Tuesday, January 20, 2009

Permintaan produk organik kian tinggi di pasaran

Pengarahnya, Tai Kok Khong berkata, kesedaran berkenaan menyebabkan produk organik kini mendapat permintaan tinggi di pasaran.


“Produk seperti sayur-sayuran, ikan, buah-buahan dan telur ayam mendapat sambutan menggalakkan ekoran kesedaran tinggi pengguna terhadap kepentingan pemakanan bahan yang dihasilkan tanpa menggunakan bahan kimia.


“Para pelanggan juga tertarik dengan produk kami kerana ia ditanam tanpa menggunakan baja kimia,” katanya kepada Utusan Malaysia yang berkunjung ke ladangnya di sini baru-baru ini.


Kok Khong berkata, syarikat yang mencatat jualan jutaan ringgit setahun itu turut berjaya menembusi pasaran antarabangsa terutama di Singapura dan Hong Kong.


Menurutnya, syarikatnya mula beroperasi di Lojing, Kelantan pada 2001 dan kemudian berpindah ke Johor pada 2005 apabila membuka sebuah ladang seluas 40 hektar di Projek Pertanian Moden Kluang (PPMK) di Ayer Hitam, dekat sini.


Antara produk tani di ladangnya ialah sawi, terung, bunga kobis, timun, bayam, kacang panjang, kacang bendi, kangkung, cili, kailan, labu manis, buah naga, jambu, markisa, betik dan ikan talapia.


Katanya, operasi syarikatnya mendapat pengiktirafan organik daripada Skim Organik Malaysia oleh kerajaan.


Tambahnya, kawasan tanamannya ditutup dengan kain jaring bagi menghalang serangan serangga di samping menggunakan baja-baja jenis organik dan bahan-bahan buangan daripada ladang.


Menurut Kok Khong, selain bebas daripada bahan kimia, sayuran dan ternakan secara organik juga mempunyai rasa yang lebih sedap, manis dan rangup.


“Kacang panjang organik umpamanya sangat rangup dan sedap untuk diratah begitu sahaja sebagai ulam ketika makan nasi.


“Ikan talapia pula mempunyai isi lebih lembut dan rasa lebih manis serta tidak berbau,” katanya.


Dari segi kos buruh pula, Kok Khong berkata, pertanian organik lebih menjimatkan kerana semuanya dilaksanakan secara ‘manual’ termasuk proses pendebungaan tumbuh-tumbuhan.


Untuk memberi kesedaran dan pengetahuan kepada orang ramai, beliau menjemput mereka yang berminat untuk melawat ladangnya yang dibuka percuma kepada pengunjung mulai pukul 9 pagi hingga 6 petang dari Isnin hingga Ahad.

Popiah simpul ‘Awie’snek popular Kuala Pilah

Zuriati Sulaiman (kiri) bersama pembantunya menyimpul snek popiah yang diusahakannya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
- Gambar MD.SHAHJEHAN MAAMIN


Semuanya bermula dengan modal RM5,000 yang dirobek daripada wang simpanan sendiri untuk mendapatkan sebuah mesin menggoreng bagi memenuhi tempahan snek popiah simpul yang sudah tidak menang tangan dibuatnya.


Hari ini, usahawan wanita Zuriati Sulaiman, 41, boleh berbangga dengan usaha tersebut memandangkan tekadnya untuk memajukan perniagaan snek tradisi sudah membuahkan hasil.


Malah Zuriati iaitu salah seorang daripada 10,000 usahawan yang dibangunkan di bawah Program Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani mampu mengkomersialkan kudapan tradisi tersebut sehingga menjadi snek popular dari Kuala Pilah.


Menurut Zuriati, pendapatan yang diperoleh daripada jualan snek popiah simpul jenama Awie itu adalah daripada RM5,000 sehingga RM50,000 setiap bulan bergantung kepada musim.


“Permintaan pada musim perayaan cukup tinggi sehingga tidak menang tangan dibuatnya tetapi dengan bantuan mesin menggoreng khas yang mampu menggoreng sehingga 13 kilogram inti popiah semua tempahan dapat disiapkan. Jadi dalam sehari kami boleh menghasilkan sebanyak 20 kilo popiah,” katanya.


Kata Zuriati, beliau memulakan perniagaan tersebut sejak 2002 secara kecil-kecilan dari rumah sebelum membesarkan perniagaan itu dengan bantuan Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan.


“Pada mulanya cuma buat secara kecil-kecilan untuk jiran dan kawan-kawan saja tetapi lama-kelamaan setelah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan, saya terus melajukan langkah iaitu dengan membeli mesin menggoreng itu.


“Siapa sangka usaha saya ini mendapat perhatian daripada Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan negeri yang kemudian menyalurkan pelbagai bantuan termasuk peralatan memproses,” katanya ketika ditemui di bengkelnya baru-baru ini.


Menurut Zuriati lagi, selain menyediakan peralatan termasuk mesin mengeringkan minyak, dapur dan penyejuk, pihak berkenaan turut menempatkannya di bengkel inkubator di pusat memproses makanan di sini.


“Saya adalah antara tiga usahawan dari Kuala Pilah ini yang berpeluang menerima bantuan ini iaitu bengkel konkrit yang bertindak sebagai tempat memproses snek ini,” katanya.


Kemudahan yang disediakan oleh Jabatan Pertanian itu, kata Zuriati sedikit sebanyak dapat membantu menambah produktiviti produknya.


“Dulu cuma beroperasi di rumah jadi keluarannya agak terhad cuma lima kilogram popiah saja tetapi kini dengan adanya bengkel ini saya mampu menghasilkan sehingga 20 kilogram sehari,” katanya yang sudah tiga tahun beroperasi di bengkel tersebut.


Bukan itu saja, kata beliau, apa yang lebih membanggakan adalah popiah simpul Awie itu mampu menembusi pasaran tempatan dan memasuki pusat membeli belah.


“Dengan paket yang lebih komersial hasil bantuan SIRIM, snek ini mampu memasuki pasar besar Giant, pusat membeli belah Jusco dan Mydin serta stesen minyak Petronas di seluruh negara,” katanya.


Kata Zuriati, snek keluarannya itu cukup istimewa kerana menggunakan serunding ikan bilis sebagai intinya.


“Salah satu tarikan snek ini adalah intinya yang dibuat daripada ikan bilis dan bukan daging atau udang seperti yang selalu berada di pasaran.


“Mulanya memang susah juga untuk memperkenalkan snek ini tetapi setelah beberapa lama popular juga,” katanya.


Kata Zuriati lagi, selain sedap popia simpul itu juga tahan lama kerana kurang berminyak setelah melalui proses pengeringan minyak,” katanya.


Bercakap tentang masa depan, kata wanita dari Kuala Pilah ini, beliau berhasrat untuk mengembangkan produknya ke luar negara pula.


“Baru-baru ini saya ke China untuk mengikuti pameran makanan dan hasil perbincangan dengan beberapa ejen saya berharap mendapat tempahan dari negara luar,” katanya.

Usahawan cili fertigasi

JAITUN Yahya dan Rahana bersama hasil pertama projek tanaman cili secara fertigasi di Kampung Dohit, Pendang, Kedah, baru-baru ini.
- Gambar ISMAIL KAMADIN


Berpegang pada pepatah, berbudi pada tanah pasti akan mendapat hasil, dua beradik tekad menceburi bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman cili merah secara fertigasi di Kampung Dohit di sini.


Bagi Jaitun Yahya, 42, dan adiknya, Rahana, 40, pertanian bukan lagi bidang yang dianggap pekerjaan sekadar cari makan, tetapi ia sebenarnya mampu memberi pulangan lumayan jika diusahakan bersungguh-sungguh.


Justeru, dengan pengalaman yang dikutip menerusi pemerhatian dan tunjuk ajar daripada Institut Penyelidikan dan Pertanian Malaysia (MARDI), dua beradik itu tekad untuk ‘terjun’ ke dalam bidang berkenaan kerana menyedari potensi keuntungannya.


Berbekalkan modal sebanyak RM50,000 menerusi pembiayaan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, sejumlah 5,000 pokok cili ditanam secara fertigasi di atas tanah milik ahli keluarga mereka di kampung tersebut.


Usaha itu berbaloi kerana projek yang dimulakan pada awal Oktober tahun lalu kini menunjukkan kejayaan apabila pokok cili yang ditanam menerusi kaedah berkenaan membuahkan hasil yang berkualiti tinggi dan dijangka dapat dituai sepenuhnya kira-kira dua minggu lagi.


“Sesetengah pengusaha yang menanam cili menerusi kaedah ini biasanya terpaksa menunggu dua atau tiga kali penuaian baru mendapat hasil buah berkualiti, tetapi kami bernasib baik kerana percubaan pertama kali terus berjaya,” kata Jaitun ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.


Menurut Jaitun, dia mengusahakan tanaman cili berkenaan sepenuh masa manakala Rahana yang mempunyai Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Texas, Amerika Syarikat (AS) menjadikannya sebagai kerja sampingan dengan membantu dari segi pemasaran dan pengurusan kewangan.


Katanya, projek berkenaan dijangka mengeluarkan hasil antara 10 hingga 15 tan apabila hasilnya dituai kelak sekali gus memberi pulangan keuntungan berlipat ganda.


Menurut Jaitun, berikutan kejayaan tanaman cili secara fertigasi itu, projek berkenaan dijadikan contoh oleh peserta yang mengikuti kursus usahawan tani seluruh negara dengan melawat ke tapak projek untuk berkongsi pengalaman.


“Semua orang boleh berjaya jika memberi sepenuh tumpuan dan bersungguh-sungguh mengusahakan projek seumpama ini.


“Selain itu mereka juga perlu sentiasa mendapatkan tunjuk ajar daripada pihak yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang ini seperti MARDI,” katanya.


Dalam pada itu, Rahana memberitahu, mereka kini dibimbing oleh MARDI menerusi seorang pegawainya, Abdul Kadir Yusof sejak projek tanaman cili secara fertigasi itu dijalankan.


Katanya, tanpa bimbingan pegawai institut itu, sukar untuk mereka berada pada tahap sekarang apabila projek yang diusahakan berjaya mengeluarkan hasil yang begitu membanggakan.


“MARDI bukan sahaja memberikan khidmat nasihat tetapi turut membantu dari segi teknologi dalam menghasilkan cili yang bermutu tingi,” katanya.


Mengenai perancangan masa depan, Rahana berkata, mereka yang kini mempunyai dua pekerja tetap merancang untuk menambah 10,000 pokok cili dalam fasa kedua projek berkenaan tidak lama lagi.


Mereka yang berminat untuk memborong cili merah daripada mereka boleh menghubungi Jaitun di 012-4491814 atau Rahana di 013-4885546.

Promosi produk asas haiwan dapat sambutan

FAUZIAH Embong (kiri) menunjukkan kebolehan menyediakan masakan pada Promosi Produk Industri Asas Haiwan di Johor Bahru, kelmarin.


JOHOR BAHRU 28 Dis. - Program Promosi Produk Industri Asas Haiwan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri yang diadakan di Larkin di sini mendapat sambutan menggalakkan.


Kira-kira 500 orang mengunjungi program itu yang menyediakan pelbagai produk industri asas haiwan terutamanya juadah makanan.


Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor, Datin Dr. Fauziah Embong berkata, promosi itu disertai kira-kira 30 peserta dan ia telah dimulakan sejak 2006.


“Sejak dimulakan pada 2006, kerajaan telah memperuntukkan RM250,000 untuk Program Industri Asas Haiwan termasuk bagi promosi kali ini.


“Selain itu, peruntukan tersebut juga adalah untuk pembangunan prasarana, kursus, pembungkusan serta label dan perolehan mesin serta peralatan,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan program promosi itu di tapak Pasar Tani Mega di Larkin, di sini semalam. Turut hadir Pengarah FAMA negeri, Abdul Rahman Sulaiman.


Pada program itu, orang ramai berpeluang membeli pelbagai produk industri asas haiwan pada harga promosi.


Antara produk yang ditawarkan adalah serunding daging, sate, kebab, murtabak, bebola daging, ayam, puyuh dan baja kompos.


Sementara itu, Abdul Rahman berkata, promosi tersebut diadakan di seluruh negara secara berperingkat-berperingkat bertujuan membantu usahawan tempatan mempromosikan produk mereka.

Barracafe tawar menu berasaskan ikan


Barracafe yang terletak di Jalan Pandan Pria, Dataran Pandan Prima 2, Kuala Lumpur ini menjadi antara produk terbaru Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam usahanya memajukan industri produk berasaskan ikan.


Sesuai dengan namanya, ia beroperasi sebagai sebuah restoran yang menyediakan menu berasaskan ikan dan nama Barra dipilih berasaskan nama ikan Barramundi atau dikenali sebagai siakap.


Dengan kos pembangunan keseluruhan mencecah RM450,000, kafeteria tersebut menyediakan pelbagai jenis makanan dan menampilkan hiasan dalaman yang menarik dan mampu menarik pengunjung pada masa akan datang.


Meskipun baru dibuka pada Ogos tahun lepas tetapi ia mampu menarik pengunjung terutama penggemar makanan ala Barat dan juga Timur.


Ia dimajukan bagi merealisasikan hasrat LKIM, untuk mempelbagaikan perniagaannya terutama yang menyokong sektor perikanan.


Ini kerana LKIM turut memiliki anak syarikat iaitu Majuikan Sdn. Bhd. (MSB) sebagai cabang perniagaannya selain produk dan teknologi lain khususnya Fish Protech.


Fish Protech merupakan satu teknologi akuakultur yang terbaik untuk industri menternak ikan yang diperkenalkan oleh LKIM dengan kerjasama syarikat dari luar menerusi MSB di Bagan Lalang sejak beberapa tahun lepas dengan menternak ikan barramundi.


Justeru, ada keperluan untuk mewujudkan perniagaan makanan berasaskan ikan berkenaan sebagai sebahagian strategi pemasaran.


Menurut Ketua Pengarah LKIM, Datuk Mustafa Ahmad, usaha pihaknya memajukan perniagaan kafeteria seumpama itu menjadi bukti kesungguhan agensi terbabit memajukan industri perikanan termasuk akuakultur yang membolehkan masyarakat menikmati produk segar.


Usaha tersebut katanya, sebagai permulaan bagi MSB untuk mengembangkan teras perniagaannnya berasaskan teknologi Fish Protech.


Selain itu, jika pendekatan tersebut mendapat sambutan, MSB akan membuka peluang perniagaan kepada mereka yang berminat menerusi konsep francais.


''Kita juga mahu mempromosi konsep usaha dari ladang ke meja makan yang mana projek ternakan kita akhirnya dapat dimanfaatkan sehingga ke hidangan,'' ujarnya.


Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada majlis mesra media bersama Pengerusi LKIM, Datuk Abdul Rahim Ismail di restoran tersebut baru-baru ini.


Turut hadir ialah Pengurus Besar (Operasi), MSB, Wan Mohd. Adnan Wan Ibrahim.


Katanya, sebanyak empat lagi pusat Fish Protech akan diwujudkan pada masa akan datang iaitu di Naka, (Kedah), Tok Bali (Kelantan), Pekan (Pahang) dan Pagoh di Johor dengan kos RM10 juta setiap satu.


Justeru pembangunan teknologi akuakultur Fish Protech itu diharap dapat memberi perangsang kepada masyarakat yang berminat menceburi akuakultur moden bagi meningkatkan sumber perikanan negara.


MSB katanya, telah lama terlibat dengan industri makanan laut dengan pengeluaran pelbagai jenis makanan termasuk bebola ikan, bebola sotong, keropok lekor dan sosej dengan jenama Sajimas dan Majuikan.


Produk tersebut kata beliau juga akan dipromosi menerusi Barracafe sebagai sebahagian menu yang disediakan kepada pengunjung.


Menu lain termasuk kari kepala ikan, masakan ikan tiga rasa dan serta makanan Itali.


Barracafe dibuka pukul 11 pagi hingga 12 tengah malam.

Wadira kopi tumbuk dari Baling


HASLIZA Harun (tengah) dan ahli Kumpulan Wanita Dinamis Felcra (Wadira) mengasingkan biji kopi sebelum ditumbuk secara tradisional.

Dari kopi 'O' kepada kopi paket pelbagai rasa termasuk kopi 'kuat', kopi 'tenaga' sehinggalah kepada kopi penguat tenaga batin memenuhi pasaran kopi tempatan.


Melihatkan limpahan pelbagai jenis kopi dan permintaannya, telah memikat sekumpulan wanita kampung mengambil peluang mengusahakan produk kopi tumbuk asli tanpa menggunakan mesin moden bagi menghasilkan serbuk halus kopi.


Wanita Dinamis Felcra (Wadira) Kampung Teluk Sungai Durian, Bongor, Baling, Kedah, telah mengumpul kopi mentah daripada ahli bagi mewujudkan pusat pemprosesan kopi tumbuk secara komersial.


Kaedahnya mudah, mereka sepakat bekerjasama dalam semua proses, daripada mengumpul, mencambah, menggoreng dan menumbuk sehinggalah serbuk kopi dihasilkan.


Pengerusi Wadira, Nafisah Abdul Kadir,48, berkata, seramai 20 ahli kumpulannya mengumpul sendiri modal, bahan dan melaksanakan sendiri kesemua proses pengeluaran kopi.


"Kami mengumpul sendiri modal dan bahan termasuk buah kopi mentah dengan melaksanakan sendiri sehinggalah kepada proses pengeluaran kopi,'' katanya.


Menurutnya, perusahaan membuat kopi tumbuk ini diusahakan sejak tiga tahun lalu. Asalnya di sebuah rumah ahli dan akhirnya kini mempunyai bengkel sendiri.


Nafisah berkata, buat masa ini pihaknya mendapatkan buah kopi mentah daripada ahli dan penduduk kampung sekitar.


Katanya, buah kopi mentah dibeli daripada penduduk dengan harga RM2.50 sekilogram manakala kopi yang siap dicambah (buang kulit) dengan harga RM8 sekilogram.


"Alhamdulillah setakat ini bekalan kopi mentah masih mencukupi untuk memenuhi permintaan kopi tumbuk," ujarnya tersenyum.


Mengenai proses membuat kopi tumbuk Nafisah berkata, mereka akan menjalankan kerja-kerja memproses bahan setiap hari melalui kerjasama semua ahlinya.


Menariknya, pembuatan kopi tumbuk keluaran kumpulan wanita ini tidak menggunakan bahan awet sekali gus hasil kopinya memenuhi cita rasa penggemar kopi sebenar.


"Buat permulaan kami mahu penggemar kopi merasai kopi tumbuk sebenar," katanya yang yakin pasaran kopi tumbuk akan berkembang.


Prosesnya bermula dari membeli buah kopi, mencambah, menggoreng sehinggalah ke menumbuk kopi dilakukan secara manual.


Tambahnya, proses menumbuk kopi kami lakukan sendiri tanpa sedikit pun menggunakan mesin pengisar.

Katanya, kerjasama erat antara ahli membolehkan proses pengeluaran kopi tumbuk berjalan lancar dan mengikut jadual bagi memenuhi permintaan bekalan.


Kopi tumbuk asli berjenama Wadira ini biarpun masih baru di pasaran namun permintaannya bukan sahaja untuk pasaran sekitar daerah malah telah menjangkau sehingga ke Kuala Lumpur.


Jelas Nafisah, pihaknya mempunyai rangkaian pemasaran sendiri biarpun perusahaan membuat kopi tumbuk ini tidak berskala besar.


Bagi Nafisah mutu kopi tumbuk boleh dilihat melalui penghasilan serbuknya yang lebih halus manakala aromanya tetap tidak berubah, sekali gus memukau selera penggemar si hitam manis ini.


Sementara itu, Pegawai Pemasaran produk Wadira, Saarah Harun menjelaskan, selain pasaran tempatan termasuk kedai runcit dan restoran pihaknya telah mengambil langkah memperluaskan lagi pemasaran kopi tumbuk ke seluruh negara


Menurut Saarah, sehingga kini kopi tumbuk Wadira telah dijual sehingga ke Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor selain di kawasan utara.


"Buat masa ini antara 50 hingga 100 kilogram kopi tumbuk mampu dikeluarkan untuk memenuhi bekalan permintaan," jelasnya.


Katanya, kopi tumbuk keluaran Wadira masih lagi bertatih dengan cara pembungkusan dan pelabelan. Pihaknya masih berada pada tahap promosi bagi meyakinkan pelanggan dan peminat kopi tumbuk.


Jelasnya, pihaknya turut mengambil kesempatan menyertai ekspo dan pameran dalam mempergiatkan lagi kempen meminum kopi tumbuk.


Sehubungan itu jelas Saarah, pihaknya yakin produk Wadira ini bakal mencetuskan satu era baru kepada golongan muda meminati kopi.

Penyelidikan hasilkan kopi klon


kETUA Pengarah MARDI, Datuk Dr. Abdul Shukor Abd. Rahman tertarik dengan kopi klon baru di Kluang Johor.

Bagi sebilangan kita, tentu tidak sempurna sarapan pagi tanpa meneguk secawan kopi bagi menceriakan permulaan hari.

Terdapat pelbagai jenis kopi yang boleh dipilih, daripada kopi hitam, kopi segera dan sebagainya.


Sebenarnya terdapat tiga jenis kopi yang ditanam di seluruh dunia iaitu Arabica, Liberica dan Robusta.


Kopi Arabica yang biasa ditanam di kawasan pergunungan bermutu tinggi dan mendapat pasaran yang meluas di serata dunia.


Manakala Robusta dan Liberica pula biasanya ditanam di kawasan tanah rendah.


Bagaimanapun, kopi paling mahal di dunia adalah kopi luwak atau kopi musang yang didapati di Indonesia.


Di negara ini, penyelidikan mengenai klon kopi telah mula dijalankan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sejak 1981 dan mula mengeluarkan klon kopi pertama pada 1992.


Dalam tempoh berkenaan sehingga 2008, MARDI telah berjaya mengeluarkan 12 klon kopi Robusta dan Liberica.


Pegawai Penyelidik, Pusat Padi dan Tanaman Industri MARDI, Mohd. Anuar Abbas berkata, prestasi kopi klon biasanya lebih baik berbanding dengan kopi biasa.


“Kopi klon akan mengeluarkan hasil yang lebih tinggi berbanding dengan kopi biasa.


“Bagi kopi Liberica misalnya, purata hasil kopi biasa adalah 11 -19 tan sehektar berbanding 20 hingga 28 tan sehektar bagi kopi klon,” katanya semasa di temui di pejabatnya baru-baru ini.


Malah, buah kopi klon adalah lebih besar dan mudah dipetik berbanding buah kopi biasa.


Manakala pertukaran daripada jenis kopi jambu ke kopi beras biasanya hanya sekitar lapan peratus tetapi dengan kopi klon peratusan dapat ditingkatkan sehingga 10.5 peratus.


Kopi klon biasanya lebih cepat mengeluarkan hasil dan mengambil masa 19 bulan berbanding 30 bulan.


Bercerita lebih lanjut mengenai pemilihan klon kopi, Mohd. Anuar berkata, penyelidikan kopi yang bermula pada 1981 menjurus kepada tiga program pemilihan iaitu jangka pendek, jangka sederhana dan program pemilihan baka klon.


Program jangka pendek bagi menghasilkan baka dengan segera memakan masa 10 tahun.

Dalam tempoh berkenaan, dua klon baka polihibrid iaitu Robusta MKR1 dan Liberica MKL1 telah diisytiharkan pada 1992.


Bagi program jangka sederhana, 10 pokok terbaik dari kebun janaplasma kopi MARDI dinilai lanjut daripada segi prestasinya di ladang stesen-stesen penyelidikan MARDI di Gajah Mati, Kedah dan di Kluang, Johor.


“Selepas sembilan tahun program ini telah menghasilkan tiga klon Liberica MKL2, MKL3, MKL4 dan empat klon Robusta MKR2, MKR3, MKR4 dan MKR5.


“Tujuh klon berkenaan diisytiharkan pada 1995,” katanya.


Program pemilihan baka klon pula bermula dengan membuat pilihan pokok kopi seluruh negara dengan maklumat daripada petani dan pemantauan selama dua tahun di tempat asal dan plot uji kaji.


Bagi Liberica, kata Anuar sebanyak 44 pokok telah dikenal pasti pada tahun 1991 sebagai klon kopi MARDI dan daripada sana tiga pokok dipilih sebagai klon terbaik, iaitu MKL5, MKL6 dan MKL7 selepas 16 tahun dinilai.


Ciri morfologi bagi buah, daun serta pokok matang bagi tiga klon baru ini dapat dilihat dengan sifat ketara seperti bentuk dan warna buah masak, bentuk daun dan struktur pertumbuhan seperti jarak ruas dahan sekunder pada dahan utama.


Potensi hasil baka tiga klon baru ini lebih tinggi berbanding dengan klon Liberica sedia ada.


Hasil kopi jambu bagi MKL5, MKL6 dan MKL7 masing-masing 24.3, 25.1 dan 26.2 tan sehektar.


“Purata hasil kopi jambu pula sebanyak 25.2 tan sehektar atau 19.4 peratus lebih daripada baka bandingan MKL3 yang digunakan dalam penilaian baka klon kopi Liberica.


“Biasanya pekebun kecil akan menjual kopi dalam bentuk kopi jambu dan pengilang akan memproses ke bentuk kopi beras,” katanya.


Kemudian kopi beras akan diproses bagi mendapatkan serbuk kopi seperti yang digunakan di rumah.


Secara keseluruhan klon kopi baru MKL5, MKL6 dan MKL 7 berupaya mengeluarkan hasil yang lebih baik berbanding klon kopi yang disyorkan sebelum ini.


Pengeluaran hasil yang lebih tinggi dapat meningkatkan pendapatan dan produktiviti pengusaha atau pekebun kecil.


Selain itu, saiz buah yang lebih besar juga dijangka dapat memudahkan kerja memetik hasil.


Petani dan pekebun kecil yang menanam klon ini dijangka dapat meningkatkan hasil tanaman lantas menampung keperluan biji kopi negara terutama industri kopi yang menggunakan kopi Liberica untuk diproses menjadi serbuk kopi dan produk lain.


Bagaimanapun, kata Anuar, keluasan tanaman kopi semakin berkurang setiap tahun akibat persaingan penggunaan tanah dengan tanaman lain dan penempatan manusia.


“Selain itu harga pasaran kopi dunia yang tidak menarik terutama Robusta dan Liberica mengurangkan minat petani dan pekebun kecil.


“Usia petani dan pekebun kecil yang semakin meningkat juga memainkan peranan dalam penanaman kopi,” katanya.


Buat masa ini, Jabatan Pertanian membantu membekalkan 75,000 anak benih kopi dan 19,000 klon kopi kepada petani dan pekebun kecil di seluruh negara terutama di Johor dan Selangor dan biji benih kopi polihibrid di Sabah.