Shukri Ramli (kiri) bersama petugasnya meninjau bekas takungan ternakan moden ketam nipah di Melaka bagi memastikan tahap kualitinya terjamin.
- Gambar ABDUL RAZAK LATIF

MELAKA 24 Okt. - Pembangunan pesat di sesebuah negeri terutamanya di kawasan bandar membuatkan ramai di antara kita terpaksa mengehadkan skop kerja berkaitan pejabat sahaja.

Bagi mereka yang berfikiran demikian, bidang kerja dimaksudkan tentulah kerani yang memegang pen dan menghadap komputer peribadi atau penghantar surat yang menunggang motosikal.

Namun, dalam kemajuan teknologi hari ini ditambah pula ’strategi lautan biru’ yang diamalkan segelintir mereka, projek ternakan dan perladangan bukanlah sesuatu yang mustahil ditempatkan di hutan batu ini.

Dengan menggunakan kepakaran yang ada, golongan itu sebenarnya secara senyap-senyap telah menjadikan gudang di kawasan perindustrian atau rumah kedai dua tingkat di tengah-tengah pusat bandar sebagai ‘kebun’ atau ‘kolam ikan’ yang mampu menjana pendapatan bulanan puluhan ribu ringgit.

Lebih membanggakan, konsep yang dinamakan ternakan atau pertanian di dalam bangunan turut mewujudkan peluang perniagaan yang lebih luas kepada mereka yang berminat.

Perniagaan yang dipelopori kemudiannya dikembangkan lagi melalui ‘kontrak perladangan’ diperkenalkan kepada orang ramai yang berminat untuk menjadi ahli bagi melahirkan lebih banyak usahawan tani.

Menggunakan konsep serupa, Sama Concept Farming Sdn. Bhd. (Sama) yang telah beroperasi sejak Julai lalu, menerajui dalam bidang akuakultur secara tertutup khususnya ternakan ketam.

Selain kepakaran dalam ternakan ketam nipah, Sama turut mempunyai pengalaman luas dalam bidang akuakultur, latihan, teknikal serta pengurusan.

Menurut Pengurus Besarnya, Shukri Ramli, 46, Sama Concept Farming Sdn. Bhd. bertujuan untuk mencari peserta yang berminat bagi menceburi bidang ternakan ketam di dalam bangunan pada kos lebih menjimatkan dan pengurusan yang lebih mudah.

“Sebelum ini orang cuma tahu ketam boleh didapati dengan cara tradisional iaitu tangkapan liar atau ternakan di dalam kolam sahaja.

“Tetapi, kini dengan teknologi terbaru, ketam nipah juga boleh diternak di dalam bangunan dan mempunyai peluang yang tinggi untuk dikomersialkan kerana permintaannya tinggi di pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, permintaan terhadap ketam nipah di pasaran negara kini kekurangan sebanyak 50 peratus dan terpaksa diimport dari negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia.

“Permintaan terhadap ketam nipah yang diternak juga setakat ini cuma memenuhi 10 peratus manakala 40 peratus lagi merupakan ketam nipah liar.

“Sebab itu, jika diusahakan, ketam nipah ternakan dalam bangunan pasti mendapat sambutan yang baik di pasaran negara dan kita tidak perlu lagi mengimportnya dari negara luar,” katanya.

Sehubungan itu katanya, untuk merealisasikan perkara tersebut, Sama amat mengalu-alukan orang ramai yang berminat dalam bidang tersebut untuk menjadi peserta dengan menghadiri kursus sehari latihan dan ternakan ketam.

“Peserta juga tidak perlu memikirkan tentang bagaimana untuk memasarkan ketam nipah kerana setelah berjaya mengusahakannya sendiri, Sama akan membeli semula daripada peserta dengan harga RM28 sekilogram.

“Kita juga akan membantu peserta dari segi teknikal dan perkara lain yang berkaitan jika terus berurusan dengan Sama,” katanya sambil menambah Sama Concept Farming Sdn. Bhd. yang terletak di Taman IKS Merdeka, Batu Berendam di sini juga merupakan pusat ternakan ketam secara tertutup yang pertama dan terbesar di Melaka.

Antara perkhidmatan yang disediakan di situ ialah menjalankan kursus dan latihan untuk ternakan ketam serta penternakan akuakultur yang lain.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai kursus, boleh menghubungi pejabat Sama di talian 06-3171155 atau Shukri (017-6628929). Maklumat lanjut juga boleh didapati di laman web ketam2u.com.