Friday, January 2, 2009

Peneroka Getah Berwawasan Kini Raih Hasil Tembikai

PADANG BESAR, 30 Dis (Bernama) -- Harga getah yang melambung tinggi kira-kira dua tahun lepas tidak mealpakan tiga peneroka Felda Rimba Mas di sini yang sedar harga komoditi itu mungkin akan menjunam semula.



Walaupun hasil getah ketika itu menjadikan mereka "orang kaya baru" tetapi mereka tidak mudah lupa diri dan membuat persediaan dengan mengusahakan ladang seluas 100 hektar dengan tanaman tembikai, labu dan cili.



Md Fadzil Choh, 53, Ariffin Hamid, 50, dan Mat Rawi Shaari, 50, kini boleh berbangga dengan hasil lumayan yang diraih daripada tanaman berkenaan.



Md Fadzil yang juga pengurus projek itu berkata, setahun lalu mereka mengenal pasti tanah yang baru ditanam semula dengan getah di pinggir Bukit Chabang untuk melaksanakan projek itu dan mengusahakannya selepas mendapat kebenaran pengurusan Felda Rimba Mas.



Katanya hasil tembikai yang dituai pada 9 Dis lalu adalah sebanyak 1,200 tan metrik dan hasilnya pada musim akan datang dijangka melebihi 1,500 tan metrik.



"Kami langsung tidak hadapi masalah pemasaran kerana kami telah menandatangani kontrak pemasaran dengan syarikat Chong Leam & Co yang berpejabat di Ipoh, Perak," kata Md Fadzil ketika ditemui di ladang itu hari ini.



Katanya mereka hanya menyelia 80 pekerja bagi memastikan sistem pengairan dan sistem pembajaan berjalan sempurna manakala urusan pemasaran dan keperluan ladang seperti baja dan bakul plastik disediakan oleh syarikat berkenaan.



Beliau berkata, tembikai keluaran ladang itu dipasarkan di Johor dan Singapura dengan harga tembikai gred A di ladang ialah 85 sen sekilogram manakala gred B 45 sen sekilogram dan gred C 20 sen sekilogram.


Kebanyakan tembikai di ladang itu ialah gred A dengan purata berat setiap biji ialah lapan kilogram, katanya.



Md Fadzil berkata mereka berharap dapat mengusahakan tanaman itu di kawasan lain kerana ladang sedia ada hanya boleh diusahakan sehingga 2010 kerana pokok getah kian membesar.



Bagi labu, katanya tuaian pertama dijangka awal tahun depan dengan anggaran 200 tan metrik dan setiap kilogram labu berharga 45 sen dan dipasarkan oleh syarikat yang sama.



Bagaimanapun, bagi cili, ia akan dipasarkan sendiri oleh mereka kerana tidak tersenarai dalam kontrak pemasaran, katanya.



"Kami akan sentiasa memperolehi hasil kerana selepas musim tuaian tembikai berakhir, kami akan memperolehi pendapatan hasil jualan cili," katanya.



Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Sabry Ahmad berkata kerajaan negeri bersedia menimbang cadangan para peneroka itu untuk meneroka kawasan baru yang berhampiran.



"Mereka usahakan secara komersil dan kerajaan bangga dengan mereka.



Kita akan bincang untuk membenarkan mereka mengusahakan kawasan baru," katanya ketika ditemui hari ini.



Sabry berkata, projek itu bukan sekadar memberi keuntungan kepada pengusahanya malah memberi peluang pekerjaan kepada anggota keluarga peneroka dan para penduduk sekitar.



Beliau berharap lebih banyak penduduk Perlis mengusahakan tanaman kontan seperti itu secara komersil kerana ia mendatangkan keuntungan lumayan.



Sabry memuji langkah bijak para peneroka itu yang tidak hanya mengharapkan kepada pengeluaran getah yang harganya tidak menentu sebaliknya meneroka bidang pertanian yang lain bagi menambah pendapatan.



Sesuai dengan nama Rimba Mas, para peneroka felda itu telah menemui "emas" di kawasan yang suatu ketika dahulu penuh dengan rimba belantara di pinggir Bukit Chabang melalui projek ladang tembikai, labu dan cili itu.

-- BERNAMA

No comments: