Saturday, December 27, 2008

Tanaman tomato moden beri pulangan lumayan

TAWAU 30 Nov. - Nilai komersial yang tinggi dalam sektor pertanian mendorong seorang anak tempatan, Nofian Sali, 34, mengusahakan penanaman tomato moden di Kampung Kinabutan dekat sini.


Walaupun pada awal pembabitan, Nofian tidak memiliki sebarang pengetahuan asas dalam bidang pertanian tetapi disebabkan minat dan kesungguhannya, hari ini dia menjadi peladang muda yang berjaya.


Nofian Sali menggunakan sistem penanaman fertigasi untuk menghasilkan tomato berkualiti tinggi.


Hasil titik peluhnya selama beberapa tahun bagi mengusahakan penanaman itu, kini membolehkan Nofian meraih pulangan lumayan setiap bulan iaitu kira-kira RM3,500.

Nofian berkata, dia mula mengusahakan tanaman tomato pada 2005 di tanah seluas setengah hektar dengan modal permulaan kira-kira RM2,500.

Menurutnya, tanaman tomato moden yang diusahakannya itu tidak pernah mengecewakan daripada segi keuntungan kerana permintaan bagi produk sayuran itu tidak pernah berkurangan.

Katanya, tomato yang dihasilkan di Sabah sebenarnya mendapat permintaan tinggi kerana saiz tomato negeri ini lebih besar berbanding hasil tomato dari tempat lain.

Pada masa ini katanya, permintaan yang diterimanya melebihi daripada hasil yang dituainya.

Dalam pada itu, katanya, dengan mengaplikasikan pengetahuan dalam sistem penanaman fertigasi beliau menggunakan kaedah tersebut dalam tanaman tomato.

Katanya, cara ini amat mudah kerana tidak memerlukan ramai pekerja dan tidak menggunakan racun yang banyak bagi menjaga kualiti pengeluaran.

Mengenai kaedah penanaman tomato moden yang digunakan beliau menjelaskan, sistem tanaman ini diusahakan tanpa menggunakan racun serangga.

Nofian memberitahu, penanaman tomato juga begitu efektif kerana tidak memerlukan masa yang lama untuk mendapatkan hasil.

"Pokok tomato akan menghasilkan buah yang boleh dipetik dalam tempoh yang singkat iaitu kira-kira sembilan minggu.

"Biasanya jumlah hasil yang dikutip setiap kali mencecah 120 kilogram yang dijual dengan harga pasaran RM4 sekilogram," katanya.

Menurutnya, beliau yakin tanaman tomato mampu memberi keuntungan berterusan kerana ia merupakan industri hiliran yang amat berpotensi di pelbagaikan.

Pada masa ini banyak produk makanan yang terkenal diperbuat daripada tomato seperti sos dan kicap.

"Saya yakin bidang pertanian boleh membela nasib diri dan keluarga tetapi ia perlu dilakukan bersungguh-sungguh dan serius," ujarnya.

Sementara itu, katanya, baru-baru ini beliau telah mendapat pinjaman sebanyak RM20,000 daripada Pertubuhan Peladang Tawau melalui skim Pembangunan Usahawan Peladang (PUP) bagi mempertingkatkan hasil pengeluarannya.

Justeru, katanya, dia merancang memperluaskan lagi kawasan penanaman tomato dari masa ke semasa.

"Disebabkan oleh kawasan ladang yang kecil ketika ini, saya sedar ia menyukarkan saya untuk menambah pengeluaran bagi memenuhi kehendak pasaran.

"Jadi, saya merancang untuk mendapatkan kawasan tanaman tomato lebih luas di Tawau bagi memenuhi kehendak pengguna di pasaran," katanya.

Tambahnya, dia juga sedang menunggu bantuan yang dijanjikan oleh Jabatan Pertanian Negeri untuk mencari kawasan lebih luas bagi menanam hasil.

Kontraktor ICT hasilkan nanas klon baru tiga kilogram sebiji


ABU Hassan Man (tengah) menerangkan kepada Rosli Khalid mengenai nanas Merbok yang ditanam di ladangnya di Kampung Bendang Dalam Merbok, Sungai Patani, semalam.

SUNGAI PETANI 24 Dis. _ Seorang kontraktor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Abu Hassan Man, 49, yang mengusahakan ladang nanas di Kampung Bendang Dalam, Merbok dekat sini sejak setahun lalu berjaya mengeluarkan nanas bermutu tinggi sehingga mampu mencecah berat antara dua hingga tiga kilogram sebiji.

Lebih membanggakan, buah nanas yang diusahakannya di tanah seluas 14 hektar di kawasan berkenaan bukan sahaja bersaiz lebih besar, tetapi lebih manis, beraroma dan rangup.

Abu Hassan ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, pada mulanya dia memulakan langkah mengusahakan tanah terbiar dengan tanaman berkenaan sekadar suka-suka, tetapi kini melibatkan diri sepenuhnya selepas mendapati ia sebagai perniagaan yang menguntungkan.

Bekas kakitangan Telekom Malaysia itu memberitahu, kini sebanyak 300,000 pokok nanas telah mengeluarkan hasil dan bersedia memasuki pasaran.

‘‘Setakat ini nanas klon terbaru ini mendapat permintaan yang tinggi daripada pemborong dari seluruh negara,” katanya di sini hari ini.

Menurut Abu Hassan, daripada jumlah keseluruhan 500,000 pokok yang ditanam, pihaknya menjangka dapat menjana pendapatan sehingga RM300,000 semusim.

Katanya lagi, selain ladang tersebut, dia juga sedang membangunkan tanah seluas 28 hektar lagi untuk ditanam dengan nanas klon terbaru itu.

Tambahnya, nanas klon terbaru berkenaan dijual pada harga ladang sebanyak RM1.30 sen sebiji untuk gred A manakala gred AA pula pada harga RM1.50 sebiji.

Dia juga menjangkakan pihaknya akan dapat mempromosikan klon buah nanas terbaru berkenaan tidak lama lagi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pertanian Malaysia, Rosli Khalid mengakui mutu buah nanas yang diusahakan Abu Hassan berpotensi luas memasuki pasaran tempatan dan luar negara.

‘‘Kita terpegun apabila melihat buah nanas jenis ini mampu mengeluarkan hasil yang agak besar dengan berat antara dua hingga tiga kilogram sebiji berbanding jenis biasa,” katanya kepada pemberita selepas meninjau ladang berkenaan hari ini.

Hadir sama Pengarah Pertanian Kedah, Ismail Salleh dan Pegawai Pertanian Kuala Muda, Mohamed Bukhari Abdul Rahman.

Rosli berkata, Jabatan Pertanian yakin potensi besar buah nanas jenis itu di pasaran tempatan apabila ladang berkenaan mengeluarkan hasil sepenuhnya tidak lama lagi.

Menurut beliau, pihaknya berpuas hati dengan kesungguhan pengusaha tersebut menghasilkan klon nanas bermutu tinggi bagi menyaingi nanas biasa yang lain di pasaran.

Skill-Tech ILKS pertama tawar SKM pertanian pELATIH SEDANG DIBERI BIMBINGAN CARA MENGHASILKAN BAJA KOMPOS. Keperluan kepada modal insan yang semakin



pELATIH SEDANG DIBERI BIMBINGAN CARA MENGHASILKAN BAJA KOMPOS.

Keperluan kepada modal insan yang semakin mendesak dalam sektor pertanian memerlukan sokongan pelbagai pihak khususnya institusi latihan untuk melahirkan lebih ramai graduan terlatih.

Selain institusi pengajian tinggi dan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC), hampir tidak ada syarikat yang sudi melabur dan menawarkan program latihan kemahiran dalam pertanian secara menyeluruh bagi mencapai matlamat murni ini.

Namun kewujudan Institut Skill-Tech yang terletak di Durian Tunggal, Melaka telah berjaya membuka mata masyarakat untuk melahirkan lebih ramai tenaga terlatih dalam bidang pertanian, sekali gus menyahut matlamat kerajaan memperkasa sektor tersebut.

Syarikat bumiputera terbabit berjaya membuktikan bahawa persepsi masyarakat selama ini yang menuduh generasi muda tidak meminati kerjaya berasaskan pertanian adalah tidak tepat.

Ini terbukti apabila ambilan pertama pelatih di bawah Skim Kluster Latihan Kemahiran Sumber Manusia untuk Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) Bumiputera berjaya menarik lebih 200 pelajar mengikuti pelbagai bidang pertanian.

Menurut Pengerusi Eksekutif Skill-Tech, Nordin Abdul Malek, skim tersebut yang menawarkan pembiayaan percuma kepada semua belia bumiputera ternyata mendapat sambutan hebat pelatih dari seluruh negara.

Amat memeranjatkan beliau apabila ramai pelatih dari Sabah dan Sarawak juga sanggup meninggalkan kampung halaman semata-mata ingin mengejar impian menjadi tenaga kerja pertanian terlatih dan usahawan tani.

"Ini membuktikan bahawa belia kita memang berminat dalam bidang pertanian, sekiranya diberi peluang yang sewajarnya.

"Malah mereka juga sudah mula melihat pertanian sebagai satu peluang perniagaan yang lumayan," ujar beliau.

Skim yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah, pada 30 Oktober lalu, memilih Institut Skill-Tech sebagai peneraju dalam bidang pertanian.

Skim tersebut dilaksanakan dan dipantau oleh sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Zulkifli A Hassan.

Jawatankuasa tersebut turut dianggotai oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan seperti Kementerian Sumber Manusia, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Kewangan, MeCD dan Mara yang bertujuan untuk menjamin kualiti dan pencapaian skim kluster berkenaan.

Difahamkan, Skill-Tech merupakan ILKS pertama yang menjalankan kursus pertanian sepenuhnya menggunakan Standard Latihan Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dan NATC.

"Memandangkan kursus menggunakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, pensijilan dan modul pelatih adalah sama dengan kolej latihan pertanian di bawah pusat latihan awam, " tambahnya lagi.

Nordin menambah, Skill-Tech menyasarkan pelatih seramai 2,000 orang, bermula tahun ini hingga tahun hadapan.

Mereka menawarkan pelbagai bidang iaitu tanaman makanan (sayuran/buah-buahan), akuakultur (ikan air tawar), seni bina landskap, penyeliaan ladang, pemasaran pertanian, pemprosesan makanan, herba, bio-teknologi, pelancongan tani (agro-tourism), ternakan ayam (poltri) serta ternakan ruminan.

"Kepelbagaian bidang kursus membolehkan lebih ramai penyertaan belia kerana mereka boleh memilih kursus pertanian mengikut minat dan cita rasa masing-masing," katanya lagi.

Pusat latihan ini berkonsepkan ladang integrasi (integrated-farm) yang menggabungkan tanaman makanan, akuakultur dan pelancongan pertanian. Malah mulai tahun hadapan, ladang poltri dan ruminan akan diwujudkan untuk melengkapkan konsep integrasi tersebut.

Sebaik sahaja tamat latihan selama setahun, mereka akan dianugerahkan SKM Tahap 1 dan Tahap 2.

Sebagai tambahan, mereka juga akan menerima Sijil Keusahawanan daripada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), MeCD.

Selepas tamat latihan, graduan digalakkan untuk mengusahakan pertanian sendiri sebagai usahawan yang akan dibantu oleh MeCD dengan pelbagai kemudahan perniagaan.

Malah dalam tempoh latihan setahun, mereka juga diajar asas keusahawanan dengan menggunakan modul yang disediakan bersama Skill-Tech dan INSKEN.

Selain internship, pendedahan perniagaan hasil pertanian juga turut diberikan oleh pengusaha dan usahawan dalam bidang berkaitan melalui ceramah tetap bulanan.

Pengalaman usahawan tersebut membolehkan mereka mengetahui strategi perniagaan berasaskan pertanian, disiplin serta tip-tip yang menjadi kunci kejayaan usahawan pertanian.

Bagi mencapai Indeks Pencapaian Prestasi (KPI) yang ditetapkan kerajaan, Skill-Tech turut merancang mewujudkan skim inkubator usahawan tani bagi membolehkan graduan mereka terus dibimbing hingga mampu menjadi usahawan berdikari yang berjaya.

"Kami telah berunding dengan beberapa kerajaan negeri bagi mendapatkan tanah yang sesuai diusahakan sebagai ladang tanaman makanan komersial, " katanya.

Kekurangan tenaga kerja mahir dalam bidang pertanian, memberi keazaman kepada Skill-Tech untuk menggalakkan graduannya menyambung latihan ke peringkat yang lebih tinggi.

Ini bertujuan untuk menyahut cabaran masa depan bidang pertanian yang berteraskan kecekapan bekerja, kemahiran berteknologi serta berpengetahuan tinggi agar pengeluaran pertanian dapat dioptimumkan.

"Kita tetap menggalakkan sebahagian daripada mereka supaya menyambung kursus ke peringkat Diploma Kemahiran Malaysia pada masa depan," tambahnya.

Selain latihan di dalam kampus, pelatih diwajibkan menjalani latihan industri di syarikat-syarikat berasaskan pertanian untuk memantapkan pengetahuan serta memberikan pengalaman sebenar alam pekerjaan pertanian. Justeru itu, Skill-Tech turut menjalinkan kerjasama industri dengan syarikat perladangan serta anak-anak syarikat milik kerajaan.

Graduan ini diyakini akan mudah mendapat pekerjaan, memandangkan kini sudah ada permintaan industri pertanian yang menempah mereka untuk bekerja apabila tamat latihan nanti.

Selain kemudahan latihan mengikut standard NOSS, Skill-Tech turut menyediakan pelbagai kemudahan lain di kampus seperti kolam renang, pusat rekreasi pertanian, surau terapung, dan pelbagai kemudahan berasaskan pertanian untuk keselesaan pelatih.

Memandangkan kerajaan telah menyediakan peluang keemasan ini, Nordin menasihati para belia Bumiputera supaya merebut peluang mengikuti kursus pertanian di institut berkenaan.

Lebih-lebih lagi, skim yang dibiayai menerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) ini tidak memerlukan pelatih membayar balik pembiayaan selepas tamat latihan.

Malah, bagi memberi peluang yang lebih ramai, kerajaan hanya mengenakan syarat minimum boleh menulis, membaca dan mengira (3M) dengan baik bagi kebanyakan kursus (kecuali kursus bioteknologi, herba, pemasaran, pemprosesan makanan dan pelancongan pertanian) sebagai syarat minima kelayakan akademik.

"Syarat minima tersebut tidak bermakna kursus ini adalah untuk mereka yang tercicir atau lemah akademik kerana ada sebahagian pelatih kami adalah lulusan ijazah dari IPTA dalam dan luar negara," jelas Nordin lagi.

Ternyata skim ini juga bertujuan untuk menjadikan pertanian sebagai kerjaya pilihan utama generasi muda kerana syarat umur peserta kursus yang ditetapkan oleh kerajaan adalah antara 16 hingga 35 tahun.

Bagi mencapai sasaran yang ditetap- kan kerajaan, Skill-Tech mempelawa belia Bumiputera menyertai kursus percuma ini bagi pengambilan Disember tahun ini yang masih dibuka untuk pendaftaran serta-merta.

Wednesday, December 24, 2008

Ebook Koleksi Rancangan Perniagaan


Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Anda ingin memulakan perniagaan? Ini mendapatkan panduan untuk mendapatkan pinjaman drp bank @ MARA etc? Susah untuk mendapatkan panduan & maklumat?

YA...KINI TIDAK LAGI!!!

Ebook yang dinanti-nantikan telah tiba...EBOOK KOLEKSI RANCANGAN PERNIAGAAN

MAMPU MEMENUHI IMPIAN ANDA MENJADI KENYATAAN...


HANYA KLIK DISINI


Berikut kandungan Ebook Koleksi Rancangan Perniagaan ini...

* e-book dan panduan contoh rancangan perniagaan

* panduan dan format rancangan perniagaan @kertas kerja pinjaman

* contoh kertas kerja pinjaman :

  • Penternakan Lembu
  • Penternakan kambing
  • Penternakan Ikan Keli
  • Pertanian : Tanaman Sayuran
  • Printing @ sulaman
  • Bakery
  • computer hardware reseller (2)
  • internet cafe
  • pembelian mesin sulaman (embroidery) -RM118,000.00-word
  • Pembelian mesin perkilangan makanan ringgan- RM123,000.00 -word
  • Pertenakan kambing dan ikan keli
  • pertenakan Lembu
  • Francais Penanaman Pisang
  • Koperasi
  • Cendawan
  • salun - Word
  • Butik -PDF

# contoh terbaru kertas kerja yang baru diluluskan oleh bank Pembangunan (SME Bank) dalam bentuk word

# Worksheet Borang MARA bawah 50k/Cth borang yang telah siap diisi

# Contoh kertas kerja MARA bagi pinjaman atas RM100,000.00

# PERISIAN PERAKAUNAN DALAM BENTUK EXCELL BAGI USAHAWAN @ PANDUAN PERCUKAIAN INDIVIDU

# Worksheet @ lembaran kerja bagi bahagian projectioan dalam bentuk excell

# Panduan perniagaan bagi : kedai kek,car wash, lanskap dan tadika

Monday, December 22, 2008

Baja cacing hasilkan pendapatan lumayan

BUKIT MERTAJAM 18 Dis. - Cacing yang dulu hanya menjadi makanan atau umpan ikan kini dikomersialkan untuk menjana pendapatan lumayan.

Peluang itu tidak dilepaskan Mohd. Saeifol Bahariey Che Kob, 29, yang juga pengasas My Friend’s Agro Center apabila terlibat membekalkan induk, baja kompos dan medium cacing kepada petani dan orang ramai.

Ketika memulakan perniagaan tahun lalu, beliau mengakui ramai yang tidak percaya spesies tersebut boleh diternak dan dijadikan satu perniagaan.

“Pada awal kemunculannya, hanya beberapa orang yang mengusahakan perniagaan ini dan saya pun bermula selepas melihat sepupu saya membabitkan diri dengan modal permulaan RM12,000,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Katanya, selain dijadikan baja, cacing juga digunakan sebagai penawar untuk menyembuhkan pelbagai penyakit manakala najisnya pula boleh digunakan sebagai baja kompos.

Pemuda dari Terengganu ini menggunakan modal permulaan itu bagi mengimport cacing-cacing dari Indonesia dengan menggunakan permit import (AP) dan sehingga kini membawa masuk kira-kira empat tan sebulan.

Antara spesies cacing yang dibawa masuk ialah dari jenis cacing harimau dan cacing merah yang berasal dari Australia serta African Night Crawler dan cacing biru yang dibiak di Nibong Tebal, Tasek Gelugor dan Sungai Petani.

Bermula dari situ Mohd. Saeifol Bahariey mula meluaskan konsep perniagaannya dengan mengadakan kursus penternakan cacing kepada orang ramai.

Beliau juga bekerjasama dengan Pertubuhan Peladang negeri dan syarikat-syarikat persendirian yang terbabit dengan pertanian.

“Baja dari cacing sebenarnya amat baik untuk tanaman berbanding penggunaan baja kimia dan ia telah terbukti apabila kita hanya guna sekilogram baja cacing berbanding empat kilogram baja kimia,” katanya.

Selain itu kos untuk memelihara cacing juga amat murah kerana ia hanya memakan tahi kambing dan habuk-habuk kayu selain penggunaan kawasan juga tidak besar.

Beliau tidak menyangka usahanya menternak cacing menjanjikan pendapatan lumayan pada harga jualan mencecah RM450 hingga RM500 sekilogram pada harga pasaran.

“Setiap kilogram cacing yang diternak akan bertambah menjadi empat kilogram dalam masa dua bulan,” katanya.

Ujarnya, penjagaan cacing tidak sukar. Ini kerana cacing tersebut akan diletakkan dalam satu bekas yang dicampur dengan makanannya iaitu habuk kayu yang dicampur dengan najis kambing atau lembu.

Menurutnya, cacing berkenaan tidak perlu diperiksa setiap hari kerana ia tidak mudah mati.
“Cuma, apa yang perlu dibuat ialah sentiasa membasahkan cacing-cacing berkenaan dan meletakkannya di tempat yang lembap.

“Makanan perlu ditambah seminggu sekali kerana jika habis, cacing akan merayap untuk melepaskan diri,” ujar Mohd, Saiefol Bahariey yang turut menganjurkan ceramah mengenai penternakan cacing di sekitar Utara dan Terengganu.

Beliau berkata, setiap kotak yang diisi cacing perlu ditutup dengan jaring halus bagi mengelak dimasuki musuh perosak seperti semut dan kumbang.

Sehubungan itu katanya, kepada individu atau orang ranai yang ingin menyertai program penternakan cacing boleh menghubungi beliau di talian 019-498200/012-4244611.

Kambing Jamnapari sesuai diternak

JAMNAPARI yang dinamakan sempena sebatang sungai yang terletak di Uttar Pradesh, India merupakan kambing berbaka kacukan yang berasal dari negara berkenaan dan juga Pakistan pada awalnya.

Sejak 1953, kambing Jamnapari yang diternak untuk tujuan daging dan tenusu itu telah dieksport ke Indonesia dan baka tersebut mendapat permintaan yang menggalakkan di sana.
Sehubungan itu, India meningkatkan lagi perusahaan ternakan tersebut bagi tujuan dieksport.
Bancian pada tahun 1972 di India, menganggarkan sebanyak 580,000 ekor Jamnapari diternak, walaupun hanya 5,000 daripada bilangan tersebut merupakan baka asli.

Di negara asalnya, sepanjang musim sejuk 90 peratus kambing Jamnapari menghabiskan masa untuk meragut rumput atau daun.

Namun, pada musim yang lain, kambing tersebut hanya mengambil 55 peratus masa untuk mencari makanan seperti dedaun, rumput dan pelbagai tumbuhan hijau.

Dari segi fizikal, Jamnapari mempunyai bilangan variasi besar dalam faktor warna, tetapi pada kebiasaannya, ia berwarna putih dan mempunyai tompok pada leher dan kepala.

Di samping itu, Jamnapari mempunyai sepasang cuping telinga yang jatuh dan memanjang sehingga mencapai 25 sentimeter (sm).

Dalam pada itu, kedua-dua jantina kambing tersebut memiliki tanduk dan kaki yang panjang.
Bagi kambing jantan, Jamnapari mampu mencapai sehingga 120 kilogram (kg), manakala bagi betina, beratnya mampu mencecah sehingga 90kg.

Secara purata, seekor kambing betina Jamnapari mampu mengeluar- kan susu sehingga dua kg sehari.

Sementara bagi dagingnya, Jamnapari boleh dikatakan tidak merbahayakan kesihatan kerana kadar kolesterol dagingnya adalah pada tahap yang rendah.

Kini, kambing jenis Jamnapari turut mendapat tempat dan permintaan yang memberangsangkan di kalangan masyarakat tempatan

Tiga sahabat bangunkan e-arowana

Menyedari potensi industri penternakan ikan hiasan khususnya arowana, tiga sekawan ini tekad meletakkan jawatan dengan pendapatan lumayan. Malah kajian yang dijalankan menunjukkan 95 peratus ikan hiasan yang diternak adalah untuk pasaran eksport kerana mutunya yang tinggi.

"Tetapi bukan mudah untuk kami mengambil langkah menceburkan diri dalam perniagaan ini secara sepenuh masa.

"Banyak yang perlu difikirkan terutama komitmen terhadap keluarga masing-masing," kata salah seorang pemilik e-arowana Trading, Suhar Shariff semasa ditemui semasa Pameran Aquafair Malaysia 2008 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menyingkap sejarah permulaannya, beliau bercerita, mempunyai hobi yang sama menemukan mereka walaupun bekerja di tempat yang sama.

Suhar berkata, tiga faktor yang menyebabkan mereka bergiat dalam industri ikan hiasan iaitu minat, mempunyai nilai komersial dan perniagaan adalah sembilan daripada 10 sumber rezeki dalam Islam.

Bersama dua rakan lain, Zohri Mohd Taib dan Zulkifli Zarkasi, Suhar mula dengan aktiviti jual beli ikan hiasan pada tahun 2000 dan selepas lima tahun mereka bertiga mula membeli dan memelihara 40 arowana green dan red tail golden.

"Sebelum itu kami telah menyediakan enam buah kolam di kawasan Pendang, Kedah," kata graduan lulusan luar negara ini yang meletak jawatan pada tahun 2005 secara bergilir dengan rakan lain.

Kini tiga sahabat ini mempunyai lebih 200 ekor ikan arowana seperti red tail golden, Malaysia golden, chili red, blood red dan silver.

Suhar berkata, negara mempunyai kelebihan dari segi geografi dan politik sebagai kawasan ternakan arowana selain menjadi habitat asal ikan berkenaan.

"Permintaan ikan arowana yang tinggi masih tidak dapat memenuhi pasaran bagi pelanggan tempatan selain pasaran Asia terutama di Hong Kong, China, Taiwan, Jepun serta Eropah," katanya yang merancang menambah bilangan kolam pada tahun depan.

Ikan arowana menjadi mahal kerana ikan purba Zaman Jurassic hanya membiak setahun sekali. Pembiakan ikan arowana secara semula jadi memberi ruang bagi penternak mengawal harganya.

"Tidak pernah berlaku lambakan dan kejatuhan harga ikan arowana di pasaran kerana pembiakan hanya secara semula jadi," katanya.

Menyentuh mengenai penjagaan ikan arowana, Suhar berkata, tidak sesukar mana cuma harga yang tinggi menyebabkan pemiliknya lebih berhati-hati.

"Ikan arowana antara ikan yang tahan lasak dengan persekitaran tetapi disebabkan faktor kos tidak ramai berminat menternaknya," katanya yang juga menternak ikan kap jepun dan beberapa ikan hiasan tempatan.

Belimbing berkalsium tinggi

BELIMBING atau Averrhoa carambola adalah buah yang kaya dengan Vitamin C dan dipercayai jika dimakan berterusan boleh mengurangkan penyakit darah tinggi.

Manakala kaum Cina pula percaya belimbing boleh merendahkan paras gula dalam darah.
Di negara ini belimbing ditanam secara komersial bagi pasaran tempatan dan eksport kerana kualitinya yang tinggi.

Nilai eksport belimbing segar adalah kira-kira RM32 juta setahun di kawasan kurang 900 hektar di mana 60 peratus adalah untuk pasaran luar negara.

Bagaimanapun buah belimbing yang dieksport ke negara-negara seperti Eropah, Hong Kong dan Singapura biasanya masih hijau atau belum matang kerana buah ini mudah rosak semasa proses pengendalian lepas tuai.

Kebanyakan buah belimbing yang dieksport ke Eropah dimakan sebagai salad dan jarang dimakan secara segar.

Justeru Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menjalankan kajian bagi mengatasi masalah berkenaan.

Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur, MARDI, Dr. Zabedah Mahmod berkata, pihaknya telah menjalankan kajian merawat buah belimbing dengan kalsium bagi mengurangkan kerosakan buah.

"Rawatan semburan kalsium didapati menghasilkan sel yang lebih kuat dan pejal memandangkan kalsium penting bagi mengekalkan kesegaran dan ketahanan buah," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Beliau yang menjalankan kajian pengurusan lepas tuai pada buah belimbing yang diaplikasi dengan semburan kalsium mendapati kerosakan pada segi buah belimbing dapat dikurangkan.
Dr. Zabedah berkata, semburan kalsium yang menggunakan formulasi yang dihasilkan oleh MARDI diaplikasi pada kadar yang amat rendah.

"Buah belimbing akan disembur sebanyak tiga kali iaitu sekali semasa berbunga dan dua kali selepas berputik dan sebelum dituai," katanya.

Menyentuh mengenai semburan, Dr. Zabedah berkata, petani hanya perlu menyembur terus ke arah bunga dan buah.

Kaedah berkenaan, menurut beliau, dicadangkan kepada petani yang menanam belimbing untuk tujuan eksport bagi mengurangkan kerosakan pengendalian lepas tuai.

Beliau menambah, kajian yang dijalankan mendapati buah belimbing mudah menyerap kalsium berbanding buah-buahan lain

Selain itu pengurusan tanaman buah belimbing lebih mudah kerana buahan ini tahan lasak terhadap penyakit bakteria dan virus kecuali serangan lalat buah.

"Buah belimbing adalah buah tanpa musim dan boleh diaturkan dengan teknik cantasan bagi menyeragamkan pembungaan dan pembuahan.

"Ini biasa dilakukan dengan memotong dahan yang mati dan bersilang serta selepas dicantas tanaman akan dibaja dengan formulasi yang mengandungi potasium tinggi," katanya.

Dua minggu selepas dahan dicantas, bunga akan muncul dan pada masa bunga berkembang, lebah akan melakukan proses.

Belimbing yang dirawat dengan kalsium mempunyai sel yang lebih kecil dengan dinding sel lebih tebal dan padat, menunjukkan kalsium memainkan peranan penting dalam pembentukan sel yang teguh bagi buah dan lebih rangup.

Dr. Zabedah berkata, kepekatan kalsium di dalam buah meningkat sehingga 25 peratus manakala buah segar lebih rangup dengan 0.44 Newton (N) dibandingkan dengan 0.35 N bagi yang tidak dirawat.

Buah belimbing kalsium tinggi yang telah disimpan selama empat minggu dalam perjalanan ke Eropah lebih rangup berbanding yang tidak dirawat dengan kalsium.

Selain itu, belimbing juga kurang mengalami kerosakan seperti berwarna keperangan semasa pengendalian lepas tuai.

Kos tambahan yang diperlukan adalah RM190 atau dua peratus bagi setiap hektar ladang belimbing dan kos ini adalah menjimatkan kerana boleh mengurangkan kerosakan dan meningkatkan pasaran.

"Buah belimbing yang dirawat dengan kalsium juga tahan lebih lama dan jika kajian mendalam dilakukan, belimbing boleh dieksport dalam keadaan ranum untuk dimakan segar.
"Ini akan dapat meningkatkan lagi pasaran belimbing di negara pengeksport kerana setakat ini pasaran belimbing adalah statik dan sukar berkembang," katanya.

Jambu manis dari Muar

MUNGKIN menyedari masa depannya dalam dua pekerjaan bergaji tetap tidak sebaik mana kerana bersekolah setakat umur 13 tahun sahaja, maka keputusan yang diambil menceburi bidang pertanian sebagai jalan terakhir.

Namun, faktor sampingan lain juga tidak boleh diketepikan kerana keputusan memilih tanaman jambu air sebenarnya bermula sebagai hobi.

Chua Yap Keng dan Tan Jui Seng sebenarnya rakan kongsi yang mengusahakan tanaman jambu air dan mengabadikan nama mereka pada ladang yang diberi nama Keng Seng Nursery sebagai tanda keakraban dan perkongsian harapan dalam bidang pertanian.

Yap Keng berkata, dia pada mulanya dipertemukan dengan seorang rakan dari Taiwan ketika berurusan dalam perniagaan perabot yang memperkenalkannya baka jambu air dari Taiwan.
Dia mengambil baka tersebut yang hanya disebut sebagai baka warna hijau, merah dan loceng lalu cuba menanamnya di kawasan rumah di Muar.

Namun akhirnya dia menggunakan baka warna merah memandangkan jambu air hijau itu susah hendak ditanam manakala baka loceng mudah gugur.

Meskipun mereka mengetahui kos untuk membiayai projek satu ekar sahaja mencecah RM10,000, namun bertekad untuk mencuba sesuatu yang baru.

Yap Keng berkata, dia tidak mahu masalah tersebut merencatkan minatnya untuk menceburkan diri dalam penanaman buah-buahan, memandangkan itulah minatnya sejak kecil.
''Sebab itu saya banyak kali mencuba menanam benih jambu, (sebab) mahu tengok yang mana sesuai,'' katanya.

Katanya, rakan tersebut memperkenalkan benih jambu itu dan dia membawa pulang kira-kira 10 pokok untuk ditanam di kawasan rumahnya di Jalan Ismail, Muar.

Benih pokok tersebut kemudiannya ditanam di ladang mereka di Batu 23, Lenga, Pagoh di Muar Johor bermula 2003 membabitkan 70 pokok jambu.

Yap Keng, 43 dan Jui Seng, 38, kemudian memulakan penanaman di kawasan tersebut yang berkeluasan dua hektar di Bukit Pasir Muar,
Menurutnya, jambu tersebut yang dikenali sebagai jambu Johor, mudah untuk dijaga kerana tidak banyak masalah.

Mereka hanya perlu memastikan baja diberi mengikut kadar yang ditetapkan iaitu kira-kira 40 pokok bagi satu beg.

Harga baja tersebut pada mulanya RM200 satu beg kini turun kira-kira 20 peratus.
Pada masa sama, dia juga beruntung kerana Jui Seng pakar dalam menyediakan benih jambu tersebut, menjadikannya mereka gandingan yang baik untuk memajukan projek tersebut,
Ketika ini, tiga ladang mereka yang keseluruhannya berkeluasan lapan hektar (20 ekar) ditanam dengan 1,000 pokok jambu.

Menurutnya, jambu tersebut matang dan boleh dipetik selepas 18 bulan ditanam.
Ladang mereka kini mampu mengeluarkan antara 10 dan 15 tan buah sebulan dan dipasarkan di kawasan sekitar pada harga RM4.50 sekilogram.

Untuk memastikan jambu telah mencapai saiz pasaran, setiap kilogram mengandungi antara lima dan tujuh biji.

Jambu tersebut menurut Yap Keng, amat menarik kerana bukan sahaja rasanya yang manis tetapi warnanya yang merah pekat dan senang untuk dijaga.

Bagaimanapun untuk mengekalkan rasa manis, jambu perlu dipetik pada waktu cuaca panas.
Untuk menjaga kesegaran dan memastikan jambu selamat dimakan, dia tidak menggunakan racun untuk mengawal serangga sebaliknya membungkus buah jambu pada pokok.

Pokok jambu tersebut dikatakan mempunyai jangka hayat sehingga 33 tahun.

Katanya, terdapat rakannya yang dikatakan mengeksport buah tersebut ke negara Arab tetapi setakat ini dia hanya menjual untuk pasaran tempatan.

Selain itu, agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga membeli hasil tanaman tersebut.

Ketika ini, selain tanaman jambu, ladang mereka juga ditanam dengan ciku, durian dan dokong secara kecil-kecilan.

Usaha mereka walaupun bermula dengan kepayahan dan terpaksa melalui proses mencuba tanpa asas pertanian yang kuat, kini sudah mula menampakkan hasil.

Jumlah pekerja seramai 10 orang tidak menjadikan mereka malas, sebaliknya selalu 'turun padang' memeriksa tanaman kerana minat yang mendalam tersemat di dalam jiwa.

Latihan jangka pendek lahirkan usahawan tani

KERAJAAN telah melancarkan Kempen Bumi Hijau bagi menggalakkan rakyat menceburi sektor pertanian dan industri asas tani serta menggerakkan pelbagai aktiviti serta program lain.
Biarpun matlamat kempen bertujuan menggalakkan usaha bercucuk tanam atau menternak secara kecil-kecilan, mereka perlu mempunyai pengetahuan supaya tanaman atau ternakan mereka mendatangkan hasil.

Bermula dengan minat secara kecil-kecilan, ramai yang merancang untuk menjalankan operasi secara komersial apabila menyedari potensinya.

Justeru sebuah syarikat penggerak industri pertanian, Prestasi Agro Farm yang diterajui tiga usahawan muda menawarkan pelbagai latihan jangka pendek bagi bakal usahawan mempelajari teori dan praktikal bidang pertanian yang ingin diceburi.

Beroperasi di tanah dusun seluas dua hektar berhampiran kawasan hutan Lipur Bukit Lagong, Selayang, Selangor memberi peluang kepada peserta mendapat ilmu secara santai.

Pengarah Projek Perintis Agro Farm, Nur Azizi Rapie menjelaskan pada peringkat awal syarikat mengenalpasti beberapa projek pertanian dan ternakan berjaya sebagai model.

''Usahawan terpilih akan dipelawa untuk menurunkan ilmu mereka kepada peserta semasa bengkel dan ketika lawatan ke tapak projek.

"Dengan cara ini peserta bakal mendapat pengalaman sebenar bagi memudahkan mereka memulakan operasi pertanian dan akuakultur," katanya.

Antara latihan asas dan praktikal yang mendapat permintaan menggalakkan adalah asas penanaman cendawan, teknik pembenihan ikan keli, ternakan lintah, ternakan cacing, ternakan ayam serama dan ketam nipah.

Semua sesi latihan dikendalikan sendiri oleh pengusaha yang telah berjaya dan berpengalaman dengan bantuan kakitangan syarikat.

Selain latihan Perintis Agro Farm juga menjalankan sendiri projek skala kecil bagi ternakan lintah dalam politank, ternakan keli dalam kanvas, ternakan cacing dan tanaman cendawan kelabu.

''Projek berkenaan sebagai model bagi menunjukkan projek pertanian masih boleh dijalankan dengan mudah di kawasan yang terhad.

''Ikan keli dan baja kompos cacing pula boleh dijadikan makanan lintah manakala habuk kayu dari media cendawan yang telah lupus bagi makanan cacing," katanya.

Kajian mendekati habitat lintah, Prestasi Agro Farm telah menghasilkan protein makanan lintah yang mampu meningkatkan produktiviti dan cecair anti rayapan bagi mengatasi masalah lintah yang keluar dari politank.

Perintis Agro Farm juga, kata Azizi, sedang merancang menjalankan projek contoh bagi ternakan ketam nipah, tanaman serai, cili dan sayuran terpilih menggunakan kaedah hidroponik.

"Tahun depan, kami akan beroperasi sebagai pusat pengumpulan dan pemasaran hasil pertanian dan ternakan yang dijalankan secara kecil-kecilan memandangkan lokasi kami berdekatan dengan Pasar Borong Selayang," katanya.

Bagi mereka yang ingin berkongsi pengalaman dan latihan boleh menghubungi Prestasi Agro Farm di 012-6138059 atau 012-6157937.

Usahawan baja cacing kompos

Senario ekonomi dunia yang tidak menentu sedikit sebanyak tentu saja memberikan kesan kepada ekonomi negara dan seterusnya kepada rakyat.

Ia menimbulkan keresahan kerana peningkatan harga barang yang tidak seiring dengan pendapatan akan mengurangkan kuasa beli pengguna.

Justeru, sebagai jalan keluar ramai telah memikirkan langkah penyelesaian mengurangkan beban tersebut termasuk mencari pendapatan sampingan.

Usaha tersebut bagaimanapun sedikit terencat kerana kekangan masa menyebabkan mereka yang bekerja terutama kakitangan awam tidak dapat menjana pendapatan sampingan.

Justeru sebuah pusat pembangunan industri pertanian dan asas tani, Perintis Agrotech Centre (PAC) telah memperkenalkan Program Rakan Niaga Vermi (cacing) bagi membantu koperasi yang berminat menjana pendapatan sampingan dengan produk berasaskan pertanian.

Program yang dijalankan oleh PAC banyak dibantu dan disokong oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Pengurus Program Rakan Korporat Vermi, Norzana Rafie berkata, program berkenaan dilancarkan oleh PAC berdasarkan potensi pasaran vermi-kultur (ternakan cacing) dan vermi-kompos (baja cacing) yang sangat tinggi.

Projek mega
"Bagi projek jangka masa panjang, Perintis telah melancarkan Projek AgroHUB 2008 - 2011 yang terdiri daripada beberapa projek mega pertanian termasuklah Rakan Niaga Benih, Rakan Niaga Vermi, Rakan Niaga Serai dan Rakan Niaga Biotech.

"Projek AgroHUB meletakkan sasaran penjanaan pendapatan melalui pertanian sebagai agenda pembangunan ekonomi masyarakat," katanya semasa ditemui di kilang baja dan pusat ternakan di Kampung Nakhoda Kiri, Selayang, Selangor.

Sebagai syarikat yang telah lama berkecimpung dalam industri bioteknologi dan produk pertanian, Perintis telah mengembangkan sayap perniagaan dalam industri baja vermikompos melalui ternakan cacing - Rakan Korporat Vermi (RKV).

Projek RKV dilancarkan baru-baru ini bertujuan membuka peluang kepada koperasi, badan atau syarikat untuk membuat projek ternakan cacing secara usahasama dengan Perintis.

Projek vermi-kultur dan vermi-kompos dipilih berdasarkan permintaan baja kompos yang tinggi, cacing untuk makanan ternakan kerana penyumbang kepada protein paling tinggi dan untuk produk kesihatan dan kosmetik.

Pasaran baja kompos atau organik semakin berkembang ekoran peningkatan mendadak harga baja berasaskan kimia.

Di bawah projek RKV, Perintis anak syarikat Perintis Dagangan Sdn. Bhd. menyediakan prasarana, infrastruktur, peralatan, teknologi, khidmat penjagaan dan pemantauan pakar kepada rakan korporat yang menyertainya.

Kesemua projek akan dikumpulkan di satu pusat ternakan bagi tujuan ternakan, penghasilan baja dan penjualan cacing bagi makanan ikan.

Hak penjagaan
Melalui pendekatan ini, pihak koperasi yang mempunyai dana berpeluang menceburi ternakan cacing tanpa komitmen tinggi di mana Rakan Korporat menyerahkan hak penjagaan cacing kepada Perintis yang mempunyai tenaga kerja mahir bagi menguruskan dan menjaga.

Bagi menampung permintaan baja kompos yang tinggi, Perintis membuka 300 plot ternakan koperasi, badan atau syarikat.

Aktiviti Perniagaan Perintis adalah makanan cacing berkualiti, vermi-kompos, induk cacing, latihan dan konsultan, booster untuk lintah dan produk Bio-Ternak untuk cacing.

Program ini bukan satu skim atau pelaburan tetapi satu projek pertanian biasa menggunakan pendekatan yang lebih sistematik dan tidak membebankan rakan korporat.

Ia sangat sesuai untuk sesebuah koperasi atau syarikat untuk menyertai sektor pertanian dan menjana pendapatan ahli atau syarikat.

Dengan penyerahan hak penjagaan dan pemantauan kepada pekerja mahir, risiko dapat dikurangkan dan diuruskan sebaik mungkin.

Tambahnya lagi, ramai yang menyertai program ini berpuas hati dengan penawaran tiga kelebihan sebagai Rakan Korporat iaitu berpeluang berkongsi pasaran dan keuntungan dengan syarikat induk, dapat menjalankan perniagaan terhadap produk berasaskan cacing keluaran Syarikat Induk dan dapat menjalani latihan praktikal selama tempoh kontrak dua tahun.

Permintaan tinggi
PAC yang mempunyai kilang baja dan pusat ternakan di Kampung Nakhoda Kiri, Selayang akan membuka sebuah lagi kilang di sekitar Lembah Klang dalam masa terdekat bagi meningkat pengeluaran baja dan menampung permintaan yang tinggi.

Rakan Korporat yang membuat usahasama dengan Perintis akan ditempatkan di plot ternakan dan penghasilan baja yang ditetapkan.

Perintis akan menerima mana-mana pihak yang ingin membuat usahasama terutamanya koperasi meletakkan had maksimum bagi memberi peluang kepada lebih ramai pihak untuk terlibat.

Berdasarkan perjanjian usahasama, agihan keuntungan dibuat selepas tamat satu tempoh tuaian iaitu setiap tiga bulan setelah Perintis menjual baja dan cacing yang telah terhasil.

Baja yang berkualiti tinggi hanya akan terhasil selepas dua bulan diberikan kepada cacing ternakan.

Usahasama di antara Rakan Korporat dan Perintis akan berterusan selama tempoh dua tahun dan selepas tamat kontrak, modal belian cacing akan dikembalikan.

Perintis berharap agar Rakan Korporat dapat menjalankan ternakan sendiri selepas tamat tempoh tersebut dan telah mahir tentang teknik penjagaan dan penghasilan baja.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi 03-6187 3796 atau layari www.agrohub.net atau di pejabat urusan di Business Suite B-17-G, The Medan Selayang, Batu Caves, Selangor Darul Ehsan.

Monday, December 15, 2008

Petikan kata-kata daripada Billionair Melayu: Y. Bhg Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary

L/belakang Syed Mokhtar

- Umur - 53 tahun

- Pendidikan - SPM

- Mula berniaga - 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)

- Kekayaan -RM1,425 juta

- Ke 7 terkaya di Malaysia

- Ke 32 terkaya di Asia Tenggara (Forbes)

- Antara syarikat miliknya - MMC, Pelabuhan Tg. Pelepas, BERNAS, Gardenia, DRB-HICOM dan Bank Muammalat

- Kereta - Proton Perdana

- Sumbangan sosial -Yayasan Al-Bukhary, institusi pengajian untuk 3,000 pelajar, Muzium Kesenian Islam, Kompleks Al-Bukhary, menaja kelas tuisyen untuk pelajar Melayu, pengindahan Masjid Negara, sumbangan RM1 juta untuk Tabung Tsunami dan menaja setiap tahun penghantaran rakyat Malaysia yang tak mampu untuk tunaikan haji.

- Bagaimana sumbangan sosialnya bermula - Bila mana ibunya menyuruh memberikan sebahagian elaun (RM750.00) pertamanya sebagai pengarah syarikat beras kepada jiran yang susah. Sebahagian lagi (RM750.00) ibunya simpan. Selain itu, ibunya juga menyuruh beliau menghantar lampu kerosen ke surau-surau untuk menerangi kegiatan sepanjang malam bulan Ramadhan. Dari situ bermulalah pembentukan peribadi dan pemikiran Syed Mokhtar yang kita kenali hari ini.

1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan

2. (berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.

3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada jalan singkat.

4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.

5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.

6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.

7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.

8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.



9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.

10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo, New York dan London. Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana ?

11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada masa di bawah.

12. Ketika Allah memberika kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.

13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah

14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.

15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa !

16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak.

17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.

18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.

19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.

20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukakan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.

21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.

22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik, di bandar berpecah kerana ini (wang).

23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.

24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.

25. Orang kata saya takda duit tapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tak berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara boleh kita buat.

Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Banyak orang mahu senang tapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.

26. (perasaan setiap kali mendapat rezeki). Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta terus dari tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.

27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.

28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama.

29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan.

30. ......kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal. Saya manusia yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu.

31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.

32. Kekayaan ini tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.

33. Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh maju.

34. Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.

35. Lifestyle ? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.

36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.

37. Tiada sebab orang kenapa Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju. Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.

38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.

39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja kuat. Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.

40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar. Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.

41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus.

42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.

43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.

44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tak sempat saya buat.

45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.

46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.

47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.

48. Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain merasai (kesenangan) apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.

49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.

kredit to http://isuhangat.blogspot.com

Thursday, December 11, 2008

Tiga sahabat bangunkan e-arowana

Menyedari potensi industri penternakan ikan hiasan khususnya arowana, tiga sekawan ini tekad meletakkan jawatan dengan pendapatan lumayan. Malah kajian yang dijalankan menunjukkan 95 peratus ikan hiasan yang diternak adalah untuk pasaran eksport kerana mutunya yang tinggi.

"Tetapi bukan mudah untuk kami mengambil langkah menceburkan diri dalam perniagaan ini secara sepenuh masa.

"Banyak yang perlu difikirkan terutama komitmen terhadap keluarga masing-masing," kata salah seorang pemilik e-arowana Trading, Suhar Shariff semasa ditemui semasa Pameran Aquafair Malaysia 2008 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menyingkap sejarah permulaannya, beliau bercerita, mempunyai hobi yang sama menemukan mereka walaupun bekerja di tempat yang sama.

Suhar berkata, tiga faktor yang menyebabkan mereka bergiat dalam industri ikan hiasan iaitu minat, mempunyai nilai komersial dan perniagaan adalah sembilan daripada 10 sumber rezeki dalam Islam.

Bersama dua rakan lain, Zohri Mohd Taib dan Zulkifli Zarkasi, Suhar mula dengan aktiviti jual beli ikan hiasan pada tahun 2000 dan selepas lima tahun mereka bertiga mula membeli dan memelihara 40 arowana green dan red tail golden.

"Sebelum itu kami telah menyediakan enam buah kolam di kawasan Pendang, Kedah," kata graduan lulusan luar negara ini yang meletak jawatan pada tahun 2005 secara bergilir dengan rakan lain.

Kini tiga sahabat ini mempunyai lebih 200 ekor ikan arowana seperti red tail golden, Malaysia golden, chili red, blood red dan silver.

Suhar berkata, negara mempunyai kelebihan dari segi geografi dan politik sebagai kawasan ternakan arowana selain menjadi habitat asal ikan berkenaan.

"Permintaan ikan arowana yang tinggi masih tidak dapat memenuhi pasaran bagi pelanggan tempatan selain pasaran Asia terutama di Hong Kong, China, Taiwan, Jepun serta Eropah," katanya yang merancang menambah bilangan kolam pada tahun depan.

Ikan arowana menjadi mahal kerana ikan purba Zaman Jurassic hanya membiak setahun sekali. Pembiakan ikan arowana secara semula jadi memberi ruang bagi penternak mengawal harganya.

"Tidak pernah berlaku lambakan dan kejatuhan harga ikan arowana di pasaran kerana pembiakan hanya secara semula jadi," katanya.

Menyentuh mengenai penjagaan ikan arowana, Suhar berkata, tidak sesukar mana cuma harga yang tinggi menyebabkan pemiliknya lebih berhati-hati.

"Ikan arowana antara ikan yang tahan lasak dengan persekitaran tetapi disebabkan faktor kos tidak ramai berminat menternaknya," katanya yang juga menternak ikan kap jepun dan beberapa ikan hiasan tempatan.

Bendang Man bantu tingkat pendapatan petani

Bagi meningkatkan pendapatan golongan kurang bernasib baik seperti ibu tunggal mendapatkan pendapatan tetap, Jabatan Perikanan Negeri Kedah membangunkan sebuah ladang ternakan ikan hiasan.

Ladang ternakan ikan hiasan yang dibangunkan pada 2005 di atas tanah terbiar seluas 4.45 hektar di Kampung Bendang Man yang dipunyai oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda).

Ketua Unit Akuakultur, Projek Ikan Hiasan Bendang Man, Pejabat Perikanan Negeri Kedah, Mazayu Mohamad berkata, ladang ternakan berkenaan menggunakan tenaga kerja di kalangan orang tempatan.

"Di sini kami melatih mereka menjalankan teknik pembiakan ikan koi di bawah pengawasan pegawai jabatan.

"Dalam masa yang sama, mereka boleh belajar membiak dan menternak ikan secara komersial di rumah samping menambah pendapatan keluarga," katanya semasa ditemui di pameran Aquafair 2008 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ladang ternakan ikan hiasan Bendang Man mempunyai 314 tangki simen bersaiz 3.75 x 3.75 x 0.3 meter dan 19 buah kolam dengan saiz 20 x 10 x 1 meter.

Di sana terdapat sembilan pekerja wanita bagi tugasan memilih ikan koi yang sesuai sebagai induk untuk tujuan pembiakbakaan.

Manakala empat orang pekerja lelaki melakukan tugas-tugas berat yang tidak sesuai dilakukan oleh kaum wanita.

"Ladang ini juga dijadikan pusat latihan dengan penyediaan beberapa kursus pembiakan dan ternakan ikan emas.

"Mereka yang terlibat akan diasuh menjadi usahawan apabila mereka susah boleh melakukan semuanya sendiri," katanya.

Ladang ternakan ikan hiasan di Kampung Bendang Man terletak kira-kira 10 kilometer dari pekan Sik dan 72 kilometer dari Alor Setar.

Bagi menjayakan ladang ternakan tersebut, Jabatan Perikanan Negeri Kedah telah menyediakan semua infrastruktur yang diperlukan.

"Di Ladang Ternakan Ikan Hiasan Bendang Man, pembeli boleh datang untuk memilih dan membeli ikan hiasan terutama ikan emas dan koi Jepun," katanya.

Mayazu berkata, projek ikan hiasan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh dapat menjana pendapatan sehingga RM2,000 bagi sebuah keluarga.

"Projek ini jika dijalankan dengan semangat dan penuh ketekunan dapat meningkatkan taraf hidup dan menambah pendapatan isi rumah memandangkan kedua-dua ikan berpotensi dikomersialkan sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya.

Selain ikan hiasan, ladang berkenaan juga ada menjalankan pembenihan ikan keli secara aruhan dengan sebuah syarikat swasta.

Bengkel pembenihan keli aruhan

BAGI memenuhi permintaan pengguna yang berminat mempelajari pelbagai jenis ternakan dan pertanian, sebuah syarikat penggerak aktiviti akuakultur dan pertanian akan mengadakan bengkel pembenihan keli sepanjang Disember 2008 hingga Mac 2009.

Pengarah Projek, Nur Azizi Rapie berkata, bengkel berkenaan bertujuan memberikan pengetahuan dan melahirkan usahawan tani atau penternak ikan air tawar menghasilkan anak benih sendiri bagi menjimatkan kos dan memastikan bekalan sentiasa mencukupi.

“Salah satu faktor penghalang industri air tawar berkembang maju ialah kesukaran pengusaha untuk mendapatkan bekalan anak benih.

“Anak benih keli bermutu tinggi mendapat permintaan yang besar dengan harga seekor bersaiz tiga inci antara 10 hingga 20 sen.

“Apabila pengusaha mampu mengeluarkan anak benih sendiri, projek dapat dijalankan mengikut jadual tanpa menunggu bekalan dari tempat lain,” katanya.

Kos membeli anak benih tadi dapat disalurkan kepada makanan ikan yang semakin hari meningkat.

Bengkel ini akan mendedahkan peserta mengenai kemahiran menghasilkan benih keli menerusi teknik aruhan.

Teknik aruhan dilakukan dengan menyuntik hormon kepada induk- induk keli di mana induk betina akan diperah telurnya dan induk jantan dibedah bagi mendapatkan sperma.

Peserta juga akan didedahkan dengan cara membuat makanan anak benih keli yang berusia empat hari sehingga satu bulan.

Kursus praktikal pembenihan ikan keli teknik aruhan akan dilangsungkan pada 13 dan 14 Disember di ladang Prestasi Agro Farm, Bukit Lagong, Selayang.

Bagi mereka yang berminat mendalami kemahiran pembenihan ikan keli boleh menghubungi sekretariat di 012-6138059 atau 012-6157937.

Pelan ternak kambing Malaysia-Australia Barat

PERTH 2 Dis. - Malaysia dan Australia Barat hari ini mencapai persetujuan untuk memulakan pelaksanaan Pelan Pembangunan Industri Kambing Malaysia (PPIKM) bagi meningkatkan bilangan ternakan itu selari dengan keperluan negara.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr. Abd Aziz Jamaluddin berkata, di bawah pelan itu kerajaan Australia Barat melalui Jabatan Pertanian dan Makanannya (DAFWA), akan menyediakan khidmat rundingan menyeluruh bermula dari peringkat bekalan baka kambing bermutu sehingga kepada pemprosesan untuk dipasarkan.

Katanya, kaedah itu bukan sahaja mampu menjimatkan kos tetapi menjamin kualiti baka kambing serta bekalan yang mencukupi.

''Dahulu menerusi kaedah tradisional, kita berhadapan pelbagai masalah termasuk kambing mati ketika penghantaran tetapi dengan kerjasama ini masalah itu boleh dielakkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian pelaksanaan PPIKM bersama kerajaan Australia Barat yang diwakili oleh Ketua Pengarah DAFWA, Ian Longson.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Dr. Baharom Jani; Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian (MARDI), Datuk Dr. Abdul Shukor Abd. Rahman dan Konsul Jeneral Malaysia Australia Barat, Hamidah Ashari.

Pada majlis itu, JPV turut menyerahkan surat hasrat melantik DAFWA membantu membangunkan Pelan Pembangunan Industri Lembu Malaysia.

Abd. Aziz berkata, Australia Barat dipilih kerana negeri terbesar di Australia itu telah membuktikan keupayaan membangunkan industri penternakan berskala besar menggunakan teknologi penternakan terkini.

Pada masa ini Australia Barat menghasilkan kira-kira 20 juta biri-biri, lembu (dua juta), kambing (satu juta) dan unta antara 400 hingga 500 ekor setahun.

Beliau menambah, apa yang penting pelaksanaan pelan itu mampu membantu hasrat kerajaan mencapai kadar yang mencukupi untuk memenuhi keperluan makanan negara.

Sebagai permulaan, katanya, kerajaan akan membawa masuk kira-kira 10,000 baka kambing ferel dari Australia Barat.

''Negara memerlukan sejuta kambing untuk mencapai sasaran 35 peratus daripada keperluan negara menjelang 2015. Hari ini kita hanya mampu menternak 400,000 kambing," katanya.

Mengenai Pelan Pembangunan Industri Lembu Malaysia, Abd. Azizi berkata, ia akan menggunakan kaedah yang sama seperti industri kambing.

Beliau menjangkakan kedua-dua pihak mampu memuktamadkan pelan itu bagi membolehkan pelaksanaan dimulakan pada pertemuan susulan yang dijangka diadakan Julai tahun depan.
- Utusan

Monday, December 1, 2008

Limbang bakal pengeluar utama vanila

LIMBANG 23 Nov. - Bahagian Limbang akan menjadi pengeluar vanila pada masa akan datang apabila tanaman tersebut akan diperkenalkan di daerah ini tidak lama lagi.


Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah berkata, pada masa ini penyelidikan sedang dilaksanakan ke atas projek perintis tanaman tersebut bagi memastikan vanila berpotensi untuk diusahakan di kawasan ini.


Menurutnya, jika penyelidikan dan projek perintis itu berjaya ia dijangka menjadikan sektor tersebut ke arah pertanian moden malah membantu pertumbuhan ekonomi penduduk setempat.


”Pada masa ini, tanaman vanila ini diusahakan secara besar-besaran di Kuching dan Kota Marudu di Sabah manakala Limbang telah tersenarai untuk melaksanakan projek tanaman tersebut.


”Bagaimanapun, kami masih mengenal pasti kawasan-kawasan yang sesuai di Limbang untuk dijadikan lokasi penanaman vanila di sini,” katanya pada majlis Perasmian Program Keusahawanan dan Penyampaian Cek di sini semalam.


Hasbi berkata, tanaman vanila mempunyai dan nilai tinggi dalam pasaran sama ada di peringkat domestik mahu pun antarabangsa malah menguntungkan para petani yang mengusahakannya.


Katanya, beliau percaya tanaman tersebut akan berjaya dilaksanakan di beberapa lokasi strategik di Limbang.


Tambahnya, keupayaan mengeluarkan tanaman itu dalam jumlah yang banyak akan menjadikan Limbang sebagai pengeluar vanila, pusat pemasaran benih vanila, pusat tumpuan dan gabungan aktiviti ekonomi negeri ini.


”Limbang mempunyai keistimewaan terutama bagi potensi pasaran produk pertanian kerana terletak dalam Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).


”Projek ini sudah pastinya akan menjana pertumbuhan ekonomi Limbang dan pembangunan seimbang di kalangan rakyat sekali gus dapat mengurangkan jurang penduduk bandar dan luar bandar,” ujarnya.

Tanaman tomato moden beri pulangan lumayan

TAWAU 30 Nov. - Nilai komersial yang tinggi dalam sektor pertanian mendorong seorang anak tempatan, Nofian Sali, 34, mengusahakan penanaman tomato moden di Kampung Kinabutan dekat sini.


Walaupun pada awal pembabitan, Nofian tidak memiliki sebarang pengetahuan asas dalam bidang pertanian tetapi disebabkan minat dan kesungguhannya, hari ini dia menjadi peladang muda yang berjaya.


Hasil titik peluhnya selama beberapa tahun bagi mengusahakan penanaman itu, kini membolehkan Nofian meraih pulangan lumayan setiap bulan iaitu kira-kira RM3,500.


Nofian berkata, dia mula mengusahakan tanaman tomato pada 2005 di tanah seluas setengah hektar dengan modal permulaan kira-kira RM2,500.


Menurutnya, tanaman tomato moden yang diusahakannya itu tidak pernah mengecewakan daripada segi keuntungan kerana permintaan bagi produk sayuran itu tidak pernah berkurangan.


Katanya, tomato yang dihasilkan di Sabah sebenarnya mendapat permintaan tinggi kerana saiz tomato negeri ini lebih besar berbanding hasil tomato dari tempat lain.


Pada masa ini katanya, permintaan yang diterimanya melebihi daripada hasil yang dituainya.


Dalam pada itu, katanya, dengan mengaplikasikan pengetahuan dalam sistem penanaman fertigasi beliau menggunakan kaedah tersebut dalam tanaman tomato.


Katanya, cara ini amat mudah kerana tidak memerlukan ramai pekerja dan tidak menggunakan racun yang banyak bagi menjaga kualiti pengeluaran.


Mengenai kaedah penanaman tomato moden yang digunakan beliau menjelaskan, sistem tanaman ini diusahakan tanpa menggunakan racun serangga.


Nofian memberitahu, penanaman tomato juga begitu efektif kerana tidak memerlukan masa yang lama untuk mendapatkan hasil.


“Pokok tomato akan menghasilkan buah yang boleh dipetik dalam tempoh yang singkat iaitu kira-kira sembilan minggu.


“Biasanya jumlah hasil yang dikutip setiap kali mencecah 120 kilogram yang dijual dengan harga pasaran RM4 sekilogram,” katanya.


Menurutnya, beliau yakin tanaman tomato mampu memberi keuntungan berterusan kerana ia merupakan industri hiliran yang amat berpotensi di pelbagaikan.


Pada masa ini banyak produk makanan yang terkenal diperbuat daripada tomato seperti sos dan kicap.


“Saya yakin bidang pertanian boleh membela nasib diri dan keluarga tetapi ia perlu dilakukan bersungguh-sungguh dan serius,” ujarnya.


Sementara itu, katanya, baru-baru ini beliau telah mendapat pinjaman sebanyak RM20,000 daripada Pertubuhan Peladang Tawau melalui skim Pembangunan Usahawan Peladang (PUP) bagi mempertingkatkan hasil pengeluarannya.


Justeru, katanya, dia merancang memperluaskan lagi kawasan penanaman tomato dari masa ke semasa.


“Disebabkan oleh kawasan ladang yang kecil ketika ini, saya sedar ia menyukarkan saya untuk menambah pengeluaran bagi memenuhi kehendak pasaran.


“Jadi, saya merancang untuk mendapatkan kawasan tanaman tomato lebih luas di Tawau bagi memenuhi kehendak pengguna di pasaran,” katanya.


Tambahnya, dia juga sedang menunggu bantuan yang dijanjikan oleh Jabatan Pertanian Negeri untuk mencari kawasan lebih luas bagi menanam hasil.