memperluaskan kegiatan perniagaan haiwan berkenaan supaya mampu menambah pendapatan keluarga,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Samad berkata, keluarganya turut mencipta sebuah mesin pengeram yang boleh menetaskan 400 anak puyuh dalam tempoh empat hari.


Beliau berkata, burung puyuh yang sudah disembelih dan dibersihkan dijual antara RM13 hingga RM15 sekilogram, telurnya pula 10 sen sebiji, manakala anak yang baru menetas antara 60 sen hingga RM2.50 seekor.


Mengenai modal kewangan ketika mula menceburi bidang ternakan itu, Samad berkata setakat ini keluarganya membuat pinjaman sebanyak RM9,000 daripada Felda dan ia dibayar semula dalam tempoh enam tahun.

KUALA LUMPUR 25 Jan. – Dengan menyewa tanah hanya seluas 60.7 hektar milik Jabatan Pertanian di Sepang, syarikat bumiputera Jamirah Food Industries (JFI) Sdn. Bhd. kini berbangga mengeksport 20 peratus produk makanannya ke United Kingdom (UK).


Eksekutif Pemasaran JFI, Luqman Hakim Amat Tarmezi berkata, syarikatnya mengoptimumkan penggunaan tanah itu dengan tanaman seperti ubi kayu, keledek dan pisang malah memprosesnya terus menjadi produk makanan.


Menurutnya, hasil tanaman dari ladang di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Sepang itu akan diproses menjadi produk makanan seperti kerepek ubi.


“Ia bukan saja dipasarkan di sekitar Lembah Klang malah dieksport ke UK, Vietnam dan Dubai.


“Kami memproses 120 tan produk makanan sebulan dengan 70 peratus daripadanya diedar kepada pemborong tempatan, 20 peratus pasaran antarabangsa manakala 10 peratus lagi secara runcit di Semenanjung Malaysia,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di Festival Pembangunan Ekonomi Islam (i-Fest’09) di Mid Valley Exhibition Centre di sini semalam.


JFI antara peserta yang menyertai pameran dan jualan produk di i-Fest’09 yang masuk hari keempat semalam.


Sementara itu, JFI mempunyai dua anak syarikat iaitu Jamirah Enterprise yang beroperasi penuh dalam sektor pertanian di ladang sementara JFI Marketing yang beroperasi sebagai agen pemasaran dalam negara.


Luqman yang juga anak kepada pemilik syarikat JFI iaitu Amat Tarmezi Dolah Kusni berkata, kenalan dan rangkaian perniagaan adalah aspek penting dalam perniagaan.


Tambah Luqman, JFI juga menyertai beberapa program anjuran kerajaan seperti Good Manufacturing Practice (GMP) anjuran Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) untuk meningkatkan tahap penggunaan teknologi


Selain itu, JFI aktif dalam beberapa ekspo dan festival seperti Pameran Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA), Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) dan Ekspo Satu Daerah Satu Industri (SDSI).


Katanya, JFI mempunyai misi menembusi beberapa pasaran antarabangsa di Eropah dan Asia tidak lama lagi.

KUALA TERENGGANU 27 Jan. – Sebagai usaha melahirkan generasi nelayan moden di negara ini, Institut Perikanan Malaysia Chendering (IPMC) di sini menawarkan kursus bidang teknologi perikanan dan tangkapan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Melalui kursus itu, peserta didedahkan dengan pelbagai kemahiran termasuk menjalani kursus selama sebulan di perairan negara untuk mengalami sendiri selok-belok perikanan laut dalam.


Penolong Pegawai Laut IPMC, Tengku Makhtar Raja Husein berkata, kursus itu penting untuk membolehkan generasi pelapis nelayan mampu bersaing dalam industri perikanan yang semakin mencabar.


”Langkah itu juga bagi mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja asing dalam industri perikanan negara sekarang,” katanya di sini hari ini.


Katanya, kursus itu terbahagi kepada tiga tahap dengan tahap satu dan dua, masing-masing selama enam bulan manakala tahap tiga mengambil masa setahun.


Katanya, pada Oktober tahun lepas, seramai 29 pelatih IPMC termasuk lima wanita telah belayar sejauh kira-kira 800 batu nautika merentasi Selat Melaka bagi menjalani latihan sebagai nelayan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.


Beliau berkata, kini seramai 24 lulusan SPM mengikuti kursus itu bermula 11 Januari lepas.


Tengku Makhtar berkata, selain itu IPMC juga menawarkan kursus pertanian, akuakultur dan penternakan haiwan.