Tuesday, January 20, 2009

Ternak ikan pendapatan sampingan


Saad Abdullah mempunyai banyak kolam ikan di Felda Perasu, Gua Musang, Kelantan.

PenghijrahannyA ke Felda Perasu, Gua Musang, Kelantan lebih suku abad yang lalu bertujuan menyertai 244 peneroka lain bagi menjayakan tanah rancangan Felda yang baru dibangunkan di jajahan tersebut.

Ketika itu, apa yang terlintas di fikiran Saad Abdullah, 56, menggunakan kudrat empat kerat untuk mengerjakan tanaman sawit yang masih kecil walaupun terpaksa mengharung selut dan becak hingga ke lutut.


Walaupun tanpa kemudahan asas termasuk elektrik dan bekalan air bersih, Saad yang berasal dari Kampung Kubang Telaga, Gunong, Bachok tidak berasa janggal kerana keadaan hidup di kampung juga serba kekurangan ketika itu.


"Pada tahun 1981 apabila membuat keputusan berhijrah ke Felda, saya tidak menoleh ke belakang lagi walaupun kawasannya jauh terperosok ke pedalaman dan berlatar belakang hutan tebal dengan banyak binatang buas di dalamnya.


"Ditemani adik saya Daud Abdullah, 50, yang turut menjadi peneroka, kami membanting tulang untuk mengusaha kan kebun sawit dan getah seluas 10 ekar seorang," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.


Selepas 28 tahun berbudi dengan tanah, Saad kini memperoleh pendapatan yang baik untuk menampung kehidupan bersama isteri dan sembilan anak namun dia tidak hanya berhenti sebagai peneroka sahaja.


Lebih 10 tahun lalu, seramai 36 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) telah dilahirkan dari Felda tersebut yang menerokai bidang kemahiran jahitan, bengkel kereta, masakan, membuat pelbagai jenis makanan ringan seperti rempeyek, tanaman limau madu, membuat sarung dan ukiran golok dan keris.


Berbeza dengan rakan-rakan lain, sejak 12 tahun lepas, Saad mengembangkan minatnya sebagai pengusaha kolam ikan selepas melihat kejayaan mereka mempelbagaikan sumber pendapatan masing-masing.


Mengambil alih kolam daripada pengusaha terdahulu sejak 12 tahun lepas, daripada lapan kolam kini Saad menambahnya kepada sembilan buah bagi tujuan menternak dan menjual tilapia hitam dan merah, patin, baung, keli, siakap, lee koh dan jelawat.


Kelebihan kolam ikan yang terletak bersebelahan kaki gunung Rabong ini ialah air kolamnya yang bersih dan jernih sehingga dapat melihat ikan-ikan berenang-renang di dalamnya.


Saad membuat sendiri saluran paip besi untuk sistem pengaliran air yang bersambung dari satu kolam ke kolam yang lain.


"Air dari gunung yang mengalir ke bahagian kolam-kolam yang dibina memudahkan proses penukaran air untuk mengelaknya keruh kerana ia turut mempengaruhi rasa ikan," katanya.

Ekoran hanya air bersih yang mengisi petak-petak kolamnya, ikan dari kolam Saad digemari pelanggan terutama di kalangan mereka yang kurang menggemari bau ikan sungai atau sesetengah orang menggelarnya 'ikan darat.'


Dakwa penduduk yang pernah merasa ikan dari kolamnya, isi ikan tilapianya lebih manis, tidak berbau tanah atau hanyir.


Selain menjaga sistem pengairan, Saad hanya memberi makan pelet kepada ikan-ikannya sebanyak 80 kilogram sehari, dengan harga RM44 sekampit atau 20 kilogram.


Dia bercadang memproses makanan ikan sendiri iaitu hasil campuran dedak dan kacang soya pada masa hadapan menggunakan mesin yang berharga RM15,000.


Tumpuannya kini lebih kepada kolam ikan bersama dua anak-anaknya kerana sawit dan getah di Felda tersebut sedang mengalami proses tanam semula bermula dua bulan yang lalu.


Sawit yang telah berusia lebih 25 tahun katanya semakin kurang mengeluarkan hasil malah pokok-pokoknya yang tinggi sehingga 60 kaki menyukarkan kerja-kerja menjolok buah dilakukan.


Dalam tempoh rehat yang panjang sebelum sawit boleh mengeluarkan hasil tiga tahun lagi, saya berhasrat menambah lima kolam lagi pada waktu yang terdekat ini.


"Selain mencari sumber pendapatan lain yang sentiasa terbuka luas di Felda ini, saya sendiri gemar makan ikan sungai yang enak dan menyelerakan.


"Bertambah seronok apabila ikan-ikan yang pada awalnya kecil sebesar jari kelengkeng akhirnya membesar dan menjadi rebutan pelanggan," katanya.


Saad yang pernah memperoleh hasil jualan ikan sehingga RM300 sehari menambah, ikan yang diternak memerlukan tempoh masa berbeza sebelum sesuai dipasarkan.


Misalnya keli membesar sekitar empat bulan, manakala tilapia pula memakan masa enam bulan.


Saad turut menternak kira-kira 200 kelah walaupun memakan masa setahun sebelum dapat dipasarkan namun harganya mencecah RM150 sekilogram.


Katanya, permintaan ikan sentiasa tinggi dan dia menjualnya secara borong kepada pelanggan tetap atau sesiapa sahaja yang berkunjung.


Kegigihan Saad mengusahakan kolam ikan walaupun secara sampingan di felda tersebut pernah melayakkan dia menerima anugerah Usahawan Jaya Terbaik Felda Kebangsaan 2004 dan Usahawan Jaya Terbaik Felda peringkat Negeri tahun yang sama.

Ternak tongsan dalam lombong


Che Mohd. Azril Che Azmi (kiri) bersama dua orang pekerjanya memegang tongsan yang dipelihara di kawasan lombong di Kampong Sungai Galah, Tanjong Tualang Perak.

APABILA disebut sahaja Lembah Kinta di Perak, perkara pertama terlintas di kepala ialah aktiviti perlombongan bijih timah yang pernah menjadi sumber ekonomi utama di negeri itu suatu ketika dahulu.

Meskipun era kegemilangan industri bijih timah sudah berakhir di Lembah Kinta pada tahun 1980-an tetapi kesannya boleh dilihat sampai ke hari ini seperti peninggalan kapal korek dan beratus-ratus bekas lombong.


Selain dimajukan sebagai pusat rekreasi dan ditebus guna untuk projek pembangunan, bekas lombong juga sesuai digunakan untuk menternak ikan air tawar.


Industri penternakan ikan air tawar didapati amat menguntungkan kerana ia tidak memerlukan modal dan perbelanjaan tinggi untuk mengusahakannya berbanding ternakan ikan dalam sangkar atau kolam.


Kelebihan ini diakui oleh Pengarah Kemahang Progresif Sdn. Bhd. (Kemahang Progresif), Che Mohd. Azril Che Azmi, 26, yang memiliki syarikat mengusahakan ternakan ikan air tawar dalam lombong di Kampung Timah dan Kampung Sungai Galah di Tanjung Tualang, Perak.


Menurut Che Mohd. Azril, menternak ikan dalam lombong lebih menjimatkan kerana tidak perlu mengeluarkan wang untuk menyediakan sangkar, membeli makanan dan mengawal rapi ternakan.


''Kita hanya mengeluarkan modal membeli benih ikan dan mengupah pekerja menangkap ikan-ikan yang cukup matang untuk dijual.


''Ikan-ikan lombong tidak perlu diberi makan kerana ia mendapat bekalan makanan daripada 'plankton' yang hidup subur dalam air.


''Ia juga juga tidak perlu penjagaan rapi kerana habitatnya sesuai dengan air lombong dan tidak mudah dijangkiti penyakit," katanya ketika ditemui di Tanjung Tualang, baru-baru ini.


Bagi menggalakkan pertumbuhan 'plankton', pengusaha ikan lombong digalakkan menternak itik dalam kawasan yang sama kerana tahi itik berperanan sebagai baja menyuburkan tumbuhan tersebut.


Che Mohd. Azril memberitahu, itik yang diternak juga menyumbang kepada sumber pendapatan kerana daging haiwan ini turut dieksport ke Singapura.

Bercerita lanjut tentang ikan lombong, Che Mohd. Azril memberitahu, bidang ternakan ikan air tawar menggunakan teknik tersebut telah diceburi oleh bapanya, Che Azmi Che Mahmood pada tahun 2005.


Sebelum menceburkan diri dalam dunia pertanian dan penternakan, Che Azmi bekerja sebagai pegawai polis tetapi nekad mengambil keputusan berhenti kerja kerana ingin melibatkan diri sepenuh masa dalam bidang tersebut.


Pada peringkat awal, Che Azmi hanya menumpukan perhatian dalam bidang tanaman mangga kerana buah-buahan itu mendapat permintaan baik di pasaran.


''Selepas lima tahun mengusahakan tanaman mangga, ayah terfikir mahu menternak ikan air tawar kerana sayang melihat bekas lombong yang ada dalam kawasan ladang terbiar begitu sahaja.


''Ayah kemudian mengambil kursus ternakan ikan air tawar dengan Jabatan Pertanian dan memberanikan diri menternak ikan di lapan buah lombong di Kampung Timah dan Kampung Sungai Galah membabitkan keluasan 92 hektar," katanya.


Apabila ladang mangga dan perusahaan menternak ikan semakin maju, Che Azmi bertambah sibuk menguruskan perniagaan lalu mengajak Che Mohd. Azril membantunya.


Menurut Che Mohd. Azril, beliau baru tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila diminta oleh bapanya untuk membantu menguruskan ladang mangga dan ternakan ikan mereka.


''Mulanya saya tidak minat tetapi ayah tetap memaksa dengan menghantar saya mengikuti beberapa kursus anjuran Jabatan Perikanan dan Jabatan Pertanian, malah saya juga dihantar ke Indonesia dan Thailand untuk menimba ilmu dalam bidang ternakan ikan serta udang.


''Hasil pendedahan melalui kursus tersebut, saya akhirnya 'jatuh cinta' dengan bidang pertanian dan ternakan sehinggalah ke hari ini, malah tidak pernah menyesal mengorbankan usia remaja dengan bekerja dalam bidang tersebut," kata anak sulung daripada tiga beradik ini.


Selain mengusahakan ladang mangga dan ternakan ikan lombong di Tanjung Tualang, Kemahang Progresif juga dalam perancangan membuka kolam ternakan ikan kelisa emas dan ikan kelah di Gua Musang, Kelantan dalam tempoh terdekat ini.


Mengenai lombong ternakan ikan di Kampung Timah dan Kampung Sungai Galah, Che Mohd. Azril berkata, terdapat enam spesies ikan diternak di situ tetapi tumpuan diberikan kepada ikan tongsan dan tilapia hitam.


''Ikan paling banyak diternak ialah ikan tongsan dan ikan tilapia hitam sebab ikan ini mendapat permintaan tinggi di pasaran terutama Singapura dan Indonesia.


''Selain itu, kami juga menternak ikan-ikan lain seperti belida, lampam, kap rumput dan kaloi," katanya. Che Mohd. Azril memberitahu, ikan tongsan yang paling digemari oleh masyarakat Cina dijual pada harga RM2.10 sekilogram manakala ikan tilapia hitam berharga RM1.50 sekilogram.


Ikan tongsan boleh dijual apabila mencapai berat tiga kilogram (kg) dan ia boleh mencecah berat antara 15 hingga 20 kg selepas 12 bulan diternak menyebabkan proses pemasarannya hanya boleh dilakukan sekali setahun.


Dalam setahun, Kemahang Progresif mampu mengeluarkan 300,000 tan metrik ikan tongsan dan 180 tan metrik ikan tilapia.


Ikan tongsan keluaran syarikat itu dikhususkan untuk pasaran tempatan dan Singapura manakala ikan tilapia dieksport ke Indonesia.

Friday, January 2, 2009

Pelan Tindakan Bantu Usahawan Bumiputera Hadapi Kemungkinan Kegawatan Ekonomi


SEREMBAN, 23 Dis (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan mengemukakan kertas cadangan pelan tindakan membantu usahawan bumiputera menghadapi kemungkinan masalah kegawatan ekonomi kepada Jemaah Menteri tahun depan.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Saifuddin Abdullah berkata tiga perkara utama yang ditekankan dalam kertas cadangan itu ialah sistem penyampaian, memberikan pengecualian kepada syarat-syarat biasa pinjaman dan latihan. "Dari segi sistem penyampaian, kita mahu pastikan ia mengikut piagam cepat, manakala memberikan pengecualian kepada syarat-syarat biasa pinjaman bermaksud mempermudah penjadualan semula bayaran balik selain memberi peluang kedua membuat pinjaman, " katanya.

Sekiranya kegawatan ekonomi terjadi, mungkin pekerja diberhentikan kerja dan graduan mengganggur bertambah, maka latihan semula amat diperlukan untuk kumpulan sasar ini, katanya kepada pemberita selepas menutup seminar pembiayaan perniagaan 2008 anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Sembilan di sini, Selasa.

Sehubungan itu, katanya, pada tahun depan kementerian itu akan memulakan program penempatan keusahawanan selama setahun yang menekankan kepada enam bulan teori dan enam bulan latihan praktikal.

Saifuddin berkata dana latihan perunding produk halal akan dipohon daripada Kementerian Kewangan bagi mulakan program tersebut untuk 100 orang yang tersenarai dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Produk Halal.

"Kita sedang melihat kemungkinan selepas tempoh setahun itu, sama ada mereka boleh membuat pinjaman cara yang dipermudahkan," katanya.

Selain itu, katanya pada tahun depan kementeriannya akan menjalankan penyelidikan khusus untuk menilai keberkesanan dana melahirkan usahawan Bumiputera.

"Penyelidikan kita akan menumpukan kepada tiga perkara, iaitu pemetaan (kedudukan usahawan Bumiputera dalam bidang strategik), indek usahawan Bumiputera dan penanda aras antara usahawan Bumiputera dengan usahawan bukan Bumiputera di dalam negara dan di peringkat antarabangsa, " katanya.

-- BERNAMA

Risda Sasar 10,000 Usahawan Pekebun Kecil

MELAKA, 26 Dis (Bernama) -- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) berhasrat melahirkan sebanyak 10,000 usahawan pekebun kecil berdaya maju menjelang tahun 2010, di bawah Pelan Pembangunan Usahawan Pekebun Kecil.


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata sejak pelan itu diperkenalkan pada 2005 sehingga sekarang, Risda telah melahirkan lebih 3,000 usahawan di kalangan pekebun kecil.


"Bidang keusahawanan meliputi pembangunan dan pengurusan ladang, pembekalan input pertanian, pemasaran, tapak semaian, ternakan, tanaman dan industri desa," katanya dalam teks ucapannya yang dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar dan Wilayah Datuk Abd Jabar Che Nai, ketika merasmikan Karnival Desaria Risda 2008 di Melaka Mall.


Muhammad berkata program keusahawanan yang diperkenalkan Risda itu adalah untuk meningkatkan pendapatan keluarga pekebun kecil.


Beliau berkata mekanisme bagi merangka pelan berkenaan adalah melalui empat program iaitu pembudayaan keusahawanan, tambah nilai produk, pemasaran dan promosi, dan integrasi keusahawanan.


Katanya Karnival Desaria Risda merupakan antara platform bagi memperluas jaringan perniagaan yang telah bertapak atau bagi usahawan yang baru melangkah ke alam perniagaan.

-- BERNAMA

Peneroka Getah Berwawasan Kini Raih Hasil Tembikai

PADANG BESAR, 30 Dis (Bernama) -- Harga getah yang melambung tinggi kira-kira dua tahun lepas tidak mealpakan tiga peneroka Felda Rimba Mas di sini yang sedar harga komoditi itu mungkin akan menjunam semula.



Walaupun hasil getah ketika itu menjadikan mereka "orang kaya baru" tetapi mereka tidak mudah lupa diri dan membuat persediaan dengan mengusahakan ladang seluas 100 hektar dengan tanaman tembikai, labu dan cili.



Md Fadzil Choh, 53, Ariffin Hamid, 50, dan Mat Rawi Shaari, 50, kini boleh berbangga dengan hasil lumayan yang diraih daripada tanaman berkenaan.



Md Fadzil yang juga pengurus projek itu berkata, setahun lalu mereka mengenal pasti tanah yang baru ditanam semula dengan getah di pinggir Bukit Chabang untuk melaksanakan projek itu dan mengusahakannya selepas mendapat kebenaran pengurusan Felda Rimba Mas.



Katanya hasil tembikai yang dituai pada 9 Dis lalu adalah sebanyak 1,200 tan metrik dan hasilnya pada musim akan datang dijangka melebihi 1,500 tan metrik.



"Kami langsung tidak hadapi masalah pemasaran kerana kami telah menandatangani kontrak pemasaran dengan syarikat Chong Leam & Co yang berpejabat di Ipoh, Perak," kata Md Fadzil ketika ditemui di ladang itu hari ini.



Katanya mereka hanya menyelia 80 pekerja bagi memastikan sistem pengairan dan sistem pembajaan berjalan sempurna manakala urusan pemasaran dan keperluan ladang seperti baja dan bakul plastik disediakan oleh syarikat berkenaan.



Beliau berkata, tembikai keluaran ladang itu dipasarkan di Johor dan Singapura dengan harga tembikai gred A di ladang ialah 85 sen sekilogram manakala gred B 45 sen sekilogram dan gred C 20 sen sekilogram.


Kebanyakan tembikai di ladang itu ialah gred A dengan purata berat setiap biji ialah lapan kilogram, katanya.



Md Fadzil berkata mereka berharap dapat mengusahakan tanaman itu di kawasan lain kerana ladang sedia ada hanya boleh diusahakan sehingga 2010 kerana pokok getah kian membesar.



Bagi labu, katanya tuaian pertama dijangka awal tahun depan dengan anggaran 200 tan metrik dan setiap kilogram labu berharga 45 sen dan dipasarkan oleh syarikat yang sama.



Bagaimanapun, bagi cili, ia akan dipasarkan sendiri oleh mereka kerana tidak tersenarai dalam kontrak pemasaran, katanya.



"Kami akan sentiasa memperolehi hasil kerana selepas musim tuaian tembikai berakhir, kami akan memperolehi pendapatan hasil jualan cili," katanya.



Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Sabry Ahmad berkata kerajaan negeri bersedia menimbang cadangan para peneroka itu untuk meneroka kawasan baru yang berhampiran.



"Mereka usahakan secara komersil dan kerajaan bangga dengan mereka.



Kita akan bincang untuk membenarkan mereka mengusahakan kawasan baru," katanya ketika ditemui hari ini.



Sabry berkata, projek itu bukan sekadar memberi keuntungan kepada pengusahanya malah memberi peluang pekerjaan kepada anggota keluarga peneroka dan para penduduk sekitar.



Beliau berharap lebih banyak penduduk Perlis mengusahakan tanaman kontan seperti itu secara komersil kerana ia mendatangkan keuntungan lumayan.



Sabry memuji langkah bijak para peneroka itu yang tidak hanya mengharapkan kepada pengeluaran getah yang harganya tidak menentu sebaliknya meneroka bidang pertanian yang lain bagi menambah pendapatan.



Sesuai dengan nama Rimba Mas, para peneroka felda itu telah menemui "emas" di kawasan yang suatu ketika dahulu penuh dengan rimba belantara di pinggir Bukit Chabang melalui projek ladang tembikai, labu dan cili itu.

-- BERNAMA

Wawasan FAMA Dalam Melahirkan Usahawan Pertanian

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengenalpasti tujuh aktiviti niaga tani yang diharap dapat melatih siswazah menganggur menjadi usahawan industri pertanian yang berjaya.

Aktiviti berkenaan yang diletakkan di bawah Program Pembangunan Usahawan Siswazah (PPUS) dilancarkan oleh Pengerusi FAMA, Datuk Badaruddin Amiruldin baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pengarah FAMA, Sahbani Saimin berkata, bagi pembangunan, aktiviti ini melibatkan peserta pasar tani, vendor buah-buahan segar, pembekal hasil ladang segar, pengedar barangan makanan yang telah diproses, pembekal hasil ternakan, penyedia khidmat menulis laporan, menterjemah dan menyunting dan sebagai promoter jualan bagi produk yang berasaskan kepada pertanian.

"PPUS, yang terbuka kepada semua warga Malaysia dari institusi pengajian tempatan dan asing, disedia untuk menawarkan kepada siswazah menganggur peluang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti niaga tani terpilih dalam usaha mengurangkan pengangguran dan membangunkan kemahiran keusahawanan", kata Sahbani dalam satu temubual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.

"Menawarkan peluang kepada usahawan pertanian untuk memasar dan mempromosi produk mereka secara langsung kepada pengguna sentiasa merupakan keutamaan FAMA", jelas Sahbani.

"Kami menjalankan kursus serta program untuk sesiapa sahaja yang mahu menceburi niaga tani. Lagipun, kini terdapat 1,270 peniaga tani siswazah yang berniaga di pasar-pasar tani seluruh negara. Tetapi kali ini, FAMA mengambil usaha komprehensif yang disasarkan khusus kepada siswazah menganggur", tambah Sahbani.

PENDAPATAN LUMAYAN

Pasar-pasar tani menawarkan persekitaran niaga yang unik serta menarik.

Dikendalikan di kawasan terbuka, ia menawarkan wadah yang mudah bagi pengeluar dan pengguna dan popular di kawasan bandar di mana kuasa membeli lazimnya lebih tinggi.

Terdapat 298 tapak mingguan bagi pasar tani di seluruh negara, dengan 80 lagi pasar tani baru dijangka dibuka pada 2009.

Perniagaan pasar tani mencatatkan pulangan berjumlah RM285.75 juta bagi 12,637 peserta dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Mengenai perolehan bulanan setiap usahawan itu, 3,791 mencatatkan pendapatan bulanan antara RM1,500 dan RM3,000 sementara 7,582 lagi termasuk usahawan siswazah berpendapatan antara RM3,000 dan RM5,000 sebulan.

Bagi mereka yang lebih inovatif, menjalankan perniagaan di pasar tani boleh membawa pulangan lumayan seperti yang dibuktikan oleh 1,264 peserta yang berpendapatan lebih daripada RM5,000 sebulan.

"Pertanian merupakan perniagaan, jadi tiada had sejauh mana seseorang itu boleh maju. Kami berharap dengan sikap yang membina serta komitmen baik selain bantuan dan pendedahan kepada pasaran, sebahagian daripada usahawan tani siswazah ini akan menempuh kejayaan dan akhirnya muncul sebagai pengeksport produk berasaskan pertanian", kata Shahbani.

PRODUK, KHIDMAT DAN LOKASI

Di bawah PPUS, FAMA yang menentukan apa, dalam bentuk apa dan di mana produk boleh dijual.

Para peserta pasar tani mempunyai pilihan 21 produk untuk dijual di 55 lokasi terpilih di seluruh negara, sementara vendor buah-buahan segar mempunyai 15 jenis buah-buahan tempatan untuk dipilih dan dijual di 11 lokasi pasaran di Semenanjung.

Mereka yang berminat membekalkan hasil ladang yang segar, pusat-pusat perolehan FAMA di 10 lokasi di beberapa negeri di Semenanjung akan menerima 14 jenis sayur-sayuran segar serta komoditi ladang yang lain, yang telah ditimbang, digred dan dibungkus mengikut spesifikasi.

Para pengedar produk makanan yang telah diproses boleh mengedarkan produk berasaskan pertanian di bawah jenama FAMA - Agromas dan Olemas - di Kshops, Agrobazaars, pasar tani, pasar malam dan pasar harian.

Pusat-pusat perolehan FAMA itu juga akan menerima daging yang telah digred seperti daging ayam, lembu dan puyuh selain telur dan hasil akuakultur seperti ikan keli, tilapia dan patin dalam kuantiti tertentu setiap bulan.

Siswazah yang tidak berminat untuk berniaga masih berpeluang menyertai PPUS dengan menawarkan diri bagi kerja menulis dan menterjemah pelbagai laporan mengenai pengeluaran dan penggunaan, prestasi pasaran dan indeks harga, termasuk menulis rencana ad-hoc yang disumber luar oleh FAMA.

Selain itu, mereka boleh bertindak sebagai promoter jualan bagi produk asas tani pada pameran perdagangan dan konvensyen yang berlangsung hingga dua minggu dan boleh menerima bayaran RM50 sehari.

LATIHAN

Latihan merupakan elemen penting dalam pembangunan keusahawanan. Ke arah ini, FAMA akan menjalankan pelbagai kursus induksi pada Disember ini untuk memberi taklimat kepada pemohon mengenai garis panduan dan prosedur program ini.

Ini akan disusuli oleh program latihan yang komprehensif dalam bidang niaga tani yang menjadi piihan mereka.

"Kami akan menampilkan usahawan tani yang berjaya untuk menceritakan pengalaman mereka dan membawa pelatih melawat perusahaan niaga tani yang telah berjaya", jelas Shahbani.

"Kemudian, bagi satu bayaran nominal, FAMA akan membantu mereka mendapatkan segala yang diperlukan, daripada khidmat nasihat percuma hinggalah untuk memulakan perniagaan", kata Shahbani.

"Apa yang kami minta ialah perhatian dan komitmen mereka yang tidak berbelah bahagi untuk menjayakan program itu", tambah Shahbani.

FAMA telah melakukan segala yang boleh bagi membantu siswazah yang menganggur dan selebihnya mereka perlu tampil dan merebut peluang ini.

Bagaimanapun, mereka nampaknya tidak begitu berminat. Sehingga hari ini, hanya 21 siswazah telah mengemukakan permohonan mereka untuk menyertai program ini.

"Mungkin kebanyakan daripada siswazah masih memilih pendapatan bulanan yang tetap dan kerja di pejabat", ulas Shahbani.

"Bagaimanapun, FAMA akan melatih mereka yang telah memohon supaya dapat membuka mata rakan-rakan mereka apabila perniagaan mereka berjaya", tambah Shahbani.

Nampaknya masih ramai siswazah masih mahu mengelakkan kerja-kerja yang mengotorkan tangan dengan ramai yang tidak mahu bekerja dalam bidang yang tidak disukai mereka.

Bagaimanapun, sekarang ini ijazah tidak lagi menjanjikan pekerjaan. Para siswazah perlu menerima realiti bahawa peluang pekerjaan bagi mereka tidak lagi terjamin selepas menamatkan penggajian.

Sekarang, mereka perlu keluar mewujudkan peluang pekerjaan mereka sendiri.

-- BERNAMA

Thursday, January 1, 2009

Teknologi majukan industri cendawan


PEMBANGUnan industri cendawan memerlukan sokongan pelbagai pihak untuk terus berkembang.


AKTIVITI penanaman cendawan kini semakin mendapat sambutan yang menggalakkan dari kalangan pengusaha bidang pertanian.


Namun, disebabkan industri tersebut masih baru di negara ini, ia memerlukan sokongan dan bantuan dari pelbagai pihak untuk memastikannya terus berkembang.


Sebenarnya, industri berkenaan mampu untuk berkembang disebabkan ia menerima permintaan yang sangat menggalakkan dari kalangan pengguna.


Ini kerana tumbuhan dari spesies kulat tersebut bukan sahaja boleh digunakan sebagai makanan, malah ia turut digunakan untuk menghasilkan makanan hiliran lain seperti jus, sambal cendawan dan juga serunding cendawan.


Bagi mencari platform bagaimana aktiviti penanaman cendawan dapat diperkembangkan melalui penggunaan teknologi dan inovasi terkini, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini telah menganjurkan Persidangan Dan Pameran Cendawan Malaysia 2008 (MMCF 2008)


Program yang dikelolakan oleh Pusat Penyelidikan Cendawan (MRC) UM itu telah mendapat kerjasama dari Persatuan Cendawan Malaysia (MAM) dan juga Jabatan Pertanian.


Selain jualan dan pameran cendawan, program tersebut juga telah menunjukkan demonstrasi memasak resipi cendawan, penjagaan kit cendawan segera dan teknik penanaman cendawan kepada para pengunjung.


Menurut Timbalan Dekan Penyelidikan Fakulti Sains UM, Prof. Dr. Rauzah Hashim, melalui persidangan seperti itu, golongan seperti pakar-pakar, penyelidik dan juga pengusaha dapat bertukar-tukar pendapat untuk memajukan sektor tersebut melalui sumber-sumber yang ada.


"Inisiatif seperti ini secara tidak langsung dapat mempromosikan penyelidikan dan pembangunan cendawan melalui aplikasi.


"Ia juga bakal memberi manfaat kepada ekonomi negara dan berpotensi untuk menyumbang kepada jaminan kualiti makanan serta kesihatan masyarakat," katanya selepas merasmikan program tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Untuk membangunkan industri berkenaan, ia bukan sahaja bergantung kepada teknik pelaksanaannya, malah perkongsian kerjasama dengan negara-negara lain juga penting agar ia dapat dilakukan dengan berjaya melalui pelaburan kos yang efektif.


Negara kita perlu mengambil pengalaman dari negara-negara pengeluar cendawan seperti Jepun, China, Amerika Syarikat dan juga New Zealand.


Antara jenis cendawan yang di tanam di Malaysia adalah dari spesies tiram kelabu, tiram putih, jeli hitam dan juga bunga kubis.


Setakat ini, MRC telah menghasilkan beberapa kepakaran sistematik melibatkan industri cendawan dari segi bioteknologi, biodiversiti, kesihatan, pertanian dan alam sekitar.


Sementara itu, Pengerusi jawatankuasa penganjur persidangan berkenaan, Prof. Dr. Vikineswary berkata, rakyat Malaysia perlu mengamalkan memakan cendawan kerana selain mempunyai khasiat yang tinggi, ia juga mempunyai kebaikan dari segi kesihatan.


"Makan cendawan secara segar adalah paling digalakkan bagi mendapatkan keseluruhan nutriennya,'' katanya.


Menurut beliau, bagi merangsang pertumbuhan industri berkenaan, kerjasama antara universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) juga penting bagi mewujudkan pelbagai aktiviti dalam kajian mengenai penanaman cendawan.


Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan adalah seperti seminar, bengkel, pesta dan juga perkhidmatan bantuan kepada pengusaha yang berminat.


Mengambil contoh UM, mereka ada menjalankan usaha sama dengan beberapa universiti dari luar negara seperti New Zealand dan San Francisco dalam bidang-bidang berkaitan.


Selain itu, universiti tersebut juga melatih lebih kurang 50 pelajar siswazah yang berminat untuk mendalami kajian cendawan dalam pelbagai aspek.


"Kajian-kajian yang dijalankan adalah seperti kandungan enzim di dalam cendawan, teknik penanaman selain mencari spesies-spesies baru di dalam hutan untuk penyelidikan yang lebih terperinci,'' jelasnya


Sebenarnya, tidak semua spesies cendawan boleh ditanam di Malaysia kerana proses pertumbuhan dan khasiat cendawan adalah bergantung kepada iklim sesebuah negara.


Justeru, untuk mencari kesesuaian berkenaan, peranan persatuan dan badan penyelidik adalah sangat penting bagi meningkatkan stimulasi pembiakan dan seterusnya mengekalkan khasiatnya.


Di samping itu, agensi-agensi seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian, persatuan-persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga harus memberi sokongan penuh terhadap usaha berkenaan.


Sehingga penghujung tahun lalu, sebanyak 334 ladang cendawan telah diusahakan di negara ini yang melibatkan tanaman secara komersial dan juga secara persendirian.


Daripada jumlah itu, terdapat enam syarikat yang melaksanakan projek berkenaan dalam skala yang besar iaitu melebihi 500 kilogram (kg) sehari manakala 57 syarikat melakukannya secara sederhana yang melibatkan hasil 50 hingga 500 kg sehari.


Sementara itu, sebanyak 260 pengusaha pula melaksanakannya secara kecil-kecilan dengan hasil yang dikeluarkan kurang daripada 50 kg sehari.


Johor merupakan negeri yang paling banyak mempunyai ladang penanaman cendawan dengan jumlah keseluruhan 67 ladang.


Secara keseluruhannya, negara kita menghasilkan sebanyak 24,000 kg cendawan sehari dan jumlah itu tidak mampu menampung permintaan yang tidak kurang dari 50,000 kg setiap sahari.