Tuesday, November 11, 2008
Penangan lintah Asmadi
Dalam usia semuda itu, anak kelahiran Manir, Terengganu ini yang kini berjawatan Pengarah Eksekutif Art Soulist Agrotech Sdn Bhd, memiliki 70 kakitangan untuk menguruskan syarikat miliknya.
Kejayaan yang boleh disifatkan berlaku sekelip mata itu semuanya hasil `penangan’ lintah, cacing dan belut. Daripada satu syarikat induk, Art Soulist Holdings Sdn Bhd yang ditubuhkan 1999, ia kini ‘beranak’ kepada lima anak syarikat.
Antaranya, Art Soulist Commercial Sdn Bhd; Art Soulist Marketing Sdn Bhd; Art Soulist Plantation Sdn Bhd dan Art Soulist Factory Sdn Bhd.
Melalui syarikat berkenaan, tiga haiwan itu bukan saja diternak, tetapi turut diproses sehingga menjadi bahan separuh siap dan siap, antaranya Minyak Lintah Tapa Plus, Absolut, DD Slim, Tapa Cafe, Tapa Pam Vacum dan Tapa Teruna Jus.
Produk dihasilkan itu merangkumi kesihatan lelaki, wanita, kosmetik, pertanian dan ekstrak. Pengedarannya tidak terhad di negara ini, malah sampai ke Dubai, Korea Selatan, China, Vietnam, Thailand, Singapura dan bakal ke Eropah.
Art Agrotech Sdn Bhd turut mempunyai ribuan vendor atau usahawan dengan bilangan menternak lintah seramai 1,000 vendor; cacing (500) dan belut (300) di seluruh negara.
“Saya terkejut dan tak percaya dengan apa yang diperoleh. Semua ini rezeki kurniaan Allah SWT. Begitupun, sebelum sampai ke tahap ini, pelbagai cabaran dan dugaan dilalui, malah ada yang kata saya gila buat kerja ini (ternak lintah),” katanya.
Usia muda terbukti bukan halangan untuk Asmadi berjaya kerana baginya jika ada kemahuan, di situ ada laluan untuk melakar kejayaan.
Sebenarnya, Asmadi tiada latar-belakang berniaga, jauh sekali dilahirkan dalam keluarga perniagaan, tetapi semuanya kerana minat, kesungguhan dan keyakinan.
“Ayah mahu saya jadi ustaz, sebab itu saya dimasukkan ke sekolah menengah agama, namun selepas saya diterima ke UPM dalam bidang perikanan, dia beri sokongan,” katanya.
Ketika kecil, anak keempat daripada sembilan beradik itu didedah kepada dunia perniagaan apabila menjual nasi lemak ibunya, Kelethum Abdul Rahman di sekolah.
“Adik-beradik saya ramai dan kami hidup susah sehingga pernah berkongsi makanan. Justeru, saya tak malu jual nasi lemak di sekolah bermula dari darjah tiga hingga enam kerana mahu bantu emak,” katanya.
Selepas berjaya menggenggam Diploma Perikanan daripada UPM, Asmadi mengikuti pengajian di Kustem (Kolej Universiti Sains Teknologi Malaysia) dalam bidang agro teknologi.
Ketika rakan lain sibuk mengulang kaji pelajaran, Asmadi sibuk menguruskan kolam ikan peliharaannya seluas 0.16 hektar di Padang Midin, Kuala Terengganu pada 2000.
“Kolam itu bisnes pertama saya dan ia wujud hasil cabaran pensyarah yang mahu saya praktikkan ilmu dipelajari. Sebelumnya, kolam itu diternak udang dan kami mengumpul modal hampir RM30,000 untuk mengambil alih dan mengusahakannya dengan ternakan ikan talapia, keli, baung dan patin.
“Pada masa itu keyakinan saya hanya 50 peratus kerana tidak pernah terbabit dalam apa-apa perniagaan dan hanya berdasarkan ilmu dipelajari,” katanya yang menubuhkan syarikat Nabil Aqua Gold ketika itu.
Begitupun, katanya, perniagaan itu hanya bertahan tiga tahun apabila satu pagi ketika dia bersemangat untuk mengutip hasil ternakan, semua ikan mati, dipercayai terkena racun.
Asmadi menanggung kerugian hampir setengah juta ringgit, termasuk menggaji tiga kakitangan selain menerima deposit daripada pemborong.
Selepas kejadian itu Asmadi ‘menyembunyikan’ diri akibat kekecewaan dengan bekerja kilang. Mungkin tertulis rezekinya pada lintah, pada 2005, dia bertemu rakan sekampung yang ketika itu mengusahakan produk lintah dengan jenama Minyak Lintah Tapa sejak 1990-an.
Hasil pertemuan itu, rakannya memerlukan lintah dalam kuantiti banyak dan mereka turut berbincang mempelbagaikan produk lintah. Yang menjadi masalah, kata Asmadi, lintah sukar dicari kerana tiada sesiapa mengusahakannya secara komersial.
Berikutan itu, dia menjelajah ke seluruh negara untuk mencari lintah, termasuk meminta bantuan daripada Orang Asli dengan bayaran RM30 sekilogram.
“Apabila masuk ke kampung dan memberitahu saya nak beli lintah, ada yang terkejut dan kata saya gila. Ada juga berkata kenapa cari lintah, sedangkan banyak benda lain boleh dibuat.
“Setiap hari saya cari di merata tempat dan dalam sebulan saya hanya dapat 100 kilogram. Disebabkan tiada orang ternak lintah, saya bersama rakan melakukannya dengan permulaan 10 kolam di Kuala Berang,” katanya.
Lebih mengharukan, kata Asmadi, pihak yang dulunya memperlekeh bidang berkenaan kini antara usahawan lintah berjaya.
Sejak menternak lintah, dia bersama dua sahabat yang juga rakan kongsi, iaitu Zamri Ibrahim (Pengarah Urusan Art Soulist) dan Syed Osman Ismail (Pengerusi Art Soulist) berusaha gigih mempelbagaikan produk dan kajian.
“Mereka berdua juga banyak membantu dan memberi tunjuk ajar kepada saya mengenai dunia perniagaan. Tanpa mereka, saya tidak akan ada di tahap ini,” katanya.
Asmadi yang ada ilmu agro teknologi mempraktikkannya melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D); mewujudkan teknologi sendiri dan menghasilkan produk hasil gabungan pengalaman dan idea bersama rakan kongsi.
Kini, dengan kilang sendiri di Ajil, Terengganu, mereka mengeluarkan 35 produk, selain mempunyai seorang wakil di setiap negeri yang mengumpul bahan dari seluruh negara.
Selepas lintah, belut dan cacing, Asmadi merancang menternak lipas yang diakui golongan berusia berkhasiat untuk rawatan resdung dan muka.
“Idea untuk menternak ini timbul secara tidak sengaja selain melihat keadaan sekeliling, misalnya, ketika melawat seorang rakan, ada seorang warga emas menggunakan lipas yang ditumbuk dan diletakkan di muka, dakwanya untuk rawat resdung,” katanya.
PROFIL
NAMA: Asmadi Awang
USIA: 28 tahun
LAHIR: 14 Mei 1980 di Kampung Tanjung Sabtu, Manir, Terengganu
JAWATAN: Pengarah Eksekutif Art Soulist Agrotech Sdn Bhd
ISTERI: Asmah Junoh
ANAK: Asnida Nabila (4)
PENDIDIKAN: Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Tengah, Terengganu; Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang, Terengganu; Diploma Perikanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Terengganu; Ijazah Sarjana Muda Agro Teknologi Kustem (Kolej Universiti Sains Teknologi Malaysia) kini UMT (Universiti Malaysia Terengganu)
Pasar tani kekal
Kemudahan lengkap buat peniaga, pengunjung selesa
PERUBAHAN demi perubahan dapat dilihat pada konsep pasar tani sejak ia mula beroperasi pada 31 Januari 1985 di Larkin, Johor Bahru dan ketika itu, ia berkonsepkan pertemuan ‘pengeluar-pengguna’, berteraskan kepada jualan hasil pertanian saja secara terus kepada pengguna.
Ketika itu, kita melihat peniaga duduk di bawah payung pelbagai warna memasarkan hasil pertanian di tepi jalan, tanah lapang, tempat letak kereta dan di tepi bangunan dalam suasana tidak teratur dan sering berpindah randah.
Bermula dengan hanya 12 pasar tani, kini jumlahnya berkembang kepada 227 di seluruh pekan dan bandar dan terus menjadi pemangkin kepada petani untuk memasarkan hasil usaha mereka.
Malah, kewujudan pasar tani memberi peluang kepada 12,850 petani membabitkan diri dalam perniagaan berasaskan pertanian dengan jualan sebanyak RM374 juta setahun di seluruh negara.
Bagi memastikan pasar tani terus mendapat sambutan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) terus mengorak langkah mengubah wajah pasar tani sedia ada daripada sistem payung kepada menggunakan kanopi termasuk mewujudkan 65 pasar tani mega, tiga pasar tani borong, tiga pasar tani kekal dan 16 pasar tani desaraya.
Pengerusi Fama, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin, berkata pasar tani muncul sebagai ruang pasaran alternatif kepada pengguna, tetapi disebabkan operasinya satu atau dua kali seminggu, ia tidak dapat memenuhi keperluan pemasar dan pengguna.
“Fama terus berusaha mewujudkan suasana dan dimensi baru terhadap pasar tani dengan mewujudkan pasar tani kekal terutama di bandar dan pekan besar yang mempunyai bilangan petani dan penduduk yang ramai.
“Petani akan duduk di bangunan kekal, ruang niaga lebih luas, selesa, kemas dan peragaan barangan lebih teratur di bawah satu bumbung,” katanya.
Perasmian pasar tani kekal pertama di Jerantut baru-baru ini membuktikan perubahan yang berlaku dan usaha Fama untuk meningkatkan taraf hidup petani, sekali gus mengurangkan masalah pemasaran hasil pertanian.
Pasar tani kekal Jerantut adalah yang pertama di negara ini berharga RM2.17 juta dan mula beroperasi September tahun lalu membabitkan 105 peserta.
Badruddin berkata, dua lagi pasar tani kekal sedang dibina di Bukit Gambir, Johor dan Guar Chempedak, Kedah.
Sementara itu, Menteri Pertanian, Industri dan Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed, berkata aktiviti pertanian tidak lagi boleh dilihat sebagai usaha sampingan.
Katanya, sistem pemasaran yang cekap, dinamik dan berkesan bukan saja dapat menyelesaikan sebahagian besar kemelut pengeluaran, malah dapat memberi satu motivasi kepada seluruh sektor pertanian.
“Infrastruktur pemasaran yang moden dan cekap dapat memastikan pengedaran bekalan dapat dilakukan dengan cepat, sekali gus menjamin petani mendapat pasaran hasil pertanian mereka.
“Membangunkan pasar tani sedia ada kepada pasar tani kekal melalui Fama boleh memberi faedah kepada industri pertanian dalam jangka panjang dan kementerian berhasrat mewujudkan lima lagi yang dijangka disiapkan sebelum berakhir Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
“Infrastruktur pemasaran dilengkapi sistem operasi bersesuaian dapat memastikan pengedaran bekalan makanan negara, dilakukan dengan cepat, adil dan telus bagi menjamin petani mendapat pasaran hasil pertanian mereka pada harga menguntungkan dan pengguna dijamin bahan makanan berterusan dengan mutu dan harga berpatutan,” katanya.
Beliau berkata, usaha Fama melalui pembangunan pasar tani kekal ini berupaya menyediakan ruang pemasaran yang memberi faedah kepada industri pertanian dalam jangka panjang.
“Saya percaya, projek ini akan berperanan sebagai ‘pusat sehenti’ bagi pelbagai produk di bawah satu bumbung.
“Selain itu, ia juga menyediakan kemudahan untuk aktiviti promosi yang berupaya menarik lebih ramai pengunjung termasuk pelancong yang melalui kawasan ini dalam perjalanan ke Taman Negara,” katanya.
Beliau juga meminta petani tidak lagi membungkus sayuran dengan surat khabar, sebaliknya dibalut dengan pembungkusan plastik bersih, sekali gus imej pasar tani yang menyediakan hasil pertanian segar dapat dipertingkatkan.
Katanya, usahawan tani perlu memastikan produk dihasilkan berkualiti, lebih kompetitif, selamat dimakan dan dapat bersaing dengan pengeluar lain khususnya pasar raya besar.
Sementara itu, seorang peniaga sayuran, Zarina Kassim, 36, yang berniaga di pasar tani sejak lima tahun lalu, menyifatkan pasar tani kekal ini amat selesa dan teratur.
“Dulu, saya terpaksa berpanas dan berhujan berniaga di kawasan pasar tani ditetapkan tetapi kini, semua itu tidak menjadi masalah lagi kerana bangunan kekal ini amat selesa,” katanya.
Pengunjung, Jamaludin Samsudin, 38, menyifatkan reka bentuk pasar ini amat menarik selain memberi keselesaan kepada pembeli kerana suasananya tenang dan bersih.
Hamzah cipta keropok pisang
| HAMZAH Sariwon menunjukkan produk keropok pisang di rumahnya di Felda Layang-Layang, Kluang, Johor, semalam |
KLUANG 22 Sept. - Seorang peneroka di Felda Layang-Layang di sini kini boleh berasa bangga kerana keropok pisang yang dihasilkan berjaya memberi pulangan pendapatan sampingan yang menguntungkan hingga RM1,200 sebulan.
Lebih membanggakan, ciptaannya itu mencatat sejarah tersendiri kerana berjaya mencipta keropok pisang. Sebelum ini pisang hanya dijadikan kerepek.
Hamzah Sariwon, 57, yang lebih mesra dengan panggilan Wak berkata, beliau berbangga kerana berjaya mempelbagaikan makanan berkhasiat untuk dinikmati penggemar pisang selain menambahkan pendapatan keluarganya.
“Kira-kira dua tahun lalu, datang ilham pada awal pagi bila terfikir di Pantai Timur ada keropok ikan tetapi di sini (Johor) banyak pisang, jadi kenapa tidak dibuat keropok pisang,” katanya kepada Utusan Malaysia di rumahnya di Felda Layang-Layang Kluang di sini, semalam.
Menurutnya, selepas itu beliau mengadunkan ramuan pisang masak yang dikupas lalu diuli dengan tepung ubi, gula, garam serta air lalu dibentuk seperti silinder.
Bapa kepada sembilan anak itu berkata, bahan kemudian dipotong menjadi kepingan bersaiz bulat lalu dijemur dan selepas kering digoreng untuk menjadi keropok pisang yang enak.
Menurutnya, beliau telah mendapatkan nasihat daripada Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mengkomersialkan makanan ringan tersebut. Dengan sokongan jabatan-jabatan tersebut, Hamzah kemudian mengikuti kursus keusahawanan dan pembungkusan makanan sebelum memulakan perusahaannya dengan modal RM1,000.
Beliau seterusnya menerima pinjaman kewangan berjumlah RM6,000 daripada Felda dan dengan peruntukan itu dia membeli empat mesin menguli dan pemotong untuk membolehkan pengeluaran dilakukan secara besar-besaran.
“Pengeluaran peringkat awal secara manual mampu menghasilkan 100 kilogram (kg) keropok sebulan manakala jumlah pengeluaran menggunakan mesin mencecah 300 kg sebulan,” jelasnya.
Katanya, kesemua operasinya dilakukan di rumahnya dengan dibantu oleh dua orang pekerja dan nilai aset perusahaan itu kini sebanyak RM12,000.
Menurut Hamzah, nilai jualan produk itu mencecah RM2,400 sebulan dan kebanyakannya dipasarkan di seluruh negeri Johor.
Katanya, keropok pisang mentah dijual pada harga RM8 sekilogram manakala keropok yang digoreng berharga RM12 sekilogram.
“Bagaimanapun, pengeluaran saya masih tidak dapat menampung permintaan yang terlalu tinggi kerana maklum balas mendapati ramai yang menggemari keropok pisang ini,” katanya.
Justeru, beliau bercadang untuk mengetengahkan lagi produk tersebut dan bersedia berkongsi ilmu pengetahuan dengan usahawan yang mahu menceburkan diri menjual keropok pisang.
“Walaupun saya yang pertama membuat keropok pisang tetapi saya berharap lebih ramai lagi yang membuat keropok pisang kerana permintaannya terlalu tinggi di pasaran,” katanya.
Hamzah berkata, walaupun permintaan makanan itu meningkat dua kali ganda pada musim perayaan namun beliau hanya mampu mengeluarkan keropok pada kuantiti biasa ekoran masalah kekurangan bahan mentah pisang.
Orang ramai yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan membuat keropok pisang boleh menghubungi Hamzah di talian 019-7418568.
Penternak lintah, cacing bandar wajar dibantu
JOHOR BAHRU: Kerajaan perlu serius dalam membantu masyarakat bandar yang berminat untuk menceburi keusahawanan pertanian kerana bidang berkenaan menjanjikan pulangan lumayan sekali gus dapat membanteras kemiskinan dalam bandar.
Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata bidang keusahawanan pertanian yang kini semakin mendapat minat masyarakat bandar khususnya golongan bawahan adalah penternakan lintah dan cacing.
“Penternakan haiwan ini, tidak memerlukan kawasan luas seperti menternak lembu, ayam atau kambing. Selain itu, tiada masalah pencemaran bau yang akan berlaku, jadi kerajaan terutama sekali Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani perlu proaktif membantu golongan ini,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Projek Penternakan Lintah milik Kelab Usahawan Tani Parlimen Pulai.
Projek berkenaan yang dimulakan sejak kira-kira enam bulan lalu, kini disertai 80 peserta dengan hampir 90 tong lintah yang mengandungi antara 300 dan 400 ekor lintah dalam satu tong.
Peserta dikenakan bayaran sebanyak RM1,300 untuk menyertai projek ini, sebagai modal dengan kelab berkenaan akan menyediakan khidmat nasihat selain penjagaan ternakan.
Nur Jazlan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri menggalakkan rakyat untuk bercucuk tanam atau menternak binatang di kawasan rumah mereka melalui program buku hijau yang dihidupkan semula, jadi sudah tentu usahawan tani bandar juga perlu mendapat bantuan dan pembelaan sewajarnya.
“Janganlah terlalu menumpukan kawasan luar bandar, sedangkan ramai masyarakat bandar khususnya, golongan bawahan yang kini, menyertai penternakan lintah atau cacing kerana ia tidak memerlukan kawasan yang luas, selain modal juga tidak besar.
“Daripada tinjauan yang saya lakukan dalam kawasan Parlimen Pulai, ramai usahawan tani yang bekerjasama dengan membentuk satu kumpulan untuk menjalankan aktiviti mereka dan ia amat baik, kerana dapat menawarkan ternakan dalam kuantiti besar,” katanya.
Nur Jazlan juga menegur syarikat korporat khususnya, sarikat milik kerajaan (GLC) yang dilihat tidak serius untuk menghidupkan konsep keusahawanan tani di kawasan bandar kerana gemar membiarkan tanah milik mereka terbiar.
Katanya, adalah lebih baik, tanah berkenaan disewa atau dipajak kepada individu atau kumpulan yang berminat untuk menjadikannya sebagai kawasan penternakan sekaligus mengelakkan pembaziran kawasan.
Saturday, November 8, 2008
Pakar teknologi cendawan berkumpul
| |
| Dr. Noorlidah Abdullah dan Dr. S. Vikineswary menunjukkan penyelidikan mereka mengenai cendawan di Universiti Malaya. - Gambar hiasan |
Tetapi sebenarnya terdapat banyak jenis cendawan di negara ini memandangkan biodiversiti yang tinggi.
Bagaimanapun di negara ini industri cendawan masih di peringkat awal dan masih memerlukan banyak usaha untuk membangunkannya.
Malaysia yang terletak di kawasan khatulistiwa amat bertuah kerana mempunyai pelbagai spesies cendawan yang berpotensi dimajukan dalam industri makanan dan perubatan.
Justeru Pusat Penyelidikan Cendawan Universiti Malaya (UM), Persatuan Cendawan Malaysia, Jabatan Pertanian dan Persatuan Alam Sekitar Malaysia (MNS) menganjurkan Persidangan Cendawan dan Foray 2008.
Persidangan yang membincangkan mengenai pandangan global mengenai industri cendawan akan diadakan pada 27 hingga 29 November ini di Fakulti Sains UM.
Persidangan berkenaan diharap dapat menyediakan landasan bagi pakar-pakar dari seluruh dunia bagi memindahkan teknologi dan inovasi terkini dalam industri cendawan kepada usahawan tempatan.
Di persidangan itu, usahawan juga boleh bertukar-tukar idea dan pengalaman dengan mereka yang terlibat dalam industri berkenaan seperti penyelidik dan penanam cendawan.
Persidangan yang akan membincangkan mengenai sumber cendawan dan peningkatan strain, inovasi penanaman cendawan dan produk cendawan serta pemasaran sesuai dihadiri oleh usahawan cendawan, saintis, perbankan, pelajar dan pegawai kerajaan.
Acara sepanjang hari:
lPameran Cendawan Dalam Kehidupan Seharian
lJualan
nMakanan dan minuman berasaskan cendawan
nProduk - produk berasaskan cendawan
nPelbagai jenis cendawan segar
nBarangan batik bercorak cendawan
lDemonstrasi
nMasakan resipi cendawan
nPenjagaan kit cendawan segar
nPenanaman cendawan jerami
Acara lain yang menarik
*Peraduan:
-Mewarna
-Melukis
*Kutip & Kenali Cendawan Liar di laluan semula jadi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS)
Ceramah mengenai cendawan
*Makan Cendawan: Hidup Lebih Sihat dan Ceria oleh Prof. Dr. S.T. Chang
*Vermikompos dari sisa penanaman cendawan
*Menjinakkan Cendawan Liar oleh Prof. Dr. Thomas Volk
*Basidiomycetes: Kepelbagaian, Peranan Ekologi and Potensi Nilai Komersial oleh Prof. Dr. E.B.G. Jones
Mereka yang berminat boleh menghubungi Persatuan Penyelidikan Cendawan di 03-7967 6714 atau 012-6511509 (Prof. Noorlidah)
Thursday, November 6, 2008
Hidupkan semula tanaman hidroponik
MELAKA 4 Nov. - Ketika keadaan ekonomi tidak menentu dan kuasa membeli pengguna yang semakin mengecil, pelbagai cara dilakukan untuk berjimat cermat terutamanya melalui cara bercucuk tanam untuk kegunaan isi rumah.
Saranan kepada rakyat supaya berbudi kepada tanah diterjemahkan menerusi Kempen Bumi Hijau di setiap kampung-kampung di semua daerah di seluruh negara.
Namun seperkara yang sering disebut-sebut ketika kegawatan ekonomi melanda negara kira-kira 10 tahun lalu, iaitu tanaman kaedah hidroponik mungkin wajar dihidupkan semula.
Pemilik syarikat pembekal utama bagi produk hidroponik, Khatijah Surif, 42, berkata, kaedah hidroponik wajar dihidupkan semula dalam konteks untuk berjimat cermat terutamanya untuk kegunaan isi rumah.
Kaedah hasil baja lebih sistematik
TASEK GELUGOR 4 Nov. - Pengurusan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda, di sini bercadang menghasilkan baja buatan sendiri secara lebih sistematik bagi membantu petani menangani peningkatan kos bahan itu.
Pengurusnya, Zamri Ahmad berkata, penghasilan baja melalui konsep pertanian semula jadi atau natural farming (NF) itu dapat mengurangkan kos input baja sehingga 20 peratus.
